Islamic Widget


.
.

Jumaat, 2 Julai 2010

KISAH DAN TAULADAN 2


IBLIS CEMBURUI NABI ADAM
"
Nabi Adam diciptakan Allah di dalam syurga. Di situ Nabi Adam tinggal bersama pasangannya, Hawa. Iblis yang memang membangkang akan kehadiran Adam di syurga menyimpan dendam kesumat yang tidak sudah-sudah untuk menghancurkan kehidupan Nabi Adam. Dia tidak reda mengganggu sehinggalah Adam tersingkir dari Syurga. Iblis menunggu-nunggu peluang untuk merosak dan menyesatkan Nabi Adam dan Hawa. Peluang yang ditunggu-tunggu akhirnya tiba. Iblis tahu bahawa dia sukar untuk mempengaruhi Nabi Adam. Oleh itu jalan terbaik ialah dengan mempengaruhi Hawa supaya mengikut pujukannya. Jika perangkap ini berhasil, iblis percaya Hawa akan pula mempengaruhi Adam dan akhirnya Adam akan terperangkap.

Setelah memasang strategi, Iblis tanpa berlengah lagi memulakan perancangannya. Sambil duduk berhampiran pokok khuldi, Iblis pura-pura menangis teresak-esak. Hawa tidak sedar tipu muslihat iblis. Melihat keadaan yang terharu itu, Hawa menjadi kesihan lalu menghampiri Iblis sambil bertanyakan gerangan apa yang ditangisinya. Sang Iblis mula memasang perangkap dengan mengatakan dia menangis kerana bersimpati dengan Adam dan Hawa yang dilarang dari memakan buah khuldi. Katanya jika Adam dan Hawa memakan buah khuldi itu, mereka akan terus kekal di syurga. Tambahan pula rasa buah khuldi itu amat lazat.

Mendengar kata-kata 'nasihat' itu, Hawa menjadi ragu-ragu dan akhirnya percaya apa yang didengarnya. Apabila berjumpa Nabi Adam, Hawa dengan gaya memujuk mula merayu agar memakan buah khuldi yang dilarang oleh Allah. Walaupun pada mulanya Nabi Adam takut untuk melanggar larangan Allah, namun setelah berkali-kali dipujuk dengan kata-kata yang lunak, akhirnya mengalah. Mereka berdua menghampiri pokok khuldi dan Hawa terus memetik buah itu lantas memakannya. Perbuatannya diikuti oleh Nabi Adam.

Sebaik saja mereka memakan buah khuldi, pakaian syurganya mula tanggal. Allah mencela perbuatan mereka. Barulah ketika itu, Nabi Adam sedar akan ketelanjurannya melanggar perintah Allah. Mereka berdua menyesal dan bertaubat tidak akan melanggar lagi perintah Allah. Permohonan Nabi Adam diterima Allah namun harapannya untuk terus tinggal di syurga hancur. Allah memerintahkan mereka berdua turun dari syurga yang penuh dengan segala kenikmatan ke bumi yang penuh dengan kepayahan dan kesusahan.

Bermula dari detik inilah, maka wujudnya generasi Adam hinggalah ke hari ini. Kita adalah dari keturunan Nabi Adam. Kita dihidupkan di dunia buat sementara waktu untuk diuji siapa di antara kita yang baik amalannya. Sekiranya kita lulus ujian ini, kita akan dikembalikan semula ke syurga. Sebaliknya jika gagal mematuhi perintah Allah, kita akan dicampakkan ke dalam neraka yang penuh dengan azab.

Sebagai penutup, sama-samalah kita muhasabah diri kita sejauh manakah kita menjalani liku-liku hidup ini. Adakah kita berjaya di dalam ujian ini atau sebaliknya? Tidak ada daya dan kuasa mematuhi perintahNya kecuali dengan pertolongan Allah. Sama-samalah kita bermohon semoga kita sentiasa di dalam pemeliharaanNya. Amin..



MORAL & IKTIBAR
Manusia termasuk diri kita adalah dari keturunan Nabi Adam.
Kita adalah sebaik-baik makhluk yang dijadikan Allah sehingga dicemburui oleh Iblis
Iblis adalah musuh kita yang nyata. Dia tidak akan leka walau seminit untuk menyesatkan kaum manusia sebagaimana dia telah menyesatkan datuk dan nenek kita dahulu.
Iblis telah berjanji sejak azali lagi untuk memesongkan manusia dari aqidah sebenar yang dibawa oleh agama Islam.
Sifat dendam, hasad dan dengki adalah sifat syaitan yang sepatutnya kita jauhi
Syaitan mempunyai strategi yang amat halus untuk mengalahkan manusia. Mereka tidak ada kerja lain kecuali memasang perangkap yang sangat sesuai dengan diri dan nafsu kita. Oleh sebab kita yang sememangnya sibuk dengan urusan dunia dan kehidupannya terlupa akan musuh yang siap sedia memerhati kelemahan kita supaya dapat ditipunya.
Manusia harus siap-siaga melawan pengaruh dan tipu-helah syaitan kerana dia nampak kita tetapi kita tidak dapat melihatnya. Kebiasaannya orang yang nampak musuhnya amat senang mengalahkannya tetapi kita yang tidak dapat melihatnya memang sukar menepis pukulannya. Sungguhpun begitu kita mempunyai senjata yang amat berkesan iaitu mengingati dan menyerah diri kepada Allah yang menjadikan kita dan juga dia.
Perempuan adalah dari golongan lemah yang mudah ditawan oleh syaitan. Semasa Nabi Muhammad saw mikraj ke langit, Allah memperlihatkan ramai penghuni neraka adalah dari kaum perempuan.
Berjaga-jaga dengan kaum perempuan kerana mereka mempunyai potensi untuk merosakkan kehidupan kaum lelaki. Kaum lelaki yang menjadi ketua kaum wanita mesti menjaga mereka sebaiknya supaya mereka tidak menjadi perosak masyarakat dan kemanusiaan amnya.
Tempat asal manusia ialah syurga. Oleh itu perlulah kita berusaha supaya dapat kembali ke tanah asal kita di sana.
Peristiwa yang dialami oleh Adam dan Hawa sebenarnya adalah satu sebab yang Allah jadikan supaya generasi manusia berkembang dan membiak di muka bumi ini. Tujuannya tidak lain hanya untuk menjalani satu hukuman dan melihat sejauh manakah kita menginsafi diri dalam menjalani proses pengabdian kepada Allah.
Pujukan manis dari sesiapa saja sepatutnya jangan diterima dengan senang hati kerana kemungkinan ada udang di sebalik batu.
Kemungkinan sekali orang yang merosakkan diri kita ialah terdiri daripada mereka yang hampir dengan diri kita iaitu isteri dan anak-anak.
Manusia mudah lupa kepada musuhnya iaitu iblis tapi iblis dan syaitan tidak pernah melupai kita.
Sekiranya kita sesat di hujung jalan, kita masih berpeluang untuk balik ke pangkal jalan. Selagi nyawa belum sampai di khalqum, kita masih boleh bertaubat. Insyallah taubat kita akan diterima Allah jika benar-benar kita insaf dan tidak mahu mengulangi kesalahan tersebut.

IHSAN TERHADAP HAIWAN


Haiwan juga adalah makhluk Allah yang juga mempunyai perasaan seperti kita. Yang membezakan ialah kita mempunyai akal tetapi haiwan tidak. Haiwan tidak dapat membezakan antara betul dan salah tetapi mereka mempunyai naluri yang Allah berikan untuk meneruskan perjalanan hidupnya. Oleh sebab ia sama makhluk Allah seperti kita, perlulah kita bersikap belas dan kasihan terhadapnya.

Dalam satu riwayat diceritakan seorang lelaki berasa sangat dahaga setelah jauh berjalan di padang pasir. Di tengah jalan dia berjumpa sebuah perigi. Airnya cetek dan jauh ke bawah. Dia terpaksa turun untuk mendapatkan sedikit air buat menghilangkan dahaga. Lelaki itu naik ke atas semula selepas minum beberapa teguk. Tiba-tiba di tebing perigi itu, dia ternampak seekor anjing yang kelihatan tidak bermaya kerana kehausan. Lelaki itu dapat merasakan betapa hebatnya penderitaan anjing itu lantaran terlalu haus. Dia amat bersimpati kepada anjing itu.

Walaupun masih keletihan, lelaki itu berikhtiar untuk memberi minum kepada anjing yang haus itu. Dia turun kembali ke dalam perigi lalu memenuhkan kasutnya dengan air. Selepas itu, dia pun naik semula ke atas sambil menggigit kasut yang berisi air itu. Sampai di atas, lelaki itu pun menghulurkan air itu untuk diminum oleh anjing.

Di atas layanan yang baik dan sifat belas kesihannya terhadap anjing itu, Allah memberikan keampunan di atas dosa-dosanya yang lalu.


MORAL & IKTIBAR


Berbuat baik terhadap haiwan walaupun seekor anjing yang dipandang jejek adalah satu kebajikan dan mendapat pahala
Sifat kesihan dan belas adalah amalan hati. Amalan hati diberikan ganjaran lebih di sisi Allah.
Allah melihat apa sahaja yang kita buat pada setiap masa di mana sahaja kita berada.
Ganjaran pahala diberikan mengikut kadar keikhlasan kita.
Begitu juga dosa dikenakan mengikut kadar penglibatan hati kita.
Jangan memandang remeh perkara-perkara yang kita anggap kecil. Boleh jadi di sisi Allah ia amat besar nilainya.
Amalan yang kita anggap kecil kadang-kadang boleh memasukan kita ke syurga. Manakala amalan jahat yang kecil juga boleh memasukkan kita ke dalam neraka.
Jangan memandang rendah kepada haiwan sebab ia makhluk Allah jua seperti kita.

SEMERBAK IMAN MASYITA
"

Bercakap fasal iman, saban tahun kita mendengar peristiwa 'israk dan mikraj' khususnya tentang kehebatan iman Masyita, tukang sisir rambut anak Firaun.
Firaun menjadi sombong dan angkuh kerana kebesaran empayarnya dan kehebatan pengaruhnya di kalangan rakyat Mesir. Dia mengaku sebagai tuhan yang agung dan memusuhi sesiapa saja yang bertuhankan selain dirinya. Malahan dia akan membunuh mereka yang tidak mengaku Firaun sebagai tuhan.

Masyita walaupun bekerja di istana Firaun, namun di dalam hati kecilnya tetap bertuhankan Allah yang Maha Berkuasa dan Dialah juga yang menjadikan segala makhluk di muka bumi ini termasuk Firaun yang mengaku dirinya sebagai Tuhan. Kepercayaan ini dirahsiakannya supaya tidak diketahui oleh Firaun dan sekutunya.

Pada suatu hari, sedang dia menyisir rambut anak Firaun, sikat di tangannya terjatuh. Masyita terlatah dan berkata "Mampus Firaun! " Apabila anak Firaun mendengar kata-kata penghinaan terhadap bapanya, dia berkata, "Kenapa kau berkata begitu terhadap bapaku? Adakah tuhan lain selain bapaku?"

"Memang benar! Tuhanku dan tuhan bapamu ialah Allah." Mendengar kata-kata itu, anak Firaun menjadi marah. "Baik kamu bertaubat, kalau tidak aku akan beritahu bapaku." Masyita bertegas dan mengatakan, "Pergilah kau beritahu bapa kau. Aku tetap dengan pendirianku bahawa tuhan yang sebenarnya ialah Allah."

Sebaik saja Firaun diberitahu oleh anaknya tentang Masyita, dia menjadi murka dan memanggil Masyita. Dia bertanya sama ada benar apa yang dikatakan oleh anaknya itu. Masyita tetap mengatakan Tuhannya ialah Allah. Firaun mengugut untuk membunuh Masyita dan keluarganya sekiranya dia tidak mengubah pendiriannya.

Keesokannya keluarga Masyita dibawa ke satu tempat lapang, berhadapan dengan sebuah kawah besar yang berisi dengan minyak yang sangat panas. Firaun hendak memasukkan kesemua keluarga Masyita termasuk anaknya yang masih kecil ke dalam minyak panas sekiranya Masyita tidak mengaku Firaun sebagai tuhan. Keimanan Masyita tidak luntur meskipun berhadapan dengan ancaman maut.

Melihatkan iman Masyita yang tidak berganjak, Firaun menyuruh askarnya mencampakkan keluarga Masyita seorang demi seorang ke dalam kawah yang besar itu. Apabila sampai giliran anaknya yang kecil, perasaan Masyita menjadi belas dan sebak. Hati siapa tidak sedih melihatkan anak yang disayangi akan dilontar ke dalam kawah yang membuak-buak dengan minyak panas. Masyita meminta supaya dia dicampakkan dulu sebagai ganti kepada anaknya. Tiba-tiba dengan kuasa Tuhan, anaknya yang kecil itu membuka mulut dan berkata, "Ibu, jangan bersedih. Teruskan! Biarkan saya dicampak ke dalam kawah itu." Masyita dan orang-orang di sekeliling terperanjat melihat seorang bayi boleh berkata-kata.

Mendengar kata-kata anaknya itu, Masyita menjadi semakin yakin dan tabah. Dia menghulurkan anaknya untuk dicampakkan ke dalam kawah. Tanpa belas kesihan askar Firaun terus melontarkan anak Masyita ke dalam minyak panas. Selepas itu barulah Masyita dibawa ke tepi kawah yang panas itu lalu dicampakkan ke dalamnya.

Demikianlah hebatnya Masyita mempertahankan kebenaran aqidah sehingga dia dan keluarganya terkorban dibunuh oleh Firaun. Keberanian seorang wanita memperjuangkan kebenaran dan keimanan ini dirakam dan diingati setiap tahun oleh seluruh manusia. Dalam peristiwa Israk Mikraj, Nabi sampai di satu tempat yang sangat harum. Malaikat Jibril menerangkan bahawa tempat itu ialah tempat bersemadinya Masyita dan keluarganya.

Awas! Mana-mana pemimpin yang bongkak dan mengaku kehebatannya sebagai pemimpin, takbur, sombong dan berlagak sebagai superman yang kuku besi, nyatalah ciri-ciri Firaun yang terkutuk itu sudah diwarisinya. Nauzubillah!


MORAL & IKTIBAR
Orang yang mengorbankan jiwa dan raganya demi menegakkan kebenaran diberikan kedudukan yang tinggi di sisi Allah.
Bukan lelaki saja yang mempunyai semangat yang kental dan tinggi dalam memperjuangkan kebenaran. Golongan wanita yang dianggap kaum yang lemah juga mempunyai keberanian dengan izin Allah
Allah menetapkan hati hamba yang mencari keredhaanNya sehingga seorang bayi mampu bercakap dalam usia yang paling muda. Anak Masyita adalah salah seorang bayi yang boleh bercakap semasa kecil lagi. Contoh lain ialah anak Siti Mariam yang menafikan ibunya melahirkan anak haram.
Orang yang Allah tidak kehendaki keimanannya dibiarkan mereka hidup dalam kezaliman sehingga menyangka keburukan sebagai kebaikan dan kebaikan pula dipandang sebagai kejahatan.
Manusia jangan menyangka mereka mudah saja dibalas dengan syurga selagi tidak diduga dengan pelbagai musibah dan kesusahan.
Dunia adalah tempat bersusah-payah, manakala akhirat ialah tempat kesenangan abadi.
Prinsip dan pegangan hidup orang tua-tua, "Bersusah-susah dahulu, bersenang-senang kemudian" seharusnya dijadikan pedoman hidup bagi kita.
Manusia yang senang kehidupannya tanpa diduga oleh Allah belum lagi diiktiraf keselamatannya di akhirat
Kesenangan di dunia belum boleh dijadikan bukti sebagai tanda Allah menyayangi mereka. Begitu juga kesusahan di dunia bukan menjadi bukti bahawa Allah membenci mereka.
Kesenangan di dunia bukan menjadi kayu pengukur kepada kesenangan di akhirat. Kesusahan di dunia pula bukan menjadi kayu pengukur kepada kesusahan di akhirat.


BERKAT KEJUJURAN

Syeikh Abdul Kadir semasa berusia 18 tahun meminta izin ibunya merantau ke Baghdad untuk menuntut ilmu agama. Ibunya tidak menghalang cita-cita murni Abdul Kadir meskipun keberatan melepaskan anaknya berjalan sendirian beratus-ratus batu. Sebelum pergi ibunya berpesan supaya jangan berkata bohong dalam apa jua keadaan. Ibunya membekalkan wang 40 dirham dan dijahit di dalam pakaian Abdul Kadir. Selepas itu ibunya melepaskan Abdul kadir pergi bersama-sama satu rombongan yang kebetulan hendak menuju ke Baghdad.

Dalam perjalanan, mereka telah diserang oleh 60 orang penyamun. Habis harta kafilah dirampas tetapi penyamun tidak mengusik Abdul Kadir kerana menyangka dia tidak mempunyai apa-apa. Salah seorang perompak bertanya Abdul Kadir apa yang dia ada. Abdul Kadir menerangkan dia ada wang 40 dirham di dalam pakaiannya. Penyamun itu hairan dan melaporkan kepada ketuanya. Pakaian Abdul Kadir dipotong dan didapati ada wang sebagaimana yang diberitahu.

Ketua penyamun bertanya kenapa Abdul Kadir berkata benar walaupun diketahui wangnya akan dirampas? Abdula Kadir menerangkan yang dia telah berjanji kepada ibunya supaya tidak bercakap bohong walau apa pun yang berlaku. Apabila mendengar dia bercakap begitu, ketua penyamun menangis dan menginsafi kesalahannya. Sedangkan Abdul Kadir yang kecil tidak mengingkari kata-kata ibunya betapa dia yang telah melanggar perintah Allah sepanjang hidupnya. Ketua penyamun bersumpah tidak akan merompak lagi. Dia bertaubat di hadapan Abdul Kadir diikuti oleh pengikut-pengikutnya.


MORAL & IKTIBAR


Ilmu Agama perlu dituntut meskipun terpaksa berjalan jauh.
Kata-kata ibu menjadi pendorong dan perangsang dalam hidup.
Berkata benar adalah satu kekuatan yang boleh memberi keinsafan kepada orang lain
Niat yang baik dan ikhlas mendapat keberkatan daripada Allah






KAKI AMPU YANG MUNAFIK


Pada suatu hari, seorang raja memanggil kesemua penasihatnya yang terdiri daripada mufti, menteri-menteri dan timbalannya, para hukama dan tokoh-tokoh agama negarawan ke istana hinggapnya. Mereka dijamu dengan pelbagai juadah dan dianugerah dengan bintang-bintang kehormat.
Selepas menikmati jamuan, raja mengeluarkan sebotol minyak wangi dari sakunya. Baginda membuka dan menghidunya. "Minyak wangi apa ni... busuk sangat baunya.." Sambil berkata begitu, raja itu menghulurkan botol itu kepada mufti di sebelahnya. Mufti itu menghidunya. "Ya, benar. Terlalu busuk minyak wangi ini." Minyak wangi itu diberikan pula kepada wazir di sebelahnya. Wazir itu berkata, "Betul Tuanku! Minyak wangi ini memang busuk." Begitulah seterusnya botol itu diedar kepada para jemputan yang ada di balairong. Kesemua mereka mengatakan busuk sebagaimana didakwa oleh rajanya.

Akhirnya sampailah kepada giliran seorang memanda menteri. Sebaik saja menciumnya, dia terus berikan respons, "Tidak betul, mana ada minyak wangi yang tidak wangi. Kesemua minyak wangi adalah wangi termasuk yang ini. Minyak wangi ini sangat harum, tidak seperti yang tuan-tuan katakan."

Mendengar kata-kata memanda menteri tadi, raja itu tersenyum sambil berkata, "Benar kata-kata menteriku ini. Kamu semua adalah pengampu yang berbohong. Kamu sanggup menyembunyikan kebenaran kerana nak mengampu dan menjaga status kamu semua. Mulai hari ini pengampu-pengampu semua dipecat dari sebarang jawatan. Memanda menteri yang berkata benar ini beta lantik menjadi penasihat diraja."



MORAL & IKTIBAR
Seorang pemimpin yang benar-benar sedar tentang peranannya sebagai khalifah Allah di muka bumi ini sentiasa berusaha menegakkan kebenaran dan menghapuskan kebatilan. Mereka bersedia menerima teguran membina daripada rakyat-rakyat dan orang bawahannya meskipun pahit didengar. Sebaliknya mereka benci kepada orang-orang yang suka mengampu dan memujinya tanpa hak.
Mereka yang Allah kehendaki menjadi manusia yang baik rela mendengar pendapat dan kritikan orang lain terhadapnya.
Bertuahlah sesebuah negara yang mempunyai umara' (raja) yang menghampiri ulama' dan binasalah sesebuah negara yang mana ulama'nya suka menghampiri umara'.
Kata-kata yang ikhlas disukai Allah meskipun dibenci oleh semua manusia. Sebaliknya kata-kata yang tidak ikhlas dibenci Allah meskipun digemari oleh semua lapisan manusia.
Carilah keredhaan Allah meskipun terpaksa berdepan dengan onak dan duri.
Kebaikan sejati ialah berani berkata benar di depan pemerintah yang zalim.
Pemerintah yang zalim suka mempunyai penasihat-penasihat yang berkata manis kepada dirinya walaupun tidak benar.
Jauhi sifat munafik kerana ia ibarat musang berbulu ayam. Membiarkan si munafik bermaharajalela seolah-olah merosakkan keseluruhan mukabumi Allah ini dengan noda dan dosa.
Allah membenci orang yang munafik. Oleh sebab itulah kedudukan orang munafik adalah paling hina daripada orang kafir. Orang kafir jatuh kerana kejahilannya tetapi si-munafik berkata bohong sedangkan dia tahu itu adalah salah. Justeru, Allah meletakkan orang munafik di kerak neraka yang paling bawah.
Jangan menjadi pak turut sehingga menggelapkan kebenaran yang sepatutnya diperjuangkan. Apabila kezaliman telah memenuhi mukabumi, menjadi fardhu ain kepada setiap orang membuat REFORMASI bagi menegakkan keadilan yang diLIWAT.

KALKATU

Allah tidak menjadikan sesuatu dengan sia-sia meskipun dalam kejadian nyamuk, lalat atau kalkatu. Ia mengandungi hikmah dan pengajaran kepada manusia yang mahu memikirkannya. Jika mengikut logik manusia, kenapalah Allah menjadikan nyamuk sedangkan ia bahaya kepada kesihatan. Sebenarnya dalam kejadian nyamuk banyak rahsia yang manusia sendiri tidak mengetahuinya. Allah MAHA BIJAK dan MAHA MENGETAHUI.

Pada satu malam yang sunyi lagi gelap, keluarlah satu kumpulan kalkatu entah dari mana menuju ke satu tempat yang terang dan bercahaya. Berpusu-pusu berterbangan ke arah beberapa buah pelita yang dipasang di halaman rumah. Aku lihat kesemua kalkatu itu menerkam ke tempat itu. Setiap kali terkam setiap kali kalkatu itu jatuh dan binasa satu persatu. Binasa disebabkan oleh api yang panas itu. Ada seekor yang tak mati sekaligus dan mampu terbang lagi. Tetapi ia tidak serik kerana kepanasan, malah ia sendiri lihat dengan mata kepalanya ramai kawannya yang tersungkur ke bumi. Namun itu tidak memberi pengajaran kepada kalkatu itu, mungkin kerana kedegilan dan keseronokan melulu.Tanpa berfikir panjang, kalkatu itu menerkam sekali lagi. Kali ini ia tidak bernasib baik dan menempah maut.

Termenung aku sejenak. Apa hikmah Allah jadikan kalkatu? Di hati kecilku berkata sebodoh-bodoh kalkatu pun ada baiknya kerana selepas kematian itu tidak dibangkitkan lagi di akhirat. Sebaliknya aku terfikir ramai manusia ketika ini berotakkan kalkatu. Mereka tahu dadah itu bahaya, namun masih mengambilnya. mereka tahu tidak bersembahyang boleh menjerumuskan dirinya ke dalam neraka, namun masih tak hendak bersolat. Mereka tahu merokok membahayakan kesihatan, namun masih menghisap. Mereka tahu berjudi itu haram, namun tetap berdegil tikam ekor. Mereka tahu berzina itu dosa, namun tetap melakukannya. Mereka tahu syurga penuh kenikmatan tapi menjauhinya. Mereka tahu neraka penuh dengan azab tapi ramai yang hendak ke sana. Mereka tahu syaitan itu musuh utama tapi mengambil mereka sebagai kawan. Banyak lagi aksi manusia sekarang yang bertubuhkan manusia namun hakikatnya berotakkan kalkatu.


MORAL & IKTIBAR


Allah memberikan otak kepada manusia untuk berfikir. Jika tidak digunakan atau disalahgunakan manusia akan rugi malah nasibnya lebih dahsyat daripada kalkatu .
Kebanyakan manusia tertipu dengan kemanisan dunia tanpa memikirkan kemanisan akhirat .
Berbondong-bondong manusia mengejar kebahagiaan, hiburan dan kelazatan dunia sahaja pada hakikatnya adalah mengejar api neraka.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Related Posts with Thumbnails

.