Islamic Widget


.
.

Khamis, 1 Julai 2010

Aplikasi Teknologi Maklumat Terkini dan Pengurusan Dakwah Bestari


Aplikasi Teknologi Maklumat Terkini dan Pengurusan Dakwah Bestari
1 Pengenalan
Perkembangan Teknologi Maklumat serta Internet hari ini telah menyaksikan banyak pembaharuan kepada applikasi, perkhidmatan serta maklumat yang dibawa oleh pembekal perkhidmatan. Perkembangan ini juga telah memperlihatkan persepaduan teknologi antara teknologi penyiaran, telekomunikasi dan penghantaran data yang kesemuanya kini dibawa kepada pengguna secara digital. Penggunaan multimedia dalam segenap bentuk penghantaran maklumat juga telah membolehkan maklumat dihantar dengan lebih berkesan, interaktif dan menarik. Implikasi yang paling besar sudah pastinya dalam bidang hiburan, pembikinan filem dan penyiaran. Ini jelas dari bentuk pengolahan dan jalan cerita masa kini dan penggunaan animasi, kesan suara dan gambar yang amat meyakinkan dan menarik.

Persoalan yang akan dibincangkan oleh kertas ini ialah berkaitan dengan perkembangan salah satu dari teknologi mutakhir dan bagaimana ia boleh dimanfaatkan oleh kita untuk maslahat ummah dan perkembangan Islam amnya dalam kontek pengurusan dakwah bestari. Teknologi tersebut adalah WAP singkatan kepada “Wireless Application Protocol” atau Piawaian Applikasi Tanpa Wayar.

2 WAP

WAP telah dan akan menambah satu dimensi baru kepada perayauan Internet. Dengan hanya menggunakan telefon bimbit atau PC telapak yang mendokong WAP anda akan boleh menempah tiket, memesan makanan dan menyemak akaun bank anda pada bila-bila masa , di dalam bas, di tepi pantai, di mana jua.

Maklumat yang diperlukan akan diperolehi bila ia diperlukan. Mencari berita, ramalan cuaca dan pertukaran wang asing jika anda perlu mendapatkan maklumat terkini. Boleh bermain permainan, berjudi dan bersembang jika anda mahukan hiburan. Semua applikasi ini adalah antara applikasi yang telah dan akan dibangunkan dengan menggunakan teknologi WAP.


WAP bukan sahaja setakat membuat Internet boleh dicapai dimana jua. Perkhidmatan seperti memindah turun sebuah buku panduan telefon dan cara baru mengawal panggilan keluar dan masuk akan membuatkan penggunaan telefon bimbit bertambah mudah.

3 Apa itu WAP?

Seperti yang dinyatakan di atas, WAP adalah singkatan kepada “Wireless Application Protocol” atau Piawaian Applikasi Tanpa Wayar. Ia merupakan satu piawaian antarabangsa yang dibangunkan untuk membolehkan pengguna perkhidmatan perayauan mencapai perkhidmatan internet. .Walaupun WAP diasaskan daripada teknologi internet, WAP dan internet perlu wujud seiringan untuk berfungsi.. Sebuah syarikat atau orang perseorangan yang mempunyai satu tapak Internet boleh meyebarkan maklumat yang disediakan kepada pengguna telefon bimbit dengan mengubah laman WEB masing-masing kepada laman WAP.

Untuk mencapai perkhidmatan WAP pengguna perlu memiliki atau membeli barangan WAP dari pembekal telefon bimbit seperti Ericsson MC 218, R320 atau R380. Selain syarikat Ericsson, hampir semua syarikat pembekal telefon bimbit hari ini ada membekalkan telefon WAP, seperti Motorola, Nokia dan Siemen. Selain dari keserasian WAP, barangan WAP mempunyai saiz pemapar grafik yang agak besar beserta peluncur mikro (micro browser).

Kebanyakan syarikat menawarkan penyelesaian WAP yang menyeluruh, dari peranti telapak dan pintu laluan WAP (WAP gateway) kepada peralatan untuk membangunkan tapak atau laman WAP. Pintu laluan WAP sebenarnya adalah sebuah pelayan yang mengawal perhubungan antara peranti perayau dan pelayan di mana perkhidmatan WAP atau laman WAP disimpan. Pintu laluan WAP adalah satu komponen yang amat penting dan ia mendokong satu lagi komponen penting iaitu WML, “Wireless Markup Language”.




4 WML – Wireless Markup Language

WML adalah satu bahasa pengaturcaraan yang direka dan dibangunkan untuk dimuatkan dalam peranti telapak yang kecil yang digunakan untuk perhubungan tanpa wayar. Pembangun perisian menggunakan WML untuk mereka laman WAP. Kebanyakan pembekal telefon bimbit masa kini juga menyediakan peralatan yang baik untuk mereka laman WAP dengan membolehkan pereka melihat bagaimana laman tersebut akan dipaparkan pada telefon bimbit atau PC telapak.
5 Forum WAP

Untuk memastikan satu piawaian yang boleh diterima pakai oleh semua pihak terlibat, satu forum yang dikenali sebagai Forum WAP telah diwujudkan. Forum WAP adalah satu-satunya persatuan yang melibatkan lebih dari 200 ahli dan ia telah membangunkan satu piawaian antarabangsa untuk maklumat tanpa wayar dan perkhidmatan telefon bimbit digital serta peranti tanpa wayar yang lain.

Antara objektif pertubuhan ini adalah:

• Membawa kandungan internet dan perkhidmatan data lanjutan kepada telefon tanpa wayar dan peranti tanpa wayar yang lain.
• Mereka satu piawaian spesifikasi tanpa wayar antarabangsa yang boleh berfungsi merentangi semua jenis teknologi rangkaian tanpa wayar.
• Membantu menyediakan bahan kandungan dan applikasi yang boleh dilanjutkan merentangi rangkaian tanpa wayar yang pelbagai dan peranti yang pelbagai.
• Mendokong dan melanjutkan piawaian dan teknologi sedia ada sekiranya boleh dan bersesuaian.

6 Potensi WAP

WAP adalah satu protokol yang terbuka, piawaian antarabangsa yang memberi kuasa kepada pengguna telefon bimbit dan peranti tanpa wayar untuk mencapai dengan selamat dan secara langsung berinteraksi dengan maklumat internet/intranet dan perkhidmatan komunikasi.

WAP memberikan kebebasan kepada pengguna telefon bimbit dengan menawarkan perkakasan maklumat dan kominukasi yang mudah digunakan dan kebolehan perayauan yang luas. Peranti yang menggunakan WAP berasaskan perayau mikro (micro browser) boleh mencapai perkhidmatan baru dan innovatif dengan nilai tambah yang sedang muncul dengan pantas ke pasaran.

Secara ringkasnya, manfaat yang boleh dikecapi oleh pengguna WAP adalah seperti berikut:
• Transaksi yang selamat
• Maklumat penting dapat dicapai dengan pantas dan efektif.
• Antaramuka pengguna (UI- user interface) yang mudah digunakan memenuhi kehendak pengguna dalam ruang lingkup terhad rangkaian dan peranti.

Specifikasi WAP telah membolehkan applikasi yang dibangunkan mempunyai antaramuka yang umum sama seperti pengguna menggunakan applikasi umum dalam komputer peribadi. Kesemua maklumat dan perkhidmatan ini boleh dicapai dimana jua pada bila-bila masa.

7 Pengurusan Dakwah Bestari
Penulis dalam kertas yang lain ada mencadangkan kaedah menyediakan bank data dan laman web Islam yang menyeluruh. Kertas ini akan mencadangkan bagaimana dengan pengenalan teknologi baru ini iaitu WAP pengurusan dakwah boleh dilaksanakan dengan lebih berkesan dan bijak.

Antara langkah yang boleh dilakukan dengan segera untuk mempastikan teknologi WAP dapat dimanfaatkan sepenuhnya adalah seperti berikut:

1. Memulakan usaha untuk memboleh WAP kan laman web yang berkaitan dengan Islam dan dakwah yang sedia ada supaya ianya boleh dicapai bukan sahaja melalui Web tetapi juga menggunakan telefon WAP.Ini memerlukan latihan semula yang minimal untuk mempelajari WML disamping HTML dan bahasa-bahasa pengaturcaraan yang lain. Usaha mengenalpasti perkakasan tambahan jika perlu juga perlu dilakukan.
2. Mengenalpasti maklumat baru dan perkhidmatan interaktif baru yang boleh dibangunkan untuk disebarkan melalui kaedah WAP. Contoh kepada applikasi ini adalah kebolehan untuk mengetahui Masjid terdekat berdasarkan lokasi pengguna telefon bimbit pada satu-satu masa. Contoh lain, ialah keupayaan memaklumkan perayau tentang aktiviti keagamaan yang sedang berlangsung di mana-mana lokaliti atau karyah mengikut lokasi setempat pengguna perayau WAP.
3. Membina jaringan komunikasi yang lebih mudah dan berkesan. Dengan adanya WAP capaian kepada prasarana komunikasi asas seperti mel-elektronik dapat dilakukan dengan lebih mudah. Paradigma penggunaan telefon bimbit mesti berubah dan disepadukan dengan penggunaan teknologi maklumat secara umum.

Buat masa ini pembekal perkhidmatan perayauan telefon di Malaysia masih melakukan perkhidmatan WAP secara percubaan. Tahun 2001 akan memperlihatkan perkembangan WAP yang lebih meluas dan sekata.

8 Kesimpulan

Kertas ini telah membincangkan perkembangan terkini dalam bidang telekomunikasi dan teknologi maklumat iaitu pengenalan kepada teknologi WAP. Pengenalan teknologi telah membolehkan maklumat dicapai secara interaktif dengan lebih meluas menggunakan telefon bimbit. Kertas ini juga ada mencadangkan kaedah bagaimana teknologi ini boleh dimanfaatkan untuk menyumbang kepada pengurusan dakwah bestari untuk kepentingan Umat Islam amnya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Related Posts with Thumbnails

.