Islamic Widget


.
.

Rabu, 30 Jun 2010

PANDUAN DAN ETIKA PERNIAGAAN DALAM ISLAM


PANDUAN DAN ETIKA PERNIAGAAN DALAM ISLAM : PEMASARAN, KAEDAH PENGAWALAN DAN PENYUSUNANNYA DALAM ISLAM

بسم ألله ألرحمن ألرحيم ألحمد لله رب العالمين والصلاة والسلام على أشرف الانبياء والمرسلين وعلى اله وصحبه اجمعين


Untuk menjamin aliran pasaran dan pemasaran berjalan lancar, dan bagi mengelak daripada berlaku penipuan oleh sesetengah peniaga, dan tidak berlaku penganiayaan terutama terhadap pengguna, maka Islam telah menetapkan beberapa peraturan dan kaedah yang boleh menjamin perkara yang tidak diingini itu berlaku di antara peniaga serta untuk mendapat keyakinan orang ramai dan masyarakat. Islam mementingkan supaya tidak wujud sebarang bentuk penipuan dan 'permainan' harga yang tidak sihat di dalam pasaran, dan sekali gus ia menggalakkan persaingan yang konstruktif di kalangan peniaga. Untuk itu, Islam telah memperkenalkan dua bentuk kawalan iaitu: i. Kawalan Dalaman ii. Kawalan Luaran. Kawalan dalaman berteraskan kepada iman dan akhlak peribadi peniaga itu sendiri. Manakala kawalan luaran lebih berbentuk kepada kawalan penyeliaan dan undang- undang (التشريعية) Di antara kaedah dan asas-asas utama ialah: 1- Pasaran Terbuka dan Bebas Daripada Pengaruh Orang Tengah Bagi menjamin kepentingan umum dan mengelakkan berlakunya penipuan dan kemudharatan maka harga barangan hendaklah diketahui oleh semua pengguna termasuk peniaga yang berjual-beli di pasaran terbuka. Di sini Islam menyarankan supaya semua barangan hendaklah dipamerkan secara terbuka dan jelas dan hendaklah sampai ke pasar dan diketahui harganya. Yang demikian dapat mengurangkan peranan orang tengah dan banyak bertukar tangan yang pastinya akan bertambah tinggi harga barangan terutama bahan keperluan asas, seperti makanan harian. Beberapa hadis yang melarang penjual-belian di tengah-tengah perjalanan ke pasar dan peranan orang tengah. Ibn Abbas R.A berkata: Rasulullah S.A.W bersabda: لا تلقوا الركبان, ولا يبع حاضر لباد, قيل لابن عباس ما قوله لا يبع حاضر لباد, قال لا يكون له سمسارا "Jangan bertemu pedagang di tengah jalan dan jangan orang bandar menjual kepada orang luar bandar. Ibn Abbas ditanya: Apakah maksudmu 'yang bandar tidak menjual kepada yang luar bandar'? Dia menjawab: Tidak ada orang tengah (middle man)." Hadis ini menjelaskan bahawa Rasulullah S.A.W melarang sebarang bentuk jual-beli barangan sebelum diketahui harga pasaran sebenarnya. Harga pasaran yang sebenar ialah di pasar terbuka, tempat berkumpul peniaga dan dipamerkan segala jenis barang dagangan. Abdullah Ibn Umar R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda : " لا يبع بعضكم على بيع بعض, ولا تلقوا السلع حتى يهبط الى السوق"Jangan sebahagian kamu menjual atas jualan sebahagian yang lain, dan jangan mendatangi barangan hingga ia sampai ke pasaran." Rasulullah S.A.W tidak membenarkan berlaku jual-beli di tengah-tengah perjalanan sehingga kedua pihak yakin harga pasaran yang sebenar di mana semua barang dagangan dan peniaga berkumpul dan berlaku tawar-menawar harga. 2- Larangan "Permainan dan Penipuan Harga" Sebarang bentuk monopoli dalam harga atau barang adalah dilarang keras oleh Islam kerana ia akan memudharatkan orang ramai dan pengguna terutama yang melibatkan barangan keperluan dan pengguna. Monopoli ini boleh berlaku dalam pelbagai bentuk. Antaranya: a- Penjual bersepakat dengan seseorang di atas sesuatu harga yang lebih tinggi semata-mata untuk mengaburi pembeli yang lain, sedangkan dia sendiri tidak mahu membelinya. Di dalam istilah feqah dikenali sebagai النجش" " bermaksud: Menaikkan harga barangan untuk merangsangkan pembeli lain, sedangkan ia sendiri tidak berhajat untuk membeli. Imam Al-Ghazali berkata: " " النجش : ialah seseorang yang menawarkan sesuatu harga yang lebih tinggi di hadapan pembeli yang lain semata-mata untuk merangsang supaya pembeli itu membelinya. Padahal ia sendiri tidak berhajat untuk membelinya. Dalam hadis yang diriwayatkan oleh Ibn Umar R.A katanya: Nabi S.A.W melarang perbuatan "النجش" melalui sahih yang disepakati ulama' hadis. Hukumnya adalah haram kerana mengandungi unsur penipuan. Sabda Rasulullah S.A.W : " الخديعة فى النار ومن عمل عملا ليس عليه امرنا فهو رد" "Orang yang membuat penipuan tempatnya adalah neraka, dan sesiapa yang melakukan sesuatu amalan yang tidak mengikut ajaran kami, maka ia ditolak." Saad Ibn Ubadah berkata: Sekiranya aku tidak mendengar Rasulullah S.A.W bersabda: " المكر والخديعة فى النار لكنت من أمكر الناس" "Helah dan penipuan tempatnya adalah neraka, kalau tidak akulah yang paling banyak menipu." - فتح الباري - b- Mempamerkan barangan yang tidak sama dengan hakikat barangan sebenar dengan bertujuan memikat pembeli dan menaikkan harga. Ternyata Rasulullah S.A.W melarang perbuatan sedemikian kerana ianya mengandungi unsur (sorokan) dan penipuan. Abu Hurairah R.A meriwayatkan bahawa suatu hari Rasulullah S.A.W melewati bakul menjual makananan, maka Baginda memasukkan tangannya dalam bakul itu, dan didapatinya tangannya basah, lalu Baginda bertanya: "Apakah ini wahai yang empunya makanan ini?" Orang itu menjawab: "Ia terkena hujan wahai Rasulullah". Maka Rasulullah S.A.W bersabda: "Kenapa kamu tidak meletakkannya di sebelah atas supaya dapat dilihat oleh pelanggan? Barangsiapa menipu kami maka ia bukanlah dari kalangan kami." (Riwayat Imam Muslim Ibnu Majah) Diriwayatkan daripada Ibn Umar R.A., bahawa Rasulullah S.A.W melihat penjualan makanan yang diperakui baik oleh penjualnya, kemudian Rasulullah S.A.W masukkan tangannya dalam bekas makanan itu, maka didapati tidak sebaik sebagaimana yang dikatakan. Maka sabda Baginda: "Jual makanan ini berasingan dengan yang itu (yang baik). Sesiapa yang menipu kami maka ia bukanlah dari kalangan kami" (Riwayat Imam Ahmad Al-Bazar dan At-Tabrani) Penjual kadangkala mencampurkan sesuatu barangan bukan dari jenis yang sama, atau menambahkan (memperbanyakkan) barangan dengan jenis yang lain bertujuan untuk memperbanyakkan dan mendapat keuntungan yang lebih, seperti mencampurkan minyak tanah dan minyak petrol atau air dengan susu. Islam jelas tidak membenarkan amalan sedemikian, berdasarkan riwayat Safwan Bin Sulaim, bahawa Abu Hurairah R.A pergi ke pasar dan mendapati seorang penjual susu, dan memerhatikannya, didapati ia bercampur dengan air. Maka berkata Abu Hurairah: "Bagaimana kamu apabila pada hari Kiamat nanti diarah supaya membersihkan (mengasingkan) air itu daripada susu?" Riwayat Al-Baihaqi dan Al-Asbahani c- Mempromosi barangan berlebih-lebihan Sesetengah peniaga terlalu ghairah mempromosikan barangan secara berlebih-lebihan, tidak benar dan jauh daripada realiti barang itu, sehinga bersumpah-sumpah bertujuan bagi mengelirukan demi memperoleh keuntungan yang berlipat ganda. Abdullah Ibn Abi Aufa R.A berkata: "Seseorang penjual di pasar bersumpah dengan nama Allah perkara yang tidak benar ketika memperkenalkan barangannya, dengan tujuan untuk mengelirukan orang Islam." Maka Allah S.W.T turunkan ayat: Surah Ali-Imran 77: ان الذين يشترون بعهد ألله وأيمنهم ثمنا قليلا أولئك لا خلق لهم فى الأخرة ولا يكلمهم ألله ولا ينظر اليهم يوم القيامة ولا يزكيهم ولهم عذاب أليم (77) "Sesungguhnya orang yang mengutamakan keuntungan dunia yang sedikit dengan menolak janji Allah dan sumpah mereka itu tidak akan mendapat bahagian yang baik pada hari Akhirat, dan Allah tidak akan bercakap dengan mereka dan tidak akan memandang kepada mereka pada hari Kiamat, dan tidak akan membersihkan mereka (dari dosa) dan mereka akan memperoleh azab seksa yang sangat pedih." Islam menutup segala pintu yang boleh mengelirukan pembeli samada dengan memuji barang secara berlebihan, atau pengiklanan yang tidak benar atau dengan dakwaan penjual yang ia telah membelinya dengan harga yang tinggi atau dengan memberitahu ada pembeli yang menawarkan harga yang lebih tinggi sedangkan ianya belum terlaksana. Dengan demikian Islam menjamin harga pasaran yang sebenar dan berlaku jual-beli mengikut harga hakiki tanpa kekeliruan dan penipuan. 3- Memberitahu Keaiban dan Kelemahan Barangan Islam mewajibkan penjual beramanah ketika mempamerkan barangan dengan menampakkan bahagian yang rosak. Jika terdapat kelemahan-kelemahan tertentu maka pembeli boleh mengetahui kondisi sebenar barangan yang akan dibeli. Ini sesungguhnya boleh mendatangkan faedah yang besar dan keberkatan daripada Allah S.W.T kepada kedua-dua belah pihak penjual dan pembeli. Hakim Bin Hazam R.A meriwayatkan, katanya, Sabda Rasulullah S.A.W.: البيعان بالخيار ما لم يتفرقا, فان صدقا وبينا بوركا لهما فى بيعهما وان كتما وكذبا محقت بركة بيعهما "Kedua pihak penjual dan pembeli boleh membatalkan jualan selagi keduanya belum berpisah (dari majlis jual-beli) dan sekiranya keduanya, adalah benar (tidak bohong) akan diberkati penjual-belian mereka, dan sekiranya mereka sembunyi dan berbohong nescaya akan dilenyapkan keberkatannya." Imam Al-Ghazali berkata: Penjual wajib memberitahu segala bentuk keaiban dan kelemahan barang jualan dengan tidak menyembunyikannya walaupun sedikit. Sekiranya berlaku penyembunyian (sorok) maka ia adalah zalim, penipu dan perbuatan sedemikian adalan haram, dan tidak mengikut peraturan dan nasihat yang wajib dalam bermuamalah. 4- Cermat Dalam Sukatan dan Timbangan. Islam amat menitikberatkan soal kesempurnaan sukatan dan timbangan serta peralatan yang berkaitan dengannya. Terlalu banyak ayat-ayat al-Quran dan hadis Rasulullah S.A.W serta penekanan pelaksanaan yang telah dilakukan oleh para khalifah muslimin dan petugas-petugas mereka yang soleh. Di antaranya: Surah Al-Isra' ayat 35 : وأوفوا الكيل اذا كلتم وزنوا بالقسطاس المستقيم ذلك خير وأحسن تأويلا (35) "Dan sempurnakanlah sukatan apabila kamu menyukat, dan timbanglah dengan timbangan yang adil. Dengan itu baik (kesannya bagi kamu di dunia) dan sebaik-baik kesudahan ( pahala di akhirat)." (Surah Hud ayat 85) ويقوم أوفوا المكيال والميزان بالقسط ولا تبخسوا الناس اشياءهم ولا تعثوا فى الأرض مفسدين ( 58) "(Nasihat Syuib kepada kaumnya) wahai kaumku sempurnakanlah sukatan dan timbangan dengan adil, dan jangan kamu kurangkam manusia akan benda-benda yang menjadi haknya. Dan janganlah kamu menimbulkan bencana kerosakan di muka bumi ini." Menurut sejarah Khalifah Mukminin Saidina Umar Ibn Al-Khattab R.A mengambil alih dan melaksanakan sendiri tugas penyeliaan ke atas pasaran, mengamati amalan sukatan dan timbangan, sebagaimana ia melantik petugas-petugas khas memerhatikan perkara itu. Qatadah pernah berkata: "Wahai anak Adam sempurnakanlah sukatan seperti kamu ingin disempurnakan kepada kamu, berlaku adillah sebagaimana kamu ingin dilakukan keadilan kepadamu." Ibn Umar R.A berkata: Bahawa Rasulullah S.A.W telah datang kepada kami dan bersabda: Wahai para muhajirin, lima perkara apabila diturun bala ke atas kamu dan aku memohon agar kamu tidak akan mendapatinya : 1- Tidak merebak amalan keji- zina- sehingga menjadi perkara biasa kecuali dikenakan taun dan penyakit-penyakit yang tidak pernah ada pada orang yang sebelum kamu. 2- Tidak ada yang mengurangkan sukatan dan timbangan kecuali berlaku kekurangaan makanan kesengsaraan hidup dan kezaliman pemerintah ke atas mereka. 3- Tidak ada yang mengeluarkan zakat harta mereka kecuali hujan tidak akan turun dan jikalau tidak kerana adanya binatang tetap hujan tidak akan turun. 4- Tidak mungkir janji dengan Allah dan RasulNya kecuali Allah wujudkan musuh-musuh yang menguasai dan merampas apa yang di tangan mereka. 5- Pemerintah-pemerintah mereka tidak menghukum dengan kitab Allah dan dengan apa yang diturunkan oleh Allah kepada mereka kecuali Allah wujudkan permusuhan di kalangan mereka sendiri. (Riwayat Ibn Majah, Al-Bazar dan Al-Baihaqi) Jelas bahawa sebarang unsur penipuan dan gharar dalam Islam adalah dilarang sama sekali. Segala tindakan yang bertentangan dengan panduan dan etika Islam akan membawa dosa kepada kehidupan masyarakat. Menurut Al-Quran, negeri Saba' adalah sebuah pengajaran. Negeri yang makmur berubah menjadi miskin kerana dosa-dosa penduduknya. Al-Quran juga menyebut dosa sebagai "berbuat zalim terhadap diri sendiri." Apabila manusia melakukan dosa, maka dia sesungguhnya menganiayai dirinya sendiri. Apabila masyarakat membiarkan perlakuan dosa, maka masyakarat itu menghancurkan dirinya sendiri. Allah menghukum bukan sahaja dosa individu tetapi juga dosa kolektif. Usaha menyembuhkan masyarakat daripada dosa, upaya memperbaiki muamalat masyarakat, menghilangkan faktor-faktor yang mempertajamkan hubungan sosial, seterusnya menghantar masyarakat kepada kehidupan ideal yang diredhai Allah S.W.T sebagai "Baldatun Thayyibatun wa Rabbun Ghafur" merupakan peranan dan tanggungjawab semua golongan; daripada rakyat biasa sehingga kepada pengusaha dan penguasa. من كتاب : الحرية القتصادية فى الاسلام واثرها فى التنمية للدكتور سعيد ابو الفتوه محمد بسيونى
Oleh: Dr. Said Abu Al-Futuh Muhammad Basyuni Terjemahan: Sahibus Samahah Syeikh Haji Abdul Halim Abdul Kadir Mufti Kerajaan Negeri Terengganu

Baca Lagi....

Selasa, 29 Jun 2010

AL-QURAN AL-KARIM MENDIDIK UMMAH


AL-QURAN AL-KARIM MENDIDIK UMMAH

Ta’rif al-Quran

Kitab suci al-Quran adalah Kalam Allah SWT yang bermukjizat, diturunkan kepada Nabi Muhammad SAW, ditulis dalam beberapa naskhah mashaf dan dipindahkan daripada baginda SAW dengan riwayat yang mutawatir. Membacanya merupakan satu ibadah. Inilah ta’rif al-Quran yang dipersetujui para ulama’ Usul Fiqh dan bahasa.
Hubungan al-Quran dan as-Sunnah
Kebanyakan hukum yang diterangkan dalam al-Quran bercorak kulli (tidak secara detail atau terperinci). Peranan as-Sunnah yang merangkumi keperibadian, perkataan, perbuatan dan pengakuan Rasulullah SAW memperincikan hukum-hukum al-Quran. Apabila seseorang berpegang dan beramal dengan as-Sunnah bererti dia berpegang dan beramal dengan al-Quran.
Al-Imam Al-Auza’i telah meriwayatkan daripada Hassan Ibnu ‘Atiyyah, katanya: “Ketika wahyu turun kepada Rasulullah SAW, malaikat Jibril membawa as-Sunnah yang mentafsirkan wahyu tersebut. Maka setiap perkara yang lahir daripada Rasulullah SAW samada dalam bentuk perkataan, perbuatan mahupun pengakuan berasal daripada wahyu Allah SWT jua. Allah SWT telah berfirman:
“Tidaklah (Rasul itu) berkata-kata mengikut hawa nafsunya melainkan apa yang telah diwahyukan kepadanya.” (an-Najm: ayat 3-4)
Kehidupan Rasulullah SAW adalah penterjemahan realistik al-Quran al-Karim. Sayyidatina ‘Aisyah r.a. pernah ditanya mengenai akhlak Rasulullah SAW, maka dijawabnya:
“Bahawa akhlaknya (Rasulullah SAW) adalah al-Quran.”
Sumber pembentukan ummah
Sumber pembentukan ummah Islamiyyah ialah al-Quran al-Karim manakala hadith atau sunnah Rasulullah SAW adalah terbitan daripada al-Quran al-Karim.
Rasulullah SAW adalah model yang praktikal bagi didikan Islam. Baginda adalah pentafsir kepada sistem tarbiyyah al-Quran samada dengan amalan, budi pekerti ataupun arahan-arahan.
Didikan al-Quran serta natijahnya
Sistem didikan al-Quran adalah unik. Sistem ini tidak meniru mana-mana sistem yang ada di bumi. Kesan atau natijahnya yang pernah lahir juga unik, iaitu satu generasi yang sungguh mengagumkan dan tiada bandingan dalam sejarah. Generasi yang asal hidup bersengketa dan berperangan sesama sendiri, bersatu-padu, membangun dan menegakkan nilai-nilai Rabbani (nilai yang diturunkan oleh Allah SWT) dalam kehidupan. Mereka menjadi model bagi manusia dan mereka telah mendapat pujian daripada Allah SWT. Firman Allah SWT:
“Kamu adalah sebaik-baik ummah yang diutuskan kepada manusia, kamu menyeru kepada ma’ruf dan mencegah daripada kemungkaran dan kamu beriman dengan Allah.” (‘Ali Imran: ayat 110)
Proses pembentukan adalah Iradah Allah SWT
Ummah terbaik itu dikenali sebagai generasi al-Quran. Ummah itu natijah daripada tarbiyyah Rasulullah SAW berdasarkan wahyu Allah SWT. Tarbiyyah Rasulullah S.A.W. berjalan selama 23 tahun - 13 tahun di Mekah dan 10 tahun di Madinah.
Tiga belas tahun di Mekah adalah masa pembinaan dan pengukuhan aqidah Islamiyyah. Sepuluh tahun di Madinah adalah masa penegakan undang-undang dan hukum-hukum yang mengurus dan mengatur masyarakat dan daulah Islamiyyah yang dibentuk oleh Rasulullah SAW.
Al-Quran membina dan mendidik aqidah ummah itu dalam jangka masa yang begitu lama kerana menurut iradah (kehendak) Allah SWT. Jika Allah SWT mahu, Allah SWT boleh menurunkan ayat-ayat al-Quran secara lengkap sekaligus lalu dibiarkan ummah itu mempelajari dan memahaminya. Sebenarnya iradah Allah SWT tidak sedemikian. Allah SWT menghendaki satu sistem tertentu dan unik dalam pembinaan ummah. Pembentukan aqidah berjalan serentak dengan kematangan ummah dan selaras dengan penurunan ayat-ayat al-Quran yang beransur-ansur. Allah SWT menghendaki agar ummah itu dibina dengan aqidah Islamiyyah, selepas itu Islam yang syumul dapat dipraktikkan dengan baik.
Din al-Islam adalah Din Rabbani. Sistem untuk melaksanakannya juga Rabbani. Sistem ini tidak boleh dipisahkan atau diketepikan. Lantaran Din al-Islam didatangkan oleh Allah SWT untuk membina aqidah dan membentuk ummah, maka sudah tentu sistem pembinaan dan pembentukan itu merupakan perencanaan atau perancangan Allah SWT yang tidak boleh dipandang sepi. Firman Allah SWT:
“Kami (Allah) turunkan al-Quran itu terpisah-pisah supaya engkau bacakan kepada manusia dengan perlahan-lahan dan kami turunkannya sedikit demi sedikit.” (al-Isra’ : ayat 106)
Cara penurunan al-Quran merupakan perencanaan Allah SWT dalam proses pembentukan dan pembinaan ummah agar aqidah Islam benar-benar terbentuk, menjadi pegangan dan lahir dalam pergerakan hidup, bukan sekadar teori atau pengetahuan semata-mata.
Kemuncak natijah
Terbukti dalam sejarah kemanusiaan, didikan al-Quran telah melahirkan generasi yang benar-benar mendokong al-Quran dan as-Sunnah. Itulah proses didikan yang telah menghasilkan generasi Muslimin sejati dan berwibawa mengepalai pimpinan alam ke arah kesejahteraannya. Generasi yang melengkapi sifat-sifat kepimpinan yang tinggi dan mulia, yang mengandungi pemuda-pemuda yang berjiwa Tauhid dan tidak dipengaruhi atau terpengaruh dengan nilai-nilai keduniaan. Cita-cita mereka ialah memenangi keredhaan Allah SWT semata-mata.
Mereka sentiasa bersedia menyahut panggilan Iman dan memandang kehidupan jahiliyyah sesuatu yang tidak bernilai. Nilai mereka sebenar ialah nilai Allah SWT.
Setiap wakil atau delegasi yang dikirimkan Rasulullah SAW ke sesuatu tempat akan bertindak menurut apa yang dikehendaki Allah SWT dan Rasulullah SAW.
Perhatikanlah sikap Mu’az bin Jabal r.a. yang menjadi wakil Rasulullah SAW ke Negeri Yaman. Sebelum beliau bertolak ke Yaman, Rasulullah SAW telah menguji beliau dengan katanya yang bermaksud, “Wahai Mu’az! Bagaimanakah kamu hendak lakukan jika dikemukakan sesuatu masalah kepadamu?” Jawab Mu’az, “Saya akan berhukum dengan apa yang tersebut di dalam Kitab Allah.” Baginda bertanya lagi, “Bagaimana pula jika tidak kedapatan di dalam Kitab Allah?” Jawab Mu’az, “Saya akan berhukum menurut Sunnah Rasulullah SAW.” Baginda bertanya lagi, “ Bagaimana jika tidak terdapat di dalam Sunnah Rasulullah SAW?” Jawab Mu’az, “Saya akan berijtihad dan saya tidak akan mengabaikan.” Kemudian Rasulullah SAW berkata, “Alhamdulillah yang telah memberi pertunjuk kepada utusan Rasulullah SAW mengikut cara yang diperkenankan Rasulullah SAW.”
Jawapan yang diberikan oleh Mu’az itu membuktikan bahawa pegangan hidup generasi sahabat Rasulullah SAW adalah syari’at Allah SWT sahaja. Mereka meletakkan tuntutan al-Quran di tempat pertama dalam hidup mereka. Mereka benar-benar terdidik dengan al-Quran bahkan kebanyakkan dari meraka adalah Huffaz (penghafaz-penghafaz) al-Quran. Dalam tragedi Bi’r al-Ma’unah terdapat 70 orang sahabat huffaz telah gugur syahid. Dalam peristiwa al-Yamamah pada zaman Khalifah Abu Bakar as-Siddiq terdapat 70 para huffaz telah syahid di suatu masa seperti yang pernah dijelaskan oleh Imam al-Qurthubi.
At-Tasyri’ al-Kamil
At-Tasyri’ al-Kamil membawa maksud suatu perundangan yang telah sempurna disyariatkan oleh Allah SWT. Firman Allah SWT:
“Pada hari ini (hari ‘Arafah, 10 Hijrah) Aku (Allah) telah sempurnakan bagi kamu Din kamu dan Aku sempurnakan ni’mat-Ku ke atas kamu dan Aku redha Islam sebagai Din kamu.” (al-Maidah: ayat 3)
Al-Quran telah diturunkan kepada Rasulullah SAW secara beransur-ansur melalui dua tahap, iaitu Tahap Mekah dan Tahap Madinah. Kewujudan tahap-tahap itu menunjukkan adanya pemeringkatan syari’at mulai awal kerasulan Rasulullah SAW hingga saat hampir kewafatan baginda.
Syari’at Islam kini telah lengkap dan sempurna. Oleh itu dalam konteks pembangunan semula Ummah Islamiyyah kini, syari’at itu tidak boleh dibataskan berasaskan Tahap Mekah dan Tahap Madinah. Hukum-hukum dan undang-undang Islam sudah lengkap dan sempurna dengan tamatnya wahyu yang diturunkan kepada Rasulullah SAW.
Perlaksanaan syari’at dalam jama’ah kini
Bagaimanakah syari’at Islam yang lengkap hendak dilaksanakan oleh jama’ah Islam dalam suasana atau realiti kini ? Iaitu realiti yang tidak membolehkan jama’ah melaksanakan semua tuntutan syari’at Islam.
Dalam hal ini, perlaksanaannya adalah terhenti kepada suasana kelemahan (ad-Da’if) dan suasana kekuatan (al-Quwwah) jama’ah atau Ummah Islamiyyah yang dibentuk. Suasana kelemahan umat Islam yang tidak melaksanakan semua tuntutan syari’at mengharuskan jama’ah Islam mengambil Rukhsah dalam ertikata melaksanakan tuntutan syari’at sekadar kemampuan yang dimiliki oleh jama’ah. Namun penentuan mampu atau tidak mampu itu adalah di bawah tanggungjawab barisan kepimpinan (as-Saf al-Qiyadi) yang mengendalikan jama’ah Islam.
Bagaimanapun jama’ah Islam tidak boleh berpuas hati dengan mengambil rukhsah selama-lamanya. Bahkan sewajibnya kemampuan jama’ah Islam itu dipertingkatkan kerana matlamat besarnya ialah untuk menegakkan Khilafah Islamiyyah. Khilafah dalam pengertian mengurus semua urusan dan memimpin semua makhluk berpandukan syari’at Islam serta melaksanakan semua tuntutan syara’ demi keredhaan Allah SWT.
Jama’ah adalah ‘jalan’
Jama’ah adalah ‘jalan’ yang mesti dilalui untuk menegakkan Khilafah Islamiyyah. Oleh itu pembentukannya adalah wajib. Tahap kekuatan (al-Quwwah) jama’ah Islam perlu ditingkatkan sehingga ia boleh mengambil ‘azimah, bukan rukhsah. Yakni ‘azimah dalam melaksanakan semua hukum yang dituntut oleh syari’at Islam, kecuali dalam keadaan dharurah yang datang kemudian.
Khilafah merupakan natijah (hasil) daripada pembentukan jama’ah atau ummah yang berasaskan didikan iman. Inilah sunnah Allah SWT. Firman Allah SWT:
“Allah menjadikan bagi orang-orang yang beriman antara kamu serta melaksanakan amalan-amalan yang saleh bahawa mereka akan menjadi khalifah di muka bumi sebagai mana orang-orang terdahulu telah menjadi khalifah. Juga Allah telah menetapkan Din mereka yang Allah telah redha bagi mereka dan Allah akan tukarkan suasana ketakutan dengan keamanan; mereka memperhambakan diri kepada Aku (Allah) tanpa syirik sedikitpun dengan Aku. Barang siapa yang kufur selepas itu maka mereka itu sebenarnya orang-orang yang fasiq.”
(an-Nur: ayat 55)

Allah Tertinggi
Khilafah yang dimaksudkan oleh Islam bukanlah orang perseorangan, keluarga atau kelas-kelas tertentu, tetapi Jama’ah Ummah yang ada kepimpinan. Setiap anggotanya pula yakin dan menyerah kepada peraturan-peraturan yang Allah SWT turunkan. Khalifah pula bertanggungjawab mengurus daulah dan semua urusan berdasarkan syari’at Allah SWT.
Khalifah adalah wakil Allah SWT di bumi, bukannya penggubal undang-undang berdasarkan kehendak sendiri. Sesungguhnya Pencipta undang-undang hanyalah Allah SWT.
Hukum-hukum Allah SWT dalam al-Quran dan as-Sunnah adalah hukum-hukum tertinggi. Orang-orang mu’min tiada pilihan lain melainkan mematuhinya. Tiada sebarang hak bagi seseorang muslim atau mu’min untuk membuat hukum sendiri dalam perkara-perkara yang telah ditentukan Allah SWT dalam al-Quran dan as-Sunnah. Sebarang penyelewengan daripada hukum Allah SWT dan Rasul-Nya adalah berlawanan dengan aqidah atau iman. Firman Allah SWT:
“Apabila Allah dan Rasul-Nya menghukum mengenai sesuatu urusan maka tidak boleh lagi bagi orang-orang mu’min lelaki dan perempuan memilih berbuat mengikut kemahuannya. Barang siapa yang durhaka kepada Allah dan Rasul-Nya maka sesungguhnya dia benar-benar sesat.” (al-Ahzab: ayat 36)
“Mereka berkata, “Kami telah beriman dengan Allah dan Rasul dan kami telah taat”, kemudian satu puak di kalangan mereka berpaling lagi selepas itu, maka mereka bukan lagi orang mu’min. Apabila mereka diajak kepada hukum Allah dan Rasulnya supaya berjalan hukuman di kalangan mereka tiba-tiba satu puak daripada mereka enggan menurutnya.” (an-Nur: ayat 47-48)
“Sesungguhnya perkataan orang-orang yang beriman itu apabila diajak kepada hukum Allah dan Rasul-Nya supaya berjalan hukuman di kalangan mereka, mereka berkata: “Kami dengar dan kami patuh” dan mereka itulah orang-orang yang berjaya.” (an-Nur: ayat 51)

Baca Lagi....

Isnin, 28 Jun 2010

gambar pelik






















Baca Lagi....

AD-DIN AN-NASIHAH


Daripada Tamim bin ‘Aus ad-Dari r.a., bahawa Nabi SAW bersabda: mafhumnya:
“Din itu adalah nasihah (diulang tiga kali).” Kami (sahabat-sahabat) bertanya, “Untuk siapa, wahai Rasulullah?”. Jawab Baginda, “Untuk Allah ‘Azza Wa Jalla, untuk kitab-Nya, untuk Rasul-Nya SAW, untuk barisan kepimpinan ummah Islam dan untuk ummah Islam seluruhnya.” (Hadith Riwayat Muslim)

Kepentingannya
Hadith ini mempunyai kedudukan yang amat tinggi sehingga Abu Daud telah menjelaskan dengan katanya, “Ilmu Fiqh bersekitar atas lima hadith, iaitu:

hadith: “Perkara yang halal itu jelas dan perkara yang haram itu jelas...”,
2. hadith: “Tiada kemudharatan dan tiada sesuatu yang boleh memudharatkan.”,
3. hadith: “Sesungguhnya setiap amalan itu bermula dengan niat...”,
4. hadith: “Apa yang aku larangkan terhadap kamu daripada melakukannya maka jauhkanlah.”,
5. hadith: “Apa yang diperintahkan terhadap kamu melakukannya maka lakukannya sedaya upaya kamu.”.
Mengikut Imam al-Hafiz Abu Naim bin Abdullah bin al-Asbahi, seorang muhaddith dan sejarawan, menyatakan: “Bagi hadith ini suatu kedudukan yang begitu besar.” Sementara Muhammad bin Aslam at-Tusi pula menekankan dengan katanya: “Bahawasanya salah satu daripada seperempat mengenai ad-Din.”
Sesungguhnya penekanan yang diulang-ulangkan oleh Rasulullah SAW pada perkataan an-Nasihah sebanyak tiga kali menunjukkan an-Nasihah amat penting dalam Islam. Ia dianggap jauhar (intisari) ad-Din.

Kalimah an-Nasihah
An-Nasihah dari segi bahasa membawa erti suci murni, manakala dari segi istilah pula diikatkan dengan dua keadaan: Pertama: bila dihubungkan dengan Allah SWT, maka ia bererti keikhlasan semata-mata. Kedua: bila dihubungkan sesama manusia, maka ia bererti kalimah yang membawa tujuan kebaikan kepada seseorang yang dimaksudkan oleh kalimah itu.
Para sahabah r.a. telah bertanyakan Rasulullah SAW tentang bentuk-bentuk an-Nasihah. Kemudian baginda menjawab dengan sabdanya, “... An-Nasihah untuk Allah, Kitab-Nya (al-Quran), Rasul-Nya barisan kepimpinan ummah Islamiyyah dan untuk ummah Islam seluruhnya.”

Huraian Hadith
a. An-Nasihah Li Allah
An-Nasihah Li Allah membawa maksud keikhlasan yang yakin, bersungguh-sungguh dan semata-mata untuk Allah SWT dalam rangka menerima segala kewajipan yang ditentukan-Nya. Kewajipan-kewajipan itu hendaklah dilaksanakan dengan sebaik-baiknya
hingga dapat merasai kelazatannya. Keikhlasan yang tinggi tidak akan tercapai jika segala kewajipan yang dipertanggungjawabkan tidak dilakukan melalui proses tarbiyyah yang melahirkan kesungguhan, keyakinan dan ihsan.
Sifat ihsan itu tergambar apabila seseorang yang beribadah bersungguh-sungguh, yakin dan bermuraqabah Allah SWT.
Jalan untuk mencapai tahap ihsan ialah dengan melalui proses kefahaman yang syumul dan mendalam. Juga beriltizam dengan pembentukan yang menjauhkan diri daripada melakukan perkara-perkara yang diharamkan Allah SWT dengan penuh keinsafan dan keikhlasan. Lebih tinggi lagi, menjauhkan diri daripada perkara-perkara yang dimakruhkan sekaligus menunaikan segala perkara yang difardhu atau diwajibkan. Lebih tinggi daripada itu, melakukan amalan-amalan yang membawa taqarrub kepada Allah SWT iaitu amalan-amalan an-Nawafil (sunat).
Inilah jalan tarbiyyah dan pembentukan. Jalan untuk melahirkan al-Muslim al-Rabbani al-Multazim. Inilah jalan penting harakah Islamiyyah yang inginkan keredhaan Allah SWT.
Amalan ikhlas untuk Allah SWT semata-mata akan tercapai dalam bentuknya yang tertinggi apabila seseorang itu berjihad secara ‘azimah. Jihad seperti ini memerlukan kemampuan serta kerelaan hakiki, kesungguhan yang berterusan dan memusatkan segala kepentingan kepada Allah SWT semata-mata.
Para al-Hawariyyun (penyokong) Nabi Isa a.s. telah meminta penjelasan, “Apakah an-Nushu Lillah itu? “. Jawab Isa a.s, “Bahawa kamu utamakan hak Allah SWT daripada hak manusia. Dan sekiranya kamu berhadapan dengan dua keadaan yang jelas, satu untuk Allah SWT dan satu lagi untuk keperluan dunia, maka urusan Allah SWT itulah yang mesti disempurnakan terlebih dahulu.”
Kesimpulan an-Nasihah Li Allah itu ialah i’tiqad yang sejahtera dalam mentauhidkan Allah SWT. Serentak dengannya ialah mengabdikan diri secara syumul dan penuh jujur.
b. An-Nasihah Li Kitab Allah
An-Nasihah Li Kitab Allah bermaksud menerima Kitab Allah SWT dengan penuh keimanan dan menghayatinya mengikut proses pembentukan secara berperingkat-peringkat. Penghayatan itu mesti dipertahan, dikekalkan, seterusnya dikembangkan kepada manusia lain dengan jihad yang ikhlas.
Penerimaan Kitab Allah SWT mestilah dengan pembacaan yang betul, penelitian yang mendalam, pengamalan kewajipan yang diperintahkan dan penghindaran segala larangannya.
c. An-Nasihah Li Rasulillah
An-Nasihah Li Rasulillah membawa erti beriman dengan kukuh terhadap kebenaran kenabian Rasulullah SAW dan da’wahnya. Keimanan ini mencetuskan kepatuhan terhadap pembawaan dan sunnahnya. Keimanan ini juga mengambil Rasulullah SAW sebagai Qudwah Hasanah sama ada dalam bentuk percakapan mahupun amalan.
Sementara Muhammad bin Aslam at-Tusi pula menekankan dengan katanya: "Bahawasanya salah satu daripada seperempat mengenai ad-Din.”
Sesungguhnya penekanan yang diulang-ulangkan oleh Rasulullah SAW pada perkataan an-Nasihah sebanyak tiga kali menunjukkan an-Nasihah amat penting dalam Islam. Ia dianggap jauhar (intisari) ad-Din.
Kalimah: an-Nasihah
An-Nasihah dari segi bahasa membawa erti suci murni, manakala dari segi istilah pula diikatkan dengan dua keadaan: Pertama: bila dihubungkan dengan Allah SWT, maka ia bererti keikhlasan semata-mata. Kedua: bila dihubungkan sesama manusia, maka ia bererti kalimah yang membawa tujuan kebaikan kepada seseorang yang dimaksudkan oleh kalimah itu.
Para sahabah r.a. telah bertanyakan Rasulullah SAW tentang bentuk-bentuk an-Nasihah. Kemudian baginda menjawab dengan sabdanya, “... An-Nasihah untuk Allah, Kitab-Nya (al-Quran), Rasul-Nya barisan kepimpinan Ummah Islamiyyah dan untuk ummah Islam seluruhnya.”
Sifat ihsan itu tergambar apabila seseorang yang beribadah bersungguh-sungguh, yakin dan bermuraqabah Allah SWT.
Jalan untuk mencapai tahap ihsan ialah dengan melalui proses kefahaman yang syumul dan mendalam. Juga beriltizam dengan pembentukan dan menjauhkan diri daripada melakukan perkara-perkara yang diharamkan Allah SWT dengan penuh keinsafan dan keikhlasan. Lebih tinggi lagi, menjauhkan diri daripada perkara-perkara yang dimakruhkan sekaligus menunaikan segala perkara yang diperintahkan.
An-Nasihah Li Aimmah al-Muslimin Wa Wulatihim
An-Nasihah Li Aimmah al-Muslimin Wa Wulatihim membawa erti An-Nasihah untuk barisan kepimpinan umat Islam dan untuk siapa sahaja yang dipertanggungjawabkan sebagai pemimpin.
An-Nasihah kepada mereka juga memberi erti cinta dan kasih kepada mereka, memperingatkan mereka supaya sentiasa berada dalam tausih dan musyawarah dan membantu mereka dalam islah dan ketaatan terhadap perkara-perkara hak. Juga memperingatkan mereka daripada sebarang keadaan yang boleh menimbulkan fitnah dan kerosakan yang menggugurkan hak kepatuhan dan wala’.
d. An-Nasihah Li ‘Ammah al-Muslimin
An-Nasihah Li ‘Ammah al-Muslimin membawa maksud pembentukan umat Islam seluruhnya. Juga menunjukkan kepada umat Islam jalan kesejahteraan sebenar untuk dilalui dan kekal di atasnya. Di samping itu ia memberikan penjelasan dan peringatan akan jalan-jalan kerosakan agar mereka menghindarinya.
Pembentukan ukhuwwah tercapai dengan cara mengasihi mereka seperti mana kita mengasihi diri sendiri. Seterusnya membenci terhadap perkara-perkara yang boleh menyesatkan mereka.
Umat Islam adalah satu jamaah di bawah lindungan kesatuan ‘aqidah dan kesatuan matlamat. Daripada hakikat ini memancar syari’at Allah SWT dan akhlak al-Quran yang tunggal lagi qudus.
Beberapa perkara penting
Jihad adalah bukti kewujudan an-Nasihah untuk Allah SWT dan Rasulullah SAW. Ketiadaan jihad tanpa uzur syar’i adalah bukti ketiadaan an-Nasihah untuk Allah SWT dan Rasulullah SAW. Firman Allah SWT:


“Tiada dosa (lantaran tidak berjihad) ke atas orang-orang yang lemah, orang-orang yang sakit dan orang-orang yang tidak memperolehi apa yang mereka nafkahkan, apabila mereka berlaku ikhlas kepada Allah dan Rasul-Nya. Tiada sebarang jalan sedikitpun untuk menyalahkan orang-orang yang berbuat baik dan Allah Maha Pengampun lagi Maha Penyayang.” (at-Taubah: ayat 91)
Orang berkeuzuran syar’ie yang terhalang untuk keluar berjihad tidaklah berdosa selagi mana dia benar-benar ikhlas kepada Allah SWT dan Rasulullah SAW. Jika dia membawa sifat-sifat munafiq dan berpura-pura uzur untuk berpaling daripada jihad, bermakna dia melakukan pendustaan dan tipu helah terhadap orang-orang Islam. Jelaslah dia tidak berjihad dan tidak jujur.
2. An-Nasihah untuk barisan pemimpin, pada pandangan Islam, adalah sangat penting. Rasulullah SAW bersabda (yang bermafhum):
“Sesungguhnya Allah meredhai kamu dalam tiga keadaan: yang menyembah-Nya dan tidak mensyirikkan-Nya dengan sesuatu, yang berpegang dengan tali-Nya sepenuhnya dan tidak berpecah-belah, dan yang nasihat-menasihati wali-wali Allah dan pemerintahnya.”
“Tiga golongan yang tidak digelincirkan atas mereka: hati muslim yang mengikhlaskan amalan kepada Allah, nasihat-menasihati pemerintah-pemerintah dan sentiasa berada dalam jamaah umat Islam.”
3. Rasulullah SAW menjelaskan (yang bermafhum):
“Sesiapa yang tidak mengambil berat dengan urusan yang berkaitan umat Islam maka dia bukanlah daripada kalangan mereka.”
4. Dalam konteks Tarbiyyah Islamiyyah Harakiyyah, ad-Din an-Nasihah ialah berusaha melahirkan kumpulan Muslim Mu’min Muttaqi ‘Amil atau al-Jil ar-Rabbani al-Multazim atau Jil al-Quran.

Baca Lagi....

HUSNUL KHULUK


Muqaddimah

Kedudukan Akhlak Dalam Islam

Firman Allah swt yang bermaksud :
" Sesungguhnya engkau mempunyai akhlak yang luhur " ( Al- Qalam ; 4 )

Anas r.a berkata :
" Adalah Rasulullah SAW adalah sebaik-baik manusia budi pekertinya "
( Bukhari & Muslim )

Sabda Rasulullah SAW :
" Sesungguhnya aku diutuskan untuk menyempurnakan akhlak yang mulia "
( Ahmad, Hakim & Baihaqi )

Pernah Rasulullah saw ditanya : wahai Rasulullah , apakah agama itu ? Baginda menjawab 'Akhlak yang mulia'
Islam itu adalah penting. Tujuan risalah Islam itu sendiri adalah untuk menyempurnakan dan menyebarkan akhlak yang mulia, juga definisi Islam itu sendiri dihubungkan dengan akhlak yang baik. Akhlak yang mulia ialah suatu perkara yang mesti dititik beratkan demi mencapai kesempurnaan iman.

Dengan adanya akhlak yang luhur segala tingkah laku manusia akan suci dan sesuai dengan jawatan yang telah dirahmatkan oleh Allah swt. ke atasnya iaitu sebagai "khalifatullah fil ardh". Islam dengan sungguh-sungguh berusaha untuk menjadikan ini satu kenyataan dengan jalaan membentuk unsur-unsur yang kuat dan manusia yang soleh. Ada dua pedoman pokok yang patut diperhatikan oleh mukmin.

1. Bagi setiap orang, ia mesti berusaha ke arah kemuliaan dan kesuciaan, mengalahkan hawa nafsu dan syahwat syaitaniah, mengenal dan melaksanakan hak dan kewajipan, berpegang teguh kepada sendi-sendi keutamaan, menghindarkan diri dari segala kecurangan dan memasukkan dirinya ke dalam lingkungan yang suci.

2. Bagi mayarakat umum, mestilah suka tolong-menolong , mendahului
kepentingan orang lain, berkorban, melenyapkan diri sendiri, saling kasih-mengasihi, hormat-menghormati, jujur, ikhlas, dapat di percayai, mematuhi janji, lapang dada, baik hati dan tenang jiwa.

Apabila hidupnya kedua-dua pedoman tadi, maka lahirlah satu masyarakat yang kehidupannya serba mengembirakan, penuh kewibawaan dan keagungan, pimpinan yang stabil dan kekuasaan yang tidak mudah tergoncang dan rapuh, jelasnya setiap ahli masyarakat mempunyai perasaan dan peranan yang besar dalam tugas ini.

Akhlak yang baik muncul dari diri seseorang itu menentukan kebahgiaan yang lebih besar dari segi hidup masyarakat.

Taarif Akhlak

Al-khula dalam bahasa arab beerti sifat dan natur. Menurut istilah yang dikemukakan oleh Al-Ghazali ianya bawaan sifat jiwa yang tersembunyi di dalam yang mendorong atau melahirkan perbuatan tanpa disengajakan.

Dapatlah difahami bahawa akhlak itu ialah kumpulan sifat-sifat yang tersembunyi di dalam jiwa dan berdasarkan dorongan atau pertimbangan sifat itu sesuatu perbuatan itu dapat dikatakan baik atau buruk menurut pandangan manusia dan dengan sifat itu dapat melaksanakan atau meninggalkan perbuatannya.

Menurut Al- Ghazali lagi, segala adab sopan anggota badan zahiriah adalh tanda adalah tanda kesopanan batiniah. Segala gerakan anggota badan adalah buah yang terguris di dalam hati yakni segala amal perbuatan dari akhlak. Syed Sabiq menyatakan bahawa jiwa adalah induk dan pusat yang menyebabkan terjadinya ssesuatu kelakuan dan perbuatan. Jadi apabila jiwa itu baik pastilah amalan yang ditimbulkan itu baikdan begitulah sebaliknya. Seperti sabda Rasulullah saw dari Nukman Bin Basir:
" Bahawasanya di dalam tubuh manusia ada segemgam daging apabila ia baik, baiklah pula seluruh badan tetapi apabila ia buruk, buruklah pula seluruh badan, ingatlah itu adalah hati"
( Baihaqi )

Kelemahan Manusia dan Penyakit Jiwa.

Al Quran menghuraikan masalah penyakit-penyakit jiwa dengan tujuan agar manusia dapat mengubati kekurangan-kekurangan yang terdapat di dalam hati.
Firman Allah swt. yang bermaksud :
" Allah berkehendak akan memberikan keringanan padamu semua kerana manusia itu diciptakan dalam keadaan yang lemah sekali."
(An-Nisa': 28)
Manusia tidak pernah tetap dalam satu keadaan, tidak pernah merasa tenang dalam sesuatu suasana. Ianya sentiasa terumbang-ambing olek adanya perkara baru, bahkan ia gemar sekali berubah-ubah dalam seribu macam corak atu menampakkan diri dalam seribu juta ragam bentuk yang berbeza-beza.
Firman Allah swt. yang bermaksud :
" Di kala manusia itu ditimpa sesuatu bahaya iapun lalu memohon kepada kami, baik waktu tidur , duduk atau pun berdiri. Tetapi di kal kami telah melepaskan kesukaran, ia lalu melakukan apa-apa yang sudah-sudah seolah-olahnya tidak pernah bermohon kepada kami untuk menghilangkan kesukarannya tadi."
(Yunus : 12 )
dan dalam surah Al-Maarij ayat 19-21 Allah swt berfirman yang bermaksud :
" Seusngguhnya manusia itu tercipta serba menyukarkan. Apabila ia tertimpa sesuatu kecelakaan ia mengeluh, tetapi apabila ia menerima kebakkan ia menjadi kikir."

Kemuliaan Jiwa

Islam memandang kemulian jiwa sebagai akhlak dan perangai yang sebagus-bagusnya. Firman Allah swt bermaksud :
" Kemuliaan hanya bagi Allah, Rasulnya dan sekelian orang mukmin tetapi kaum munafiqin tidak menyedari"
( Munafiqun :8 )

Kemuliaan jiwa timbulnya sebagai langkah dalam kemahuan hendak merealisasikan terjelmanya keagungan dan kebaikkan. Ini juga sebagai satu-satunya jalan untu mencapai kebaikkan, menghalu kejahatan, mengusahakan keutamaan, melepaskan diri dari hawa nafsu dan mensuci dari segala sifat-sifat yang hina. Dengan adanya kekuatan peribadi yang baik ini keengganan untuk melakukan kecurangan dan sesuatu yang boleh menjejaskan akhlak yang baik akan ternyata.

Telah menjadi tugas mukmin memupuk kemuliaan jiwa dan menguburkan penyakit-penyakit jiwa tadi. Dengan kesuburan akhlak dan kemuliaan akan lahirlah satu masyarakat yang harmonis dan jika berlaku yang sebaliknya akan meneraplah nilai-nilai curang yang akan mengheretnya ke arah kemaksiatan dan kehinaan.

Ciri-ciri Akhlak Dalam Islam

a) Ajaran-ajaran akhlak dalam bentuknya yang umum.
Islam secara umumnya menyeru manusia agar berakhlak baik.


Firman Allah swt.

bermaksud:
" katakanlah kepada hambaku supaya mereka menyatakan perkataan baik-baik. Sesungguhnya syaitan itu berbuat bencana antara mereka itu. Sesungguhnya syaitan seteru yang terang bagi manusia."
( Al-Isra' : 53 )

" bertolong-tolonglah kamu berbuat kebajikan dan taqwa dan janganlah kamu bertolong-tolongan berbuat dosa dan aniaya."
( Al-Maidah : 2 )
Malah banyak lagi ayat-ayat Al-Quran yang menyuruh berakhlak baik semuanya berbentuk umum.

b) Kelengkapan berakhlak baik dalam Islam.

Berbagai ciri khas sistem akhlak dalam Islam ialah lengkap dan luas bidangnya. Ianya
meliputi semua aspek perbuatan manusia baik mengenai dirinya, yang mengenai orang lain (baik muslim atau kafir ) dan juga binatang. Tidak ada sesuatu perbuatan manusia yang keluar dan tidak diatur oleh peraturan akhlak dalam Islam dan setiap orang Islam wajib memeliharanya.

c) Norma akhlak harus dilaksanakan dalam cara dan tujuan.

Ciri ini menegaskan kewajipan menerapkan akhlak dalam semua tindakan dan tujuan dari tidak-tanduk itu. Tidak boleh mencapai sesuatu tujuan itu dengan cara yang bertentangan dengan akhlak. Islam menentang prinsip ' al-ghayah tubarirul wasilah' atau tujuan dinyatakan dengan cara. Tegasnya cara-cara yang diterima oleh lingkungan akhlak juga.

c) Hubungan Akhlak dengan keimanan dan taqwa.

Akhlak dalam Islam mempunyai hubunganyang sangat erat dengan keimanan dan
taqwa kepada Allah swt. Firman Allah swt. yang bermaksud :
" Dan sempurnakanlah janji itu sehingga sampai waktunya.sesungguhnya Allah sayang kepada orang yang takut."
( Al-Taubah : 4 )

Di dalam hadis ada diterangkan :
" Orang mukmin yang sempurna imannya ialah ialah yang terbaik budi pekertinya, dan sebaik-baik di antara kamu ialah yang terbaik terhadap isterinya."
( Dari Abu Hurairah & Riwayat At- tarmizi )

Akhlak yang mulia merupakan buah keimanan. Perasaan taqwa dan sentiasa menghitung-hitung hari pertemuan dengan Allah lah yang mendorong seseorang itu berjaga-jaga dalam segala tingkah lakunya. Sifat berjaga-jaga ini membentuk akhlak dan kemuliaan pula.


d) Hukuman bagi menjaga akhlak

Di samping menggalakkan manusia melaksanakan hal-hal yang diperintahkan, Islam
tidak pula melupakan adanya kekuasaan dan penggunaan kekerasan terhadap perlanggaran peraturan dalam berakhlak. Itulah sebabnya diadakan hukuman qisas dan ta'zir.
Hukum qisas dijalankan apabila batasan akhlak telah dilanggar sehingga hudud terpaksa dijalankan. Ini termasuklah zina, membunuh, mencuri dan lain-lain. Semantara itu ta'zir pula dijalankan untuk mengajar dan mengingatkan perlanggaran norma-norma akhlak yang melibatkan diri dalam perkara riba, mengganggu wanita, minum arak buat pertama kali dan kesalahan-kasalahan lain yang perlu diberi amaran dan pengajaran. Biasanya ta'zir dilakukan dengan hukuman sebat atau buang negeri misalnya. Kezaliman yang dilakukan jika tidak diambil tindakan lama-kelamaan akan membawa kehancuran masyarakat itu.

Pembaikan Akhlak

Banyaknya perintah Allah swt menyuruh manusia memperbaiki akhlak bermakna akhlak itu dapat diperbaiki. Semua manusia dapat merubah akhlaknya. Akhlak yang keji dapat diganti dengan akhlak yang baik. Firman Allah swt yang bermaksud :
" Demi jiwa serta penyempurnaanya (ciptaannya) maka Allah mengilhamkan kepada jiwa itu (jalan) kebaikan dan ketaqwaan, sesungguhnya beruntunglah orang yang mensucikan jiwa itu dan rugilah orang yang mengotorinya."

Memang tidak dinafikan tabi'I manusia berbeza-beza. Kesanggupan dan kemampuan membaiki akhlak itu berbeza-beza. Ada yang segera menerima dan ada yang lambat. Ada di antara manusia yang ada akhlak yang menonjol pada dirinya dan selalu mempengaruhi perbuatannya. Walaubagaimanapun ini semua menunjukkan bahawa akhlak itu dapat diperbaiki.

Cara Merubah Akhlak.

Menurut Imam Al Ghazali keluhuran akhlak itu berpunca:

1. Terjadi kerana kemurahan Allah swt dan kesempurnaan fitrah.
Memperolehi akhlak itu dengan perjuangan dan latihan-latihan diri (mujahadah)

Akhlak yang sempurna hanya akan diperolehi dengan cara berjuang mendapatkanya. semua akhlak tidak dapat meresap ke dalam jiwa seseorang selagi ia tidak membiasakan dirinya dengan segala amalan dan latihan yang baik. Sekiranya nafsu itu boleh dibiasakan merasa enak membuat kebatilan sepatutnya ia boleh diarahkan untuk merasakan enak berbuat kebaikan.
Pendeknya cara pokok bagi merubah akhlak keji ialah dengan cara berusaha mengurangi pengaruh sifat keji tadi dan membersihkan serta menghilangkan sifat-sifat yang keji serta mengarahkan kepada sifat-sifat yang diredhoi Islam.

Beberapa Cara Terperinci Bagi Merubah Akhlak (rujuk usul dakwah : 132 )

a) Ilmu pengetahuan. Kita perlu mengetahui apakah akhlak-akhlak yang baik yang diredhoi Allah swt dan apakah yang dibencinya. Dengan pengetahuan ini kita boleh memilih yang mana baik dan membuang yang buruk.

b) Pentingnya melihat di manakah kedudukan akhlak yang mulia itu dengan dasar-dasar keimanan kerana keimanan dan ketaqwaan dapat memperolehi keredhoan Allah swt.

c) Pentingnya ilmu pengetahuan tadi ditanam dalam diri semoga tidak lupa. Misalnya di kala Sayyidina Umar r.a marah kepada seorang lelaki yang menuduhnya menghukum secara tidak adil, orang yang hadir mengingatkan Sayyidina Umar r.a :
"wahai Amirul Mukminin, Allah swt telah berfirman : "jadikanlah engkau seorang pemaaf dan serulah orang mengerjakan yang maaruf serta berpalinglah dari orang-orang yang bodoh."
(Al- A'raf : 109 )

Setelah mendengar ayat itu beliau berkata " kamu sekalian benar". Hilanglah marahnya.

d) Membuat perkara yang bertentangan dengan perbuatan yang hendak diubahnya yakni melakukan perkara-perkara yang berlawanan dengan kehendak syaitan.

e) Memperkukuhkan keyakinannya ke dalam jiwa terutamanya keimanan kepada Allah swt., Hari Qiamat dan Risalah Rasulullah saw. Dengan berpandukan ini kita sentiasa ingat akan tujuan hidup ini dan akan terus memperbaiki akhlak kita demi mencari keredhoan Allah swt.

e) Membiasakan diri berbuat baik serta mendorong jiwa untuk menerima

"sesungguhnya beroleh keuntunganlah orang-orang yang memperbaiki jiwanya."
( Al-A'la : 14 )

Bersihnya jiwa itu ialah dengan amal soleh. Ini termasuklah mengerjakan ibadat-ibadat dengan kefahaman yang sebenarnya.

g) Bergaul dengan orang-orang yang berakhlak baik dan mendengar nasihat-nasihat dari mereka. Dengan jalan inilah, InshaAllah kita akan sentiasa diingati dan dimuhasabahkan jika berbuat salahdan diperbetulkan ke arah yang mulia.

h) Mengerjakan berbagai-bagai ibadah samada yang sunat ataupun yang fardhu, sebab tujuan ibadah ialah untuk membersihkan jiwa (diri).

i) Mencontohi ahklak-akhlak yang baik

j) Mencari biah yang soleh dan meninggalkan biah yang jahat

k) Bersedia menerima nasihat dari orang yang soleh.

Beberapa Contoh Akhlak Dari Al-Quran.

a) Benar, yakni benar dalam matlamat, tujuan dan cita-cita kita sebagai seorang Islam di Muka bumi ini. Mesti juga benar dalam percakapan dan dalam perbuatan. Hendaklah jauhkan dari perkara-perkara bathil (rujuk Usul Dakwah- Tanda Keimanan dan Buah Iman Seseoran). Firman Allah swt :

"Hai orang yang beriman , bertaqwalah kepada Allah dan hendaklah kamu beserta orang-orang yang benar."
(At-Taubah : 129 )



"Sesungguhnya Allah tiada menunjuki orang-orang yang berlebihan (melampaui batas) dan pendusta".
( Al-Mukmin : 28 )

b) Sabar. Yakni sabar dalam melakukan ketaatan kepada Allah swt dan sabar dalm meninggalkan kemaksiatan kerana takut akan azab Allah dan cinta kepadanya dan juga sabar dalam menghadapi ujian dan cabaran. Firman Allah swt

bermaksud:
"Wahai orang-orang yang beriman, jadikanlah sabar dan solat sebagai penolongmu."
(Al-baqarah : 28 )

"Hendaklah engkau sabar kerana sesungguhnya Allah tiada menyiakan pahala orang berbakti (muhsinin)."
( Hud : 15 )

c) Rahmah (kasih sayang). Kita haruslah mempunyai hati yang bersifat rahmah dan belas kasihan kepada manusia. Manusia biasanya menolak Islam kerana kejahilannya. Dengan sifat ini kita tidak akan lekas kecewa dan sebaliknya dengan hati yang keras orang akan benci kepada kita. Firman Allah

bermaksud:
"Sesungguhnya telah datang kepadamu seorang rasul dari kaum mu sendiri. Berat terasa olehnya penderitaanmu. Sangat menginginkan (keimanan dan keselamatan) bagimu amat belas kasihan lagi maha penyayang terhadap orang mukmin."
(At-Taubah : 123 )

"maka disebabkan rahmat dari Allah kamu berlaku lemah lembut terhadap mereka. Sekiranya kamu bersikap keras lagi berhati kasar, tentulah mereka menjauhkan diri dari sekelilingmu."
(Ali-Imran : 159 )

d) Tawaddu' . Yakni merendah diri dan menerimakebenaran dan bersedia mengikutnya sekalipun orang-orang jahil menasihatinya. Takabbur atau sombong sangat dibenci oleh Allah dan juga oleh manusia lain. Kemuliaan di sisi Allah diukur dari segi ketaqwaan seseorang itu bukannya pangkat, harta dan lain-lain.
Firman Allah yag bermaksud:
"Rendahkan sayapmu (berhina diri,jangan sombong) kepada orang-orang yang beriman yang mengikutmu."

Penutup

Sebagaimana kalau kita sakit, kita sedaya upaya mahu cepat sembuh, begitulah dengan akhlak yang keji yang ada hendaklah ianya diumpamakan sebagai penyakit atau kuman yang boleh memudharatkan diri kita yang mana kita hendaklah cepat-cepat membenteraskannya. Akhlak yang mulia diredhoi Allah dan juga orang-orang sekeliling kita. Ia bagaikan tarikan besi berani. Orang-orang yang senang dengan kita dan InshaAllah mahu mencontohi kita pula. Yang lebih pentingnya akhlak yang mulia merupakan hasil keimanan kita, keimanan yag suci dan ikhlas adalah laksana sepohon kayu yang sihat akarnya, lebat buahnya serta manis. Ingatlah kita pada pesanan Rasulullah :
"Takutlah kepada Allah di mana sahaja engkau berada dan ikutlah sesuatu kejelekan itu dengan kebaikan, maka kebaikan itu dapat menghapuskan kejelekan tadi, juga pergaulilah seluruh manusia dengan budi pekerti yang bagus.
( Tarmizi )

Baca Lagi....

1001 KISAH TELADAN


KUBUR BERKATA-KATA
Dikisahkan bahawa sewaktu Fatimah r.a. meninggal dunia maka jenazahnya telah diusung oleh 4 orang, antara :-

1. Ali bin Abi Talib (suami Fatimah r.a)
2. Hasan (anak Fatima r.a)
3. Husin (anak Faimah r.a)
4. Abu Dzafrrin Al-Ghifary r.a

Sewaktu jenazah Fatimah r.a diletakkan di tepi kubur maka Abu Dzafrrin Al-Ghifary r.a berkata kepada kubur, "Wahai kubur, tahukah kamu jenazah siapakah yang kami bawakan kepada kamu ? Jenazah yang kami bawa ini adalah Siti Fatimah az-Zahra, anak Rasulullah s.a.w."
Maka berkata kubur, "Aku bukannya tempat bagi mereka yang berdarjat atau orang yang bernasab, adapun aku adalah tempat amal soleh, orang yang banyak amalnya maka dia akan selamat dariku, tetapi kalau orang itu tidak beramal soleh maka dia tidak akan terlepas dari aku (akan aku layan dia dengan seburuk-buruknya)."
Abu Laits as-Samarqandi berkata kalau seseorang itu hendak selamat dari siksa kubur hendaklah melazimkan empat perkara semuanya :-

1. Hendaklah ia menjaga solatnya
2. Hendaklah dia bersedekah
3. Hendaklah dia membaca al-Quran
4. Hendaklah dia memperbanyakkan membaca tasbih kerana dengan memperbanyakkan membaca tasbih, ia akan dapat menyinari kubur dan melapangkannya.

Adapun empat perkara yang harus dijauhi ialah :-

1. Jangan berdusta
2. Jangan mengkhianat
3. Jangan mengadu-domba (jangan suka mencucuk sana cucuk sini)
4. Jangan kencing sambil berdiri

Rasulullah s.a.w. telah bersabda yang bermaksud, "Bersucilah kamu semua dari kencing, kerana sesungguhnya kebanyakan siksa kubur itu berpunca dari kencing."
Seseorang itu tidak dijamin akan terlepas dari segala macam siksaan dalam kubur, walaupun ia seorang alim ulama' atau seorang anak yang bapanya sangat dekat dengan Allah s.w.t.. Sebaliknya kubur itu tidak memandang adakah orang itu orang miskin, orang kaya, orang berkedudukan tinggi atau sebagainya, kubur akan melayan seseorang itu mengikut amal soleh yang telah dilakukan sewaktu hidupnya di dunia ini.

Jangan sekali-kali kita berfikir bahawa kita akan dapat menjawab setiap soalan yang dikemukakan oleh dua malaikat Mungkar dan Nakir dengan cara kita menghafal. Pada hari ini kalau kita berkata kepada saudara kita yang jahil takutlah kamu kepada Allah s.w.t. dan takutlah kamu kepada soalan yang akan dikemukakan ke atas kamu oleh malaikat Mungkar dan Nakir, maka mereka mungkin akan menjawab, "Ah mudah sahaja, aku boleh menghafal untuk menjawabnya."
Itu adalah kata-kata orang yang tidak berfikiran। Seseorang itu tidak akan dapat menjawab setiap soalan di alam kubur jikalau dia tidak mengamalkannya sebab yang akan menjawab ialah amalnya sendiri. Sekiranya dia rajin membaca al-Quran, maka al-Quran itu akan membelanya dan begitu juga seterusnya.

KISAH ASAL USUL HAJAR ASWAD

Ketika Nabi Ibrahim a.s bersama anaknya membina Kaabah banyak kekurangan yang dialaminya. Pada mulanya Kaabah itu tidak ada bumbung dan pintu masuk. Nabi Ibrahim a.s bersama Nabi Ismail bertungkus kumus untuk menjayakan pembinaannya dengan mengangkut batu dari berbagai gunung. Dalam sebuah kisah disebutkan apabila pembinaan Kaabah itu selesai, ternyata Nabi Ibrahim masih merasakan kekurangan sebuah batu lagi untuk diletakkan di Kaabah. Nabi Ibrahim berkata Nabi Ismail berkata, "Pergilah engkau mencari sebuah batu yang akan aku letakkan sebagai penanda bagi manusia."

Kemudian Nabi Ismail a.s pun pergi dari satu bukit ke satu bukit untuk mencari batu yang baik dan sesuai. Ketika Nabi Ismail a.s sedang mencari batu di sebuah bukit, tiba-tiba datang malaikat Jibril a.s memberikan sebuah batu yang cantik. Nabi Ismail dengan segera membawa batu itu kepada Nabi Ibrahim a.s. Nabi Ibrahim a.s. merasa gembira melihat batu yang sungguh cantik itu, beliau menciumnya beberapa kali. Kemudian Nabi Ibrahim a.s bertanya, "Dari mana kamu dapat batu ini?"

Nabi Ismail berkata, "Batu ini kuterima daripada yang tidak memberatkan cucuku dan cucumu (Jibril)."
Nabi Ibrahim mencium lagi batu itu dan diikuti oleh Nabi Ismail a.s. Sehingga sekarang Hajar Aswad itu dicium oleh orang-orang yang pergi ke Baitullah. Siapa sahaja yang bertawaf di Kaabah disunnahkan mencium Hajar Aswad. Beratus ribu kaum muslimin berebut ingin mencium Hajar Aswad itu, yang tidak mencium cukuplah dengan memberikan isyarat lambaian tangan sahaja. Ada riwayat menyatakan bahawa dulunya batu Hajar Aswad itu putih bersih, tetapi akibat dicium oleh setiap orang yang datang menziarahi Kaabah, ia menjadi hitam seperti terdapat sekarang. Wallahu a'alam.

Apabila manusia mencium batu itu maka timbullah perasaan seolah-olah mencium ciuman Nabi Ibrahim dan Nabi Ismail। Ingatlah wahai saudara-saudaraku, Hajar Aswad itu merupakan tempat diperkenan doa. Bagi yang ada kelapangan, berdoalah di sana, Insya Allah doanya akan dikabulkan oleh Allah s.w.t॥ Jagalah hati kita sewaktu mencium Hajar Aswad supaya tidak menyengutukan Allah s.w.t., sebab tipu daya syaitan kuat di Tanah Suci Mekah. Ingatlah kata-kata Khalifah Umar bin Al-Khattab apabila beliau mencium batu itu (Hajar Aswad) : "Aku tahu, sesungguhnya engkau hanyalah batu biasa. Andaikan aku tidak melihat Rasulullah s.a.w. menciummu, sudah tentu aku tidak akan melakukan (mencium Hajar Aswad)."

UNTA MENJADI HAKIM

Pada zaman Rasulullah s.a.w., ada seorang Yahudi yang menuduh orang Muslim mencuri untanya. Maka dia datangkan empat orang saksi palsu dari golongan munafik. Rasulullah s.a.w. lalu memutuskan hukum unta itu milik orang Yahudi dan memotong tangan Muslim itu sehingga orang Muslim itu kebingungan. Maka ia pun mengangkatkan kepalanya menengadah ke langit seraya berkata, "Tuhanku, Engkau Maha Mengetahui bahawa sesungguhnya aku tidak mencuri unta itu."
Selanjutnya orang Muslim itu berkata kepada Rasulullah s.a.w., "Wahai Rasulullah, sungguh keputusanmu itu adalah benar, akan tetapi mintalah keterangan dari unta ini."

Kemudian Rasulullah s.a.w. bertanya kepada unta itu, "Hai unta, milik siapakah engkau ini ?" Unta itu menjawab dengan kata-kata yang fasih dan terang, "Wahai Rasulullah, aku adalah milik orang Muslim ini dan sesungguhnya para saksi itu adalah dusta." Akhirnya Rasulullah s.a.w. berkata kepada orang Muslim itu, "Hai orang Muslim, beritahukan kepadaku, apakah yang engkau perbuat, sehingga Allah Taala menjadikan unta ini dapat bercakap perkara yang benar." Jawab orang Muslim itu, "Wahai Rasulullah, aku tidak tidur di waktu malam sehingga lebih dahulu aku membaca selawat ke atas engkau sepuluh kali."

Rasulullah s.a.w bersabda, "Engkau telah selamat dari hukum potong tanganmu di dunia dan selamat juga dari seksaan di akhirat nantinya dengan sebab berkatnya engkau membaca selawat untukku."
Memang membaca selawat itu sangat digalakkan oleh agama sebab pahala-pahalanya sangat tinggi di sisi Allah s।w.t. Lagi pula boleh melindungi diri dari segala macam bencana yang menimpa, baik di dunia dan di akhirat nanti. Sebagaimana dalam kisah tadi, orang Muslim yang dituduh mencuri itu mendapat perlindungan daripada Allah s.w.t. melalui seekor unta yang menghakimkannya.

KEJUJURAN SEORANG SAUDAGAR PERMATA

Pada suatu hari, seorang saudagar perhiasan di zaman Tabiin bernama Yunus bin Ubaid, menyuruh saudaranya menjaga kedainya kerana ia akan keluar solat. Ketika itu datanglah seorang badwi yang hendak membeli perhiasan di kedai itu. Maka terjadilah jual beli di antara badwi itu dan penjaga kedai yang diamanahkan tuannya tadi. Satu barang perhiasan permata yang hendak dibeli harganya empat ratus dirham. Saudara kepada Yunus menunjukkan suatu barang yang sebetulnya harga dua ratus dirham. Barang tersebut dibeli oleh badwi tadi tanpa diminta mengurangkan harganya tadi. Ditengah jalan, dia terserempak dengan Yunus bin Ubaid. Yunus bin Ubaid lalu bertanya kepada si badwi yang membawa barang perhiasan yang dibeli dari kedainya tadi. Sememangnya dia mengenali barang tersebut adalah dari kedainya. Saudagar Yunus bertanya kepada badwi itu, "Berapakah harga barang ini kamu beli?"

Badwi itu menjawab, "Empat ratus dirham." "Tetapi harga sebenarnya cuma dua ratus dirham sahaja. Mari ke kedai saya supaya saya dapat kembalikan wang selebihnya kepada saudara." Kata saudagar Yunus lagi. "Biarlah, ia tidak perlu. Aku telah merasa senang dan beruntung dengan harga yang empat ratus dirham itu, sebab di kampungku harga barang ini paling murah lima ratus dirham." Tetapi saudagar Yunus itu tidak mahu melepaskan badwi itu pergi. Didesaknya juga agar badwi tersebut balik ke kedainya dan bila tiba dikembalikan wang baki kepada badwi itu. Setelah badwi itu beredar, berkatalah saudagar Yunus kepada saudaranya, "Apakah kamu tidak merasa malu dan takut kepada Allah s.w.t. atas perbuatanmu menjual barang tadi dengan dua kali ganda?" Marah saudagar Yunus lagi.

"Tetapi dia sendiri yang mahu membelinya dengan harga empat ratus dirham." Saudaranya cuba mempertahankan bahawa dia dipihak yang benar. Kata saudagar Yunus lagi, "Ya, tetapi di atas belakang kita terpikul satu amanah untuk memperlakukan saudara kita seperti memperlakukan terhadap diri kita sendiri."
Jika kisah ini dapat dijadikan tauladan bagi peniaga-peniaga kita yang beriman, amatlah tepat. Kerana ini menunjukkan peribadi seorang peniaga yang jujur dan amanah di jalan mencari rezeki yang halal. Jika semuanya berjalan dengan aman dan tenteram kerana tidak ada penipuan dalam perniagaan.

Dalam hal ini Rasulullah s।a.w. bersabda, "Sesungguhnya Allah itu penetap harga, yang menahan, yang melepas dan memberi rezeki dan sesungguhnya aku harap bertemu Allah di dalam keadaan tidak seorang pun dari kamu menuntut aku lantaran menzalimi di jiwa atau diharga." (Diriwayat lima imam kecuali imam Nasa'i)

'AUJ BIN UNUQ DIBINASAKAN OLEH BURUNG HUD-HUD

'Auj bin Unuq adalah manusia yang berumur sehingga 4,500 tahun. Tinggi tubuh badannya di waktu berdiri adalah seperti ketinggian air yang dapat menenggelamkan negeri pada zaman Nabi Nuh a.s. Ketinggian air tersebut tidak dapat melebihi lututnya. Ada yang mengatakan bahawa dia tinggal di gunung. Apabila dia merasa lapar, dia akan menghulurkan tangannya ke dasar laut untuk menangkap ikan kemudian memanggangnya dengan panas matahari. Apabila dia marah atas sesebuah negeri, maka dia akan mengencingi negeri tersebut hinggalah penduduk negeri itu tenggelam di dalam air kencingnya.

Apabila Nabi Musa bersama kaumnya tersesat di kebun teh, maka 'Auj bermaksud untuk membinasakan Nabi Musa bersama kaumnya itu. Kemudian 'Auj datang untuk memeriksa tempat kediaman askar Nabi Musa a.s., maka dia mendapati beberapa tempat kediaman askar Nabi Musa itu tidak jauh dari tempatnya. Kemudian dia mencabut gunung-gunung yang ada di sekitarnya dan diletakkan di atas kepalanya supaya mudah untuk dicampakkan kepada askar-askar Nabi Musa a.s.
Sebelum sempat 'Auj mencampakkan gunung-gunung yang diunjung di atas kepalanya kepada askar Nabi Musa a.s, Allah s.w.t. telah mengutuskan burung hud-hud dengan membawa batu berlian dan meletakkannya di atas gunung yang dijunjung oleh 'Auj. Dengan kekuasaan Allah s.w.t., berlian tersebut menembusi gunung yang dijunjung oleh 'Auj sehinggalah sampai ke tengkuknya. 'Auj tidak sanggup menghilangkan berlian itu, akhirnya 'Auj binasa disebabkan batu berlian itu.

Dikatakan bahawa ketinggian Nabi Musa a।s adalah empat puluh hasta dan panjang tongkatnya juga empat puluh hasta dan memukulkan tongkatnya kepada 'Auj tepat mengenai mata dan kakinya. Ketika itu jatuhlah 'Auj dengan kehendak Allah s.w.t. dan akhirnya tidak dapat lari daripada kematian sekalipun badannya tinggi serta memiliki kekuatan yang hebat.

CINTA SEJATI SEORANG IBU TERHADAP ANAK-ANAKNYA

Wanita itu sudah tua, namun semangat perjuangannya tetap menyala seperti wanita yang masih muda. Setiap tutur kata yang dikeluarkannya selalu menjadi pendorong dan bualan orang disekitarnya. Maklumlah, ia memang seorang penyair dua zaman, maka tidak kurang pula bercakap dalam bentuk syair. Al-Khansa bin Amru, demikianlah nama wanita itu. Dia merupakan wanita yang terkenal cantik dan pandai di kalangan orang Arab. Dia pernah bersyair mengenang kematian saudaranya yang bernama Sakhr :

"Setiap mega terbit, dia mengingatkan aku pada Sakhr, malang. Aku pula masih teringatkan dia setiap mega hilang dii ufuk barat Kalaulah tidak kerana terlalu ramai orang menangis di sampingku ke atas mayat-mayat mereka, nescaya aku bunuh diriku."
Setelah Khansa memeluk Islam, keberanian dan kepandaiannya bersyair telah digunakan untuk menyemarakkan semangat para pejuang Islam. Ia mempunyai empat orang putera yang kesemuanya diajar ilmu bersyair dan dididik berjuang dengan berani. Kemudian puteranya itu telah diserahkan untuk berjuang demi kemenangan dan kepentingan Islam. Khansa telah mengajar anaknya sejak kecil lagi agar jangan takut menghadapi peperangan dan cabaran.

Pada tahun 14 Hijrah, Khalifah Umar Ibnul Khattab menyediakan satu pasukan tempur untuk menentang Farsi. Semua Islam dari berbagai kabilah telah dikerahkan untuk menuju ke medan perang, maka terkumpullah seramai 41,000 orang tentera. Khansa telah mengerahkan keempat-empat puteranya agar ikut mengangkat senjata dalam perang suci itu. Khansa sendiri juga ikut ke medan perang dalam kumpulan pasukan wanita yang bertugas merawat dan menaikkan semangat pejuan tentera Islam.
Dengarlah nasihat Khansa kepada putera-puteranya yang sebentar lagi akan ke medan perang, "Wahai anak-anakku! Kamu telah memilih Islam dengan rela hati. Kemudian kamu berhijrah dengan sukarela pula. Demi Allah, yang tiada tuhan selain Dia, sesungguhnya kamu sekalian adalah putera-putera dari seorang lelaki dan seorang wanita. Aku tidak pernah mengkhianati ayahmu, aku tidak pernah memburuk-burukkan saudara-maramu, aku tidak pernah merendahkan keturuna kamu, dan aku tidak pernah mengubah perhubungan kamu. Kamu telah tahu pahala yang disediakan oleh Allah s.w.t. kepada kaum muslimin dalam memerangi kaum kafir itu. Ketahuilah bahawasanya kampung yang kekal itu lebih baik daripada kampung yang binasa."

Kemudian Khansa membacakan satu ayat dari surah Ali Imran yang bermaksud, "Wahai orang yang beriman! Sabarlah, dan sempurnakanlah kesabaran itu, dan teguhkanlah kedudukan kamu, dan patuhlah kepada Allah, moga-moga menjadi orang yang beruntung." Putera-putera Khansa tertunduk khusyuk mendengar nasihat bonda yang disayanginya.
Seterusnya Khansa berkata, "Jika kalian bangun esok pagi, insya Allah dalam keadaan selamat, maka keluarlah untuk berperang dengan musuh kamu. Gunakanlah semua pengalamanmu dan mohonlah pertolongan dari Allah s.w.t.. Jika kamu melihat api pertempuran semakin hebat dan kamu dikelilingi oleh api peperangan yang sedang bergejolak, masuklah kamu ke dalamnya. Dan dapatkanlah puncanya ketika terjadi perlagaan pertempurannya, semoga kamu akan berjaya mendapat balasan di kampung yang abadi, dan tempat tinggal yang kekal."

Subuh esoknya semua tentera Islam sudah berada di tikar sembahyang masing-masing untuk mengerjakan perintah Allah s.w.t. iaitu solat Subuh, kemudian berdoa moga-moga Allah s.w.t. memberikan mereka kemenangan atau syurga. Kemudian Saad bin Abu Waqas panglima besar Islam telah memberikan arahan agar bersiap-sedia sebaik sahaja semboyan perang berbunyi. Perang satu lawan satu pun bermula dua hari. Pada hari ketiga bermulalah pertempuran besar-besaran. 41,000 orang tentera Islam melawan tentera Farsi yang berjumlah 200,000 orang. Pasukan Islam mendapat tentangan hebat, namun mereka tetap yakin akan pertolongan Allah s.w.t..

Putera-putera Khansa maju untuk merebut peluang memasuki syurga. Berkat dorongan dan nasihat dari bondanya, mereka tidak sedikit pun berasa takut. Sambil mengibas-ngibaskan pedang, salah seorang dari mereka bersyair, "Hai saudara-saudaraku! Ibu tua kita yang banyak pengalaman itu, telah memanggil kita semalam dan membekalkan nasihat. Semua mutiara yang keluar dari mulutnya bernas dan berfaedah. Insya Allah akan kita buktikan sedikit masa lagi."
Kemudian ia maju menetak setiap musuh yang datang. Seterusnya disusul pula oleh anak kedua maju dan menentang setiap musuh yang mencabar. Dengan semangat yang berapi-api ia bersyair,

"Demi Allah! Kami tidak akan melanggar nasihat dari ibu tua kami Nasihatnya wajib ditaati dengan ikhlas dan rela hati Segeralah bertempur, segeralah bertarung dan menggempur mush-musuh bersama-sama Sehingga kau lihat keluarga Kaisar musnah." Anak Khansa yang ketiga pula segera melompat dengan beraninya dan bersyair, "Sungguh ibu tua kami kuat keazamannya, tetap tegas tidak goncang Beliau telah menggalakkan kita agar bertindak cekap dan berakal cemerlang Itulah nasihat seorang ibu tua yang mengambil berat terhadap anak-anaknya sendiri. Mari! Segera memasuki medan tempur dan segeralah untuk mempertahankan diri Dapatkan kemenangan yang bakal membawakegembiraan di dalam hati Atau tempuhlah kematian yang bakal mewarisi kehidupan yang abadi."

Akhir sekali anak keempat menghunus pedang dan melompat menyusul abang-abangnya. Untuk menaikkan semangatnya ia pun bersyair, "Bukanlah aku putera Khansa', bukanlah aku anak jantan Dan bukanlah pula kerana 'Amru yang pujiannya sudah lama terkenal Kalau aku tidak membuat tentera asing yang berkelompok-kelompok itu terjunam ke jurang bahay, dan musnah mangsa oleh senjataku." Bergelutlah keempat-empat putera Khansa dengan tekad bulat untuk mendapatkan syurga diiringi oleh doa munajat bondanya yang berada di garis belakang. Pertempuran terus hebat. Tentera Islam pada mulanya kebingungan dan kacau kerana pada mulanya tentera Farsi menggunakan tentera bergajah di barisan hadapan, sementara tentera berjalan kaki berlindung di belakang binatang tahan lasak itu. Namun tentera Islam dapat mencederakan gajah-gajah itu dengan memanah mata dan bahagian-bahagian lainnya. Gajah yang cedera itu marah dengan menghempaskan tuan yang menungganginya, memijak-mijak tentera Farsi yang lannya. Kesempatan ini digunakan oleh pihak Islam untuk memusnahkan mereka. Panglima perang bermahkota Farsi dapat dipenggal kepalanya, akhirnya mereka lari lintang-pukang menyeberangi sungai dan dipanah oleh pasukan Islam hingga air sungai menjadi merah. Pasukan Farsi kalah teruk, dari 200,000 tenteranya hanya sebahagian kecil sahaja yang dapat menyelamatkan diri.

Umat Islam lega. Kini mereka mengumpul dan mengira tentera Islam yang gugur. Ternyata yang beruntung menemui syahid di medan Kadisia itu berjumlah lebih kurang 7,000 orang. Dan daripada 7,000 orang syuhada itu terbujur empat orang adik-beradik Khansa. Seketika itu juga ramailah tentera Islam yang datang menemui Khansa memberitahukan bahawa keempat-empat anaknya telah menemui syahid. Al-Khansa menerima berita itu dengan tenang, gembira dan hati tidak bergoncang. Al-Khansa terus memuji Allah dengan ucapan,

"Segala puji bagi Allah s.w.t., yang telah memuliakanku dengan mensyahidkan mereka, dan aku mengahrapkan darii Tuhanku, agar Dia mengumpulkan aku dengan mereka di tempat tinggal yang kekal dengan rahmat-Nya!"
Al-Khansa kembali semula ke Madinah bersama para perajurit yang masih hidup dengan meninggalkan mayat-mayat puteranya di medan pertempuran Kadisia। Dari peristiwa peperanan itu pula wanita penyair ini mendapat gelaran kehormatan 'Ummu syuhada yang ertinya ibu kepada orang-orang yang mati syahid."

NABI IDRIS DAN PEDOMAN HIDUP

Nabi Idris a.s adalah keturunan keenam Nabi Adam, putera dari Yazid bin Mihla'iel bin Qoinan bin Anusy bin Syith bin Adam a.s dan dia adalah keturunan pertama yang dikurniakan kenabian setelah Adam dan Syith. Nabi Idris a.s mengikut sementara riwayat bermukim di Mesir, di mana ia berdakwah untuk agama Allah s.w.t. mengajarkan tauhid dan beribadah menyembah Allah s.w.t. serta memberi beberapa pedoman hidup bagi pengikut-pengikut agar menyelamatkan diri dari siksaan di akhirat dan kehancuran serta kebinasaan di dunia. Ia hidup sampai berusia 82 tahun.

Di antara beberapa nasihat dan kata-kata mutiaranya ialah :-
1. Kesabaran yang disertai iman kepada Allah s.w.t. membawa kemenangan.
2. Orang yang bahagia adalah orang yang merendah diri dan mengharapkan syafaat dari Tuhannya dengan amal-amal solehnya.
3. Bila kamu memohon sesuatu daripada Allah s.w.t. dan berdoa, maka ikhlaskanlah niatmu. Demikian pula puasa dan sembahyangmu.
4. Janganlah bersumpah dengan keadaan kamu berdusta dan janganlah menuntut sumpah dari orang yang berdusta agar kamu tidak menyekutui mereka dalam dosa.
5. Bertaatlah kepada raja-rajamu dan tunduklah kepada pembesar-pembesarmu serta penuhilah selalu mulut-mulutmu dengan ucapan syukur dan puji kepada Allah s.w.t.
6. Janganlah mengiri orang yang mujur nasibnya kerana mereka tidak akan banyak dan lama menikmati kemujuran nasibnya.
7. Barangsiapa melampaui kesederhanaan, tidak suatupun akan memuaskannya.
8। Tanpa membahagi-bahagikan nikmat yang diperolehi, seseorang tidak dapat bersyukur kepada Allah s.w.t. atau nikmat-nikmat yang diperolehinya itu.

LIMA BELAS BUKTI KEIMANAN

Al-Hakim meriwayatkan Alqamah bin Haris r.a berkata, aku datang kepada Rasulullah s.a.w dengan tujuh orang dari kaumku. Kemudian setelah kami beri salam dan beliau tertarik sehingga beliau bertanya, "Siapakah kamu ini?" Jawab kami, "Kami adalah orang beriman." Kemudian baginda bertanya, "Setiap perkataan ada buktinya, apakah bukti keimanan kamu ?" Jawab kami, "Buktinya ada lima belas perkara. Lima perkara yang engkau perintahkan kepada kami, lima perkara yang diperintahkan oleh utusanmu kepada kami dan lima perkara yang kami terbiasakan sejak zaman jahiliyyah ?"

Tanya Rasulullah s.a.w, "Apakah lima perkara yang aku perintahkan kepada kamu itu ?" Jawab mereka, "Kamu telah perintahkan kami untuk beriman kepada Allah s.w.t., percaya kepada Malaikat-Nya, Kitab-kitab-Nya, Rasul-rasul-Nya, percaya kepada takdir Allah s.w.t. yang baik mahupun yang buruk." Selanjutnya tanya Rasulullah s.a.w "Apakah lima perkara yang diperintahkan oleh para utusanku itu ?" Jawab mereka, "Kami diperintahkan oleh para utusanmu untuk bersaksi bahawa tidak ada Tuhan selain Allah dan engkau adalah utusan Allah, hendaknya kami mendirikan solat wajib, mengerjakan puasa di bulan Ramadhan, menunaikan zakat dan berhaji bila mampu."

Tanya Rasulullah s.a.w selanjutnya, "Apakah lima perkara yang kamu masih terbiasakan sejak zaman jahiliyyah ?" Jawab mereka, "Bersyukur di waktu senang, bersabar di waktu kesusahan, berani di waktu perang, redha pada waktu kena ujian dan tidak merasa gembira dengan sesuatu musibah yang menimpa pada musuh." Mendengar ucapan mereka yang amat menarik ini, maka Rasulullah s.a.w berkata, "Sungguh kamu ini termasuk di dalam kaum yang amat pandai sekali dalam agama mahupun dalam tatacara berbicara, hampir sahaja kamu ini serupa dengan para Nabi dengan segala macam yang kamu katakan tadi."

Kemudian Rasulullah s.a.w selanjutnya, "Mahukah kamu aku tunjukkan kepada lima perkara amalan yang akan menyempurnakan dari yang kamu punyai ?
Janganlah kamu mengumpulkan sesuatu yang tidak akan kamu makan.
Janganlah kamu mendirikan rumah yang tidak akan kamu tempati.
Janganlah kamu berlumba-lumba dalam sesuatu yang bakal kamu tinggalkan,
Berusahalah untuk mencari bekal ke dalam akhirat।"

KAIN KAFAN DARIPADA RASULULLAH S.A.W

Seorang wanita datang kepada Rasulullah s.a.w. Ia menyerahkan kain yang ditenunnya sendiri dan diserahkan kepada Rasulullah s.a.w sebagai rasa cintanya kepada Rasulullah s.a.w. Dengan senang hati Rasulullah s.a.w menerima pemberian itu dan memakainya. Dengan memakai kain pemberian wanita itu, Rasulullah s.a.w keluar menemui sahabatnya. Salah seorang daripada sahabat melihat begitu indahnya kain yang dipakai Rasulullah s.a.w, lau berkata, "Wahai Rasulullah, alangkah indahnya kain yang engkau pakai itu. Betapa senangnya jika aku memakainya," ujarnya.

"Baiklah," jawab Rasulullah s.a.w ringkas. Setelah keluar dari suatu majlis,Rasulullah s.a.w datang lagi ke tempat itu, tetapi tidak lagi menggunakan kain tenun yang baru dipakai itu. Kain pemberian wanita itu berlipat di tangannya, dan kemudian diserahkan kepada sahabat yang memujinya tadi. "Terimalah kain ini dan pakailah," ujar Rasulullah s.a.w Melihat peristiwa itu, ramai sahabat yang mencela lelaki itu. Kain pemberian wanita itu sangat disenangi Rasulullah s.a.w kerana itu dipakainya, tetapi Rasulullah s.a.w tidak pernah menolak permintaan seseorang. "Mengapa engkau masih memintanya ?" sungut para sahabat.

Apa jawab sahabat yang meminta kain kepada Rasulullah s।a.w, "Saya minta kain itu bukan untuk saya pakai, melainkan untuk saya gunakan untuk kain kafanku."

RAHSIA KHUSYUK DALAM SEMBAHYANG

Seorang ahli ibadah bernama Isam bin Yusuf, dia sangat warak dan sangat khusyuk solatnya. Namun dia selalu khuatir kalau-kalau ibadahnya kurang khusyuk dan selalu bertanya kepada orang yang dianggapnya lebih ibadahnya, demi untuk memperbaiki dirinya yang selalu dirasakan kurang khusyuk.
Pada suatu hari, Isam menghadiri majlis seorang abid bernama Hatim Al-Isam dan bertanya : "Wahai Aba Abdurrahman, bagaimanakah caranya tuan solat?" Hatim berkata : "Apabila masuk waktu solat aku berwudhu' zahir dan batin."

Isam bertanya, "Bagaimana wudhu' zahir dan batin itu?" Hatim berkata, "Wudhu' zahir sebagaimana biasa, iaitu membasuh semua anggota wudhu' dengan air. Sementara wudhu' batin ialah membasuh anggota dengan tujuh perkara :-

1. Bertaubat

2. Menyesali dosa yang dilakukan

3. Tidak tergila-gilakan dunia

4. Tidak mencari / mengharap pujian orang (riya')

5. Tinggalkan sifat berbangga

6. Tinggalkan sifat khianat dan menipu

7. Meninggalkan sifat dengki

Seterusnya Hatim berkata, "Kemudian aku pergi ke masjid, aku kemaskan semua anggotaku dan menghadap kiblat. Aku berdiri dengan penuh kewaspadaan dan aku bayangkan Allah s.w.t. ada di hadapanku, syurga di sebelah kananku, neraka di sebelah kiriku, malaikat maut berada di belakangku, dan aku bayangkan pula bahawa aku seolah-olah berdiri di atas titian 'Sirratul Mustaqim' dan aku menganggap bahawa solatku kali ini adalah solat terakhirku, kemudian aku berniat dan bertakbir dengan baik.

Setiap bacaan dan doa dalam solat kufaham maknanya, kemudian aku ruku' dan sujud dengan tawadhu', aku bertasyahhud dengan penuh pengharapan dan aku memberi salam dengan ikhlas. Beginilah aku bersolat selama 30 tahun." Apabila Isam mendengar, menangislah dia kerana membayangkan ibadahnya yang kurang baik bila dibandingkan dengan Hatim.
KISAH DARI KITAB ALLAH S.W.T. YANG DAHULU
Suatu ketika Rasulullah s.a.w telah ditanya tentang suhuf yang diturunkan kepada suhuf Nabi Allah Musa a.s.
Rasulullah s.a.w berkata, "Sebahagian daripada kandungan suhuf Nabi Musa a.s :-

1. Aku hairan pada orang yang telah meyakinkan akan datangnya kematian (yakin dirinya akan mati dan ditanya tentang amalannya), tetapi mengapa mereka merasa seronok dan gembira di dunia (tidak membuat persediaan).

2. Aku hairan kepada orang yang telah meyakini akan adanya qadar (ketentuan) Allah s.w.t., tetapi mengapa mereka marah-marah (bila sesuatu musibah menimpa dirinya).

3. Aku hairan pada orang yang telah meyakini akan adanya hisab (hari pengiraan amal baik dan buruk), tetapi mengapa mereka tidak berbuat kebaikan?"

Rasulullah s.a.w ditanya pula tentang sebahagian daripada kitab Taurat, Nabi berkata, "Antara kandungannya ialah :-

1. Wahai anak Adam, janganlah kau merasa khuatir akan kekuasaan (pangkat), selagi kekuasaanKu kekal abadi iaitu tidak akan hilang selamanya.

2. Wahai anak Adam, sesungguhnya Kami menciptakan kamu adalah untuk beribadah kepadaKu, maka dari itu janganlah kamu mensia-siakan (menghabiskan masamu untuk berhibur sahaja).

3. Wahai anak Adam, Kami tidak mengira akan amalanmu yang akan dilakukan esok, oleh itu janganlah kamu cemas akan rezekimu untuk esok.

4. Wahai anak Adam, sesungguhnya bagi kamu ada kewajipan dan ketentuan rezeki, sekalipun kamu mengabaikan kewajipanmu terhadapKu, namun Aku tidak akan mengabaikan rezeki yang telah ditentukan untukmu.

5। Wahai anak Adam, sesungguhnya jika kamu redha pada apa-apa yang telah aku berikan kepadamu, maka kamu akan merasakan bahagia zahir dan batin. Tetapi jika kamu tidak redha dengan apa-apa yang telah Aku berikan itu, maka kamu akan dikuasai oleh dunia sehingga kamu akan melompat-lompat dan melenting kepanasan di padang pasir yang panas. Demi Keagungan dan KemuliaanKu, ketika itu pun kau tidak akan memperolehi apa-apa selain yang telah aku tetapkan, malahan engkau termasuk di dalam golongan orang yang tercela di sisiKu."

KISAH PERLAWANAN ANTARA SEORANG LELAKI DAN IBLIS

Suami isteri itu hidup tenteram mula-mula. Meskipun melarat, mereka taat kepada perintah Tuhan. Segala yang dilarang Allah s.w.t. dihindari, dan ibadah mereka tekun sekali. Si Suami adalah seorang yang alim yang taqwa dan tawakkal. Tetapi sudah beberapa lama isterinya mengeluh terhadap kemiskinan yang tiada habis-habisnya itu. Ia memaksa suaminya agar mencari jalan keluar. Ia membayangkan alangkah senangnya hidup jika segala-galanya serba cukup. Pada suatu hari, lelaki yang alim itu berangkat ke ibu kota, mahu mencari pekerjaan. Di tengah perjalanan is melihat sebatang pohon besar yang tengah dikerumuni orang. Ia mendekat. Ternyata orang-orang itu sedang memuja-muja pohon yang konon keramat dan sakti itu. Banyak juga kaum wanita dan pedagang-pedagang yang meminta-minta agar suami mereka setia atau dagangnya laris.

"Ini syirik," fikir lelaki yang alim tadi. "Ini harus dibanteras habis. Masyarakat tidak boleh dibiarkan menyembah serta meminta selain Allah s.w.t.." Maka pulanglah dia terburu. Isterinya hairan, mengapa secepat itu suaminya kembali. Lebih hairan lagi waktu dilihatnya si suami mengambil sebilah kapak yang diasahnya tajam. Lantas lelaki alim tadi bergegas keluar. Isterinya bertanya tetapi ia tidak menjawab. Segera dinaiki keldainya dan dipacu cepat-cepat ke pohon itu. Sebelum sampai di tempat pohon itu berdiri, tiba-tiba melompat sesusuk tubuh tinggi besar dan hitam. Dia adalah iblis laknatullah yang menyerupai sebagai manusia.

"Hai, mahu ke mana kamu?" tanya si iblis laknatullah. Orang alim tersebut menjawab, "Saya mahu menuju ke pohon yang disembah-sembah orang bagaikan menyembah Allah s.w.t.. Saya sudah berjanji kepada Allah s.w.t. akan menebang roboh pohon syirik itu." "Kamu tidak ada apa-apa hubungan dengan pohon itu. Yang penting kamu tidak ikut-ikutan syirik seperti mereka. Sudah pulang sahaja." "Tidak boleh, kemungkaran mesti dibanteras," jawab si alim bersikap tegas.
"Berhenti, jangan teruskan!" bentak iblis laknatullah marah. "Akan saya teruskan!"
Kerana masing-masing tegas pada pendirian, akhirnya terjadilah perkelahian antara orang alim tadi dengan iblis laknatullah. Kalau melihat perbezaan badannya, seharusnya orang alim itu dengan mudah boleh dibinasakan. Namun ternyata iblis laknatullah menyerah kalah, meminta-minta ampun. Kemudian dengan berdiri menahan kesakita dia berkata, "Tuan, maafkanlah kekasaran saya. Saya tak akan berani lagi mengganggu tuan. Sekarang pulanglah. Saya berjanji, setiap pagi, apabila Tuan selesai menunaikan sembahyang Subuh, di bawah tikar sembahyang Tuan saya sediakan wang emas empat dinar. Pulang saja berburu, jangan teruskan niat Tuan itu dulu,"

Mendengar janji iblis laknatullah dengan wang emas empat dinar itu, lunturlah kekerasan tekad si alim tadi. Ia teringatkan isterinya yang hidup tidak berkecukupan. Ia teringat akan saban hari rungutan isterinya. Setiap pagi empat dinar, dalam sebulan sahaja dia sudah boleh menjadi orang kaya. Mengingatkan desakan-desakan isterinya itu maka pulanglah dia. Patah niatnya semula hendak membanteras kemungkaran.
Demikianlah, semejak pagi itu isterinya tidak pernah marah lagi. Hari pertama, ketika si alim selesai sembahyang, dibukanya tikar sembahyangnya. Betul di situ tergolek empat benda berkilat, empat dinar wang emas. Dia meloncat riang, isterinya gembira. Begitu juga hari yang kedua. Empat dinar emas. Ketika pada hari yang ketiga, matahari mulai terbit dan dia membuka tikar sembahyang, masih didapatinya wang itu. Tapi pada hari keempat dia mulai kecewa. Di bawah tikar sembahyangnya tidak ada apa-apa lagi keculai tikar pandan yang rapuh. Isterinya mulai marah kerana wang yang kelmarin sudah dihabiskan sama sekali.

Si alim dengan lesu menjawab, "Jangan khuatir, esok barangkali kita bakal dapat lapan dinar sekaligus." Keesokkan harinya, harap-harap cemas suami-isteri itu bangun pagi-pagi. Selesai sembahyang dibuka tikar sejadahnya kosong. "Kurang ajar. Penipu," teriak si isteri. "Ambil kapak, tebanglah pohon itu." "Ya, memang dia telah menipuku. Akan aku habiskan pohon itu semuanya hingga ke ranting dan daun-daunnya," sahut si alim itu. Maka segera ia mengeluarkan keldainya. Sambil membawa kapak yang tajam dia memacu keldainya menuju ke arah pohon yang syirik itu. Di tengah jalan iblis laknatullah yang berbadan tinggi besar tersebut sudah menghalang. Katanya menyorot tajam, "Mahu ke mana kamu?" herdiknya menggegar.

"Mahu menebang pohon," jawab si alim dengan gagah berani. "Berhenti, jangan lanjutkan." larang si iblis laknatullah "Bagaimanapun juga tidak boleh, sebelum pohon itu tumbang." jawab lelaki itu.
Maka terjadilah kembali perkelahian yang hebat. Tetapi kali ini bukan iblis laknatullah yang kalah, tapi si alim yang terkulai. Dalam kesakitan, si alim tadi bertanya penuh hairan, "Dengan kekuatan apa engkau dapat mengalahkan saya, padahal dulu engkau tidak berdaya sama sekali?" Iblis laknatullah itu dengan angkuh menjawab, "Tentu sahaja engkau dahulu boleh menang, kerana waktu itu engkau keluar rumah untuk Allah, demi Allah. Andaikata kukumpulkan seluruh belantaraku menyerangmu sekalipun, aku takkan mampu mengalahkanmu. Sekarang kamu keluar dari rumah hanya kerana tidak ada wang di bawah tikar sejadahmu. Maka biarpun kau keluarkan seluruh kebolehanmu, tidak mungkin kamu mampun menjatuhkan aku. Pulang saja. Kalau tidak, kupatahkan nanti batang lehermu."

Mendengar penjelasan iblis laknatullah ini si alim tadi termangu-mangu. Ia merasa bersalah, dan niatnya memang sudah tidak ikhlas kerana Allah s.w.t. lagi. Dengan terhuyung-hayang ia pulang ke rumahnya. Dibatalkan niat semula untuk menebang pohon itu. Ia sedar bahawa perjuangannya yang sekarang adalah tanpa keikhlasan kerana Allah s.w.t., dan ia sedar perjuangan yang semacam itu tidak akan menghasilkan apa-apa selain dari kesiaan yang berlanjutan. Sebab tujuannya adalah kerana harta benda, mengatasi keutamaan Allah s.w.t. dan agama. Bukankah bererti ia menyalahgunakan agama untuk kepentingan hawa nafsu semata-mata ?

"Barangsiapa di antaramu melihat sesuatu kemungkaran, hendaklah (berusaha) memperbaikinya dengan tangannya (kekuasaan), bila tidak mungkin hendaklah berusaha memperbaikinya dengan lidahnya (nasihat), bila tidak mungkin pula, hendaklah mengingkari dengan hatinya (tinggalkan). Itulah selemah-lemah iman."
Hadith Riwayat Muslim


KISAH ASAL USUL BEKAS TAPAK KAKI NABI IBRAHIM A।S (MAQAM)

Setelah Nabi Ismail bersetuju untuk membantu Nabi Ibrahim membangunkan Kaabah, maka Nabi Ibrahim bersama dengan anaknya pun mula membina Kaabah setelah Allah s.w.t. menunjukkan kepada mereka tempat yang harus dibina Baitullah itu.
Ada dua riwayat yang mengatakan bahawa Allah s.w.t.meninggikan tapak Baitullah sebelum dibina oleh Nabi Ibrahim dan anaknya, tapak Baitullah tidak terkena bala bencana taufan sewaktu taufan besar melanda. Satu riwayat lagi mengatakan bahawa tapak Baitullah itu telah runtuh dalam taufan besar sepertimana runtuhnya binaan-binaan besar yang lain. Setelah peristiwa taufan besar melanda maka sesungguhnya tidak ada orang lain yang mulakan pembinaannya semula kecuali Nabi Ibrahim dan anaknya.

Nabi Ibrahim dan Nabi Ismail memulakan pembinaan Baitullah. Nabi Ibrahim menyusun naik batu sementara Nabi Ismail pula mengutip batu-batu besar seperti yang difirman oleh Allah s.w.t. yang bermaksud, "Dan (ingatlah) ketika Nabi Ibrahim bersama-sama anaknya Nabi Ismail meninggikan binaan (tapak) Baitullah (Kaabah) sambil keduanya berdoa dengan berkata, Wahai Tuhan kami! Terimalah, daripada kami amal kami sesungguhnya Engkau amat mendengar lagi Amat Mengetahui." (surah al-Baqarah ayat 127).

Apabila binaan sudah meninggi, Nabi Ismail, menghulurkan batu besar yang cukup tinggi dan diambil oleh Nabi Ibrahim dan membina Baitullah sehingga ia siap pembinaannya. Maka dengan kehendak Allah s.w.t. sebaik sahaja Nabi Ibrahim meletakkan kakinya di batu besar itu, maka terlekatlah tapak kaki Nabi Ibrahim sepertimana dapat kita melihatnya sehingga hari ini dekat Baitullah. Dan ini adalah suatu tanda kebesaran Allah s.w.t.
Apabila agama Islam datang, Allah s.w.t. mensyariatkan untuk bersembahyang di belakang maqam Ibrahim sepertimana firman Allah s.w.t. yang bermaksud, "Dan jadikanlah oleh kamu maqam Ibrahim itu tempat sembahyang." (surah al-Baqarah ayat 125).

Yang dikatakan maqam Nabi Ibrahim itu adalah kedua belah bekas tapak kaki beliau dan bukan kubur Nabi Ibrahim.
Setelah selesai pembinaan Baitullah, maka Allah s.w.t. memerintahkan Nabi Ibrahim memberi kebenaran kepada umat manusia menunaikan haji di Baitullah. Firman Allah s.w.t. yang bermaksud, "Dan serulah umat manusia untuk datang mengerjakan haji, nescaya mereka akan datang ke (Rumah Allah)mu dengan berjalan kaki, dengan berkenderaan berjenis-jenis unta yang kurus, yang datangnya dari berbagai jalan (ceruk rantau) yang jauh." (surah al-Haj ayat 27).

Setelah itu Nabi Ibrahim naik ke gunung (Jabal) Abi Qubais satu gunung yang paling dekat dengan baitullah dan di sana beliau memanggil dengan nama Allah s.w.t., "Wahai sekalian manusia, sesungguhnya Tuhan kamu telah membina satu rumah-Nya bagi kamu, oleh itu hendaklah kamu semua tunaikan haji di sana." Nabi Ibrahim menyeru ke kanan dan ke kiri seolah-olah orang melaungkan azan. Allah s.w.t. menyampaikan seruan Nabi Ibrahim a.s pada setiap orang yang diciptakan dalam bacaan talbiah dan itulah pernyataan semua orang yang mengerjakan fardhu haji, kerana haji itu tidak akan sah tanpa talbiah.

Bacaan talbiah antara lainnya, "Labbaikallahhummalabbaik" yang bermakna, "Aku datang untuk menunaikan panggilan-Mu ya Allah." Menunaikan haji adalah salah satu rukun Islam, oleh itu hendaklah kita menunaikannya apabila kita sudah mampu melaksanakannya. Banyak orang menunaikan haji, tetapi sekembali mereka dari menunaikan haji yang sangat menyedihkan ialah terdapat juga orang yang melakukan maksiat lebih teruk dari masa sebelum menunaikan haji. Oleh itu, hendaklah kita mulakan dengan sembahyang, puasa, zakat dan seterusnya menunaikan haji.

Kalau kita menunaikan haji tanpa mengerjakan sembahyang lima waktu maka sia-sia sahaja haji yang kita lakukan sebab ia tidak akan diterima oleh Allah s।w.t. Dan ini adalah salah satu punca mereka yang kembali dari menunaikan haji melakukan bermacam-macam maksiat. Bagi mereka yang mendapat kenikmatan haji mereka ini tidak akan berani melakukan kerja-kerja yang dimurkai oleh Allah s.w.t. sebaliknya mereka akan berusaha untuk menjadi muslim yang sempurna. Tanpa mengerjakan sembahyang, maka semua kerja-kerja yang berbentuk amal, sedekah, zakat dan sebagainya semuanya itu tidak akan diterima oleh Allah s.w.t.

KESABARAN SEORANG PEREMPUAN YANG DIRASUK

Ata' bin Abi rabah berkata, Ibnu Abbas r.a telah bertanya kepadanya, "Mahukah aku tunjukkan kepada engkau seorang perempuan ahli syurga ?" Jawab Ata, "Bahkan, siapakah perempuan itu ?" Ibnu Abbas berkata, "Perempuan hitam itu telah menemui Rasulullah s.a.w mengadu ia telah dirasuk." Sabda Rasulullah s.a.w kepada perempuan itu, "Jika engkau tahan dan sanggup bersabar maka syurga bagimu, sekiranya engkau tidak tahan dan tidak sanggup bersabar aku akan mendoakan engkau supaya engkau pulih segar."

Jawab perempuan itu, "Aku tahan dan sanggup bersabar (maka baginya syurga)" Sekian tercatit dalam kitab sahih Bukhari dan Muslim। Dari sini dapatlah kita satu keterangan, bahawa penyakit sarak atau rasukan bukanlah ia sesuatu yang baru tetapi telah diketahui sejak zaman berzaman dan zaman Nabi dan sahabat.

PERBUALAN ANTARA RASULULLAH S.A.W DENGAN IBLIS

Telah diceritakan bahawa Allah s.w.t. telah menyuruh iblis laknatullah datang kepada Nabi Muhammad s.a.w agar menjawab segala pertanyaan yang baginda tanyakan padanya. Pada suatu hari Iblis laknatullah pun datang kepada Baginda s.a.w. dengan menyerupai orang tua yang baik lagi bersih, sedang ditangannya memegang tongkat.
Bertanya Rasulullah s.a.w, "Siapakah kamu ini ?"
Orang tua itu menjawab, "Aku adalah iblis."
"Apa maksud kamu datang berjumpa aku ?"
Orang tua itu menjawab, "Allah menyuruhku datang kepadamu agar kau bertanyakan kepadaku."

Baginda Rasulullah s.a.w lalu bertanya, "Hai iblis, berapa banyakkah musuhmu dari kalangan umat-umatku ?"
Iblis menjawab, "Lima belas."

1. Engkau sendiri hai Muhammad.
2. Imam dan pemimpin yang adil.
3. Orang kaya yang merendah diri.
4. Pedagang yang jujur dan amanah.
5. Orang alim yang mengerjakan solat dengan khusyuk.
6. Orang Mukmin yang memberi nasihat.
7. Orang yang Mukmin yang berkasih-sayang.
8. Orang yang tetap dan cepat bertaubat.
9 Orang yang menjauhkan diri dari segala yang haram.
10. Orang Mukmin yang selalu dalam keadaan suci.
11. Orang Mukmin yang banyak bersedekah dan berderma.
12. Orang Mukmin yang baik budi dan akhlaknya.
13. Orang Mukmin yang bermanfaat kepada orang.
14. Orang yang hafal al-Quran serta selalu membacanya.
15. Orang yang berdiri melakukan solat di waktu malam sedang orang-orang lain semuanya tidur.

Kemudian Rasulullah s.a.w bertanya lagi, "Berapa banyakkah temanmu di kalangan umatku ?"
Jawab iblis laknatullah, "Sepuluh golongan :-

1. Hakim yang tidak adil.
2. Orang kaya yang sombong.
3. Pedagang yang khianat.
4. Orang pemabuk/peminum arak.
5. Orang yang memutuskan tali persaudaraan.
6. Pemilik harta riba'.
7. Pemakan harta anak yatim.
8. Orang yang selalu lengah dalam mengerjakan solat/sering meninggalkan solat.
9. Orang yang enggan memberikan zakat/kedekut.
10. Orang yang selalu berangan-angan dan khayal dengan tidak ada faedah.

Mereka semua itu adalah sahabat-sahabatku yang setia."
Itulah di antara perbualan Nabi dan iblis laknatullah। Sememangnya kita maklum bahawa sesungguhnya Iblis laknatullah itu adalah musuh Allah s.w.t. dan manusia. Dari itu hendaklah kita selalu berhati-hati jangan sampai kita menjadi kawan iblis laknatullah, kerana sesiapa yang menjadi kawan iblis laknatullah bermakna menjadi musuh Allah s.w.t॥ Demikianlah sebaliknya, sesiapa yang menjadi musuh iblis laknatullah bererti menjadi kawan kekasih Allah s.w.t..

ANTARA SABAR DAN MENGELUH

Pada zaman dahulu ada seorang yang bernama Abul Hassan yang pergi haji di Baitul Haram. Diwaktu tawaf tiba-tiba ia melihat seorang wanita yang bersinar dan berseri wajahnya. "Demi Allah, belum pernah aku melihat wajah secantik dan secerah wanita itu, tidak lain kerana itu pasti kerana tidak pernah risau dan bersedih hati." Tiba-tiba wanita itu mendengar ucapan Abul Hassan lalu ia bertanya, "Apakah katamu hai saudaraku ? Demi Allah aku tetap terbelenggu oleh perasaan dukacita dan luka hati kerana risau, dan seorang pun yang menyekutuinya aku dalam hal ini."

Abu Hassan bertanya, "Bagaimana hal yang merisaukanmu ?" Wanita itu menjawab, "Pada suatu hari ketika suamiku sedang menyembelih kambing korban, dan pada aku mempunyai dua orang anak yang sudah boleh bermain dan yang satu masih menyusu, dan ketika aku bangun untuk membuat makanan, tiba-tiba anakku yang agak besar berkata pada adiknya, "Hai adikku, sukakah aku tunjukkan padamu bagaimana ayah menyembelih kambing ?" Jawab adiknya, "Baiklah kalau begitu ?"
Lalu disuruh adiknya baring dan disembelihkannya leher adiknya itu. Kemudian dia merasa ketakutan setelah melihat darah memancut keluar dan lari ke bukit yang mana di sana ia dimakan oleh serigala, lalu ayahnya pergi mencari anaknya itu sehingga mati kehausan dan ketika aku letakkan bayiku untuk keluar mencari suamiku, tiba-tiba bayiku merangkak menuju ke periuk yang berisi air panas, ditariknya periuk tersebut dan tumpahlah air panas terkena ke badannya habis melecur kulit badannya. Berita ini terdengar kepada anakku yang telah berkahwin dan tinggal di daerah lain, maka ia jatuh pengsan hingga sampai menuju ajalnya. Dan kini aku tinggal sebatang kara di antara mereka semua."

Lalu Abul Hassan bertanya, "Bagaimanakah kesabaranmu menghadapi semua musibah yang sangat hebat itu ?" Wanita itu menjawab, "Tiada seorang pun yang dapat membedakan antara sabar dengan mengeluh melainkan ia menemukan di antara keduanya ada jalan yang berbeda. Adapun sabar dengan memperbaiki yang lahir, maka hal itu baik dan terpuji akibatnya. Dan adapun mengeluh, maka orangnya tidak mendapat ganti yakni sia-sia belaka."
Demikianlah cerita di atas, satu cerita yang dapat dijadikan tauladan di mana kesabaran sangat digalakkan oleh agama dan harus dimiliki oleh setiap orang yang mengaku beriman kepada Allah s.w.t. dalam setiap terkena musibah dan dugaan dari Allah. Kerana itu Rasulullah s.a.w bersabda dalam firman Allah s.w.t. dalam sebuah hadith Qudsi,:
"Tidak ada balasan bagi hamba-Ku yang Mukmin, jika Aku ambil kekasihnya dari ahli dunia kemudian ia sabar, melainkan syurga baginya."

Begitu juga mengeluh. Perbuatan ini sangat dikutuk oleh agama dan hukumnya haram. Kerana itu Rasulullah s.a.w bersabda,:
" Tiga macam daripada tanda kekafiran terhadap Allah, merobek baju, mengeluh dan menghina nasab orang."
Dan sabda Rasulullah s.a.w pula, " Mengeluh itu termasuk kebiasaan Jahiliyyah, dan orang yang mengeluh, jika ia mati sebelum taubat, maka Allah akan memotongnya bagi pakaian dari wap api neraka." (Riwayat oleh Imam Majah)
Semoga kita dijadikan sebagai hamba Tuhan yang sabar dalam menghadapi segala musibah।

DIPOTONG TANGAN KERANA MEMBERI SEDEKAH

Dikisahkan bahawa semasa berlakunya kekurangan makanan dalam kalangan Bani Israel, maka lalulah seorang fakir menghampiri rumah seorang kaya dengan berkata, "Sedekahlah kamu kepadaku dengan sepotong roti dengan ikhlas kerana Allah s.w.t." Setelah fakir miskin itu berkata demikian maka keluarlah anak gadis orang kaya, lalu memberikan roti yang masih panas kepadanya. Sebaik sahaja gadis itu memberikan roti tersebut maka keluarlah bapa gadis tersebut yang bakhil itu terus memotong tangan kanan anak gadisnya sehingga putus. Semenjak dari peristiwa itu maka Allah s.w.t pun mengubah kehidupan orang kaya itu dengan menarik kembali harta kekayaannya sehingga dia menjadi seorang yang fakir miskin dan akhirnya dia meninggal dunia dalam keadaan yang paling hina.

Anak gadis itu menjadi pengemis dan meminta-minta dari satu rumah ke rumah. Maka pada suatu hari anak gadis itu menghampiri rumah seorang kaya sambil meminta sedekah, maka keluarlah seorang ibu dari rumah tersebut. Ibu tersebut sangat kagum dengan kecantikannya dan mempelawa anak gadis itu masuk ke rumahnya. Ibu itu sangat tertarik dengan gadis tersebut dan dia berhajat untuk mengahwinkan anaknya dengan gadis tersebut. Maka setelah perkahwinan itu selesai, maka si ibu itu pun memberikan pakaian dan perhiasan bagi menggantikan pakaiannya.

Pada suatu malam apabila sudah dihidang makanan malam, maka si suami hendak makan bersamanya. Oleh kerana anak gadis itu kudung tangannya dan suaminya juga tidak tahu bahawa dia itu kudung, manakala ibunya juga telah merahsiakan tentang tangan gadis tersebut. Maka apabila suaminya menyuruh dia makan, lalu dia makan dengan tangan kiri. Apabila suaminya melihat keadaan isterinya itu dia pun berkata, "Aku mendapat tahu bahawa orang fakir tidak tahu dalam tatacara harian, oleh itu makanlah dengan tangan kanan dan bukan dengan tangan kiri."

Setelah si suami berkata demikian, maka isterinya itu tetap makan dengan tangan kiri, walaupun suaminya berulang kali memberitahunya. Dengan tiba-tiba terdengar suara dari sebelah pintu, "Keluarkanlah tangan kananmu itu wahai hamba Allah, sesungguhnya kamu telah mendermakan sepotong roti dengan ikhlas kerana Ku, maka tidak ada halangan bagi-Ku memberikan kembali akan tangan kananmu itu."
Setelah gadis itu mendengar suara tersebut, maka dia pun mengeluarkan tangan kanannya, dan dia mendapati tangan kanannya berada dalam keadaan asalnya, dan dia pun makan bersama suaminya dengan menggunakan tangan kanan. Hendaklah kita sentiasa menghormati tetamu kita, walaupun dia fakir miskin apabila dia telah datang ke rumah kita maka sesungguhnya dia adalah tetamu kita. Rasulullah s.a.w telah bersabda yang bermaksud, "Barangsiapa menghormati tetamu, maka sesungguhnya dia telah menghormatiku, dan barangsiapa menghormatiku, maka sesungguhnya dia telah memuliakan Allah s.w.t. Dan barangsiapa telah menjadi kemarahan tetamu, dia telah menjadi kemarahanku. Dan barangsiapa menjadikan kemarahanku, sesungguhnya dia telah menjadikan murka Allah s.w.t."

Sabda Rasulullah s।a.w yang bermaksud, "Sesungguhnya tetamu itu apabila dia datang ke rumah seseorang mukmin itu, maka dia masuk bersama dengan seribu berkah dan seribu rahmat."

JANGAN MENYIKSA DIRI

Allah s.w.t. menciptakan dunia seisinya untuk kemudahan manusia itu sendiri, oleh itu hendaklah manusia memanfaatkannya.
Sahabat Anas menceritakan bahawa satu hari Rasulullah s.a.w melihat seorang yang dipapah oleh kedua orang anaknya menunaikan haji dengan berjalan kaki. Apabila melihat keadan itu maka Baginda s.a.w. bertanya, "Mengapa dengan orang ini?" Dua anak itu berkata, "Dia bernazar hendak menunaikan hai dengan berjalan kaki." Rasulullah s.a.w berkata, "Sesungguhnya Allah s.w.t. tidak memerlukan orang yang menyiksakan dirinya." Ketika itu juga Rasulullah memerintahkan kepada orang itu agar naik kenderaan untuk menunaikan haji.
Dalam satu peristiwa lain, seseorang menziarahi tuan gurunya yang sudah lama berpisah, dia berjalan kaki beberapa batu ke rumah gurunya dengan maksud untuk mendapat pahala yang lebih. Setiba di rumah gurunya itu, tuan guru itu bertanya, "Kamu datang dengan apa?" Anak murid itu berkata, "Saya berjalan kaki." Apabila tuan guru itu mendengar jawapan anak muridnya itu dia berkata : "Dia telah menciptakan kuda, baghal dan keldai agar kamu mengenderainya.

Baca Lagi....
Related Posts with Thumbnails

.