Islamic Widget


.
.

Jumaat, 2 Julai 2010

FOKUS PEMBELAJARAN DAN TEKNIK-TEKNIK STUDI.


FOKUS PEMBELAJARAN DAN TEKNIK-TEKNIK STUDI.

MUQADDIMAH.
Tidak dapat dinafikan pelajar mempunyai peranan yang besar dalam mewarnai ketamadunan sesebuah masyarakat terutama dari sudut ilmu pengetahuan. Selain itu, para pelajar merupakan agen perubah masyarakat itu sendiri dari sudut sosial dan akhlak.
Berjaya dalam konteks ini bukan sekadar berjaya dari sudut keduniaan sahaja, bahkan kejayaan di akhirat juga. Dalam hubungan ini golongan yang diharapkan itu, mestilah mengetahui matlamat pembelajaran mereka, tuntutan –tuntutan ke atas mereka dan memelihara disiplin-disiplin tertentu sejak daripada menuntut ilmu sehingga menyebarkan dan mengembangkan ilmu tersebut yang menjadi tanggungjawab mereka.
Manusia dilahirkan tanpa dibekali dengan ilmu tetepi Allah SWT menjadikan manusia sebagai makhluk yang mempunyai perasaan untuk mengetahui dan mengkaji sesuatu yang tidak ia ketahui. Fiman Allah berbunyi:

والله أخرجكم من بطون أمهاتكم لا تعلمون شيأ وجعل لكم السمع والبصر والأفئدة لعلكم تشكرون.
سورة النحل أية78
Maksudnya: “Dan Allah mengeluarkan kamu dari perut ibumu dalam keadaan tidak mengetahui sesuatu pun dan memberi kepada kamu pendengaran , penglihatan dan hati agar kamu bersukur. “

Oleh itu, kami akan mengemukakan sedikit panduan untuk para pelajar memanfaatkannya. Sebelum memulakan perbicaraan secara lebih lanjut dan detail, perlu diingatkan bahawa penumpuan kita terhadap peperiksaan tidak bererti akan membatasi penumpuan kita terhadap ilmu-ilmu di luar “muqarrar”. Biarlah kecemerlangan kita dalam peperiksaan menjadi perangsang kepada kita untuk menguasai bidang-bidang lain dan menunaikan risalah kehadiran kita ke bumi Anbiya ini.

SEJENAK BERSAMA MEREKA YANG CEMERLANG.

Setiap insan yang bernyawa menginginkan sebuah kejayaan dan kecemerlangan hidup. Pastinya sebuah kejayaan memerlukan pengorbanan dan kesabaran.

Islam sudah lengkap dengan pengajaran untuk disuruh bersyukur atas kejayaan dan nikmat yang telah dicapai, disuruh redha jika menemui kegagalan setelah berusaha dengan bersungguh-sungguh, disuruh bersabar dalam menghadapi kesulitan dan disuruh berdoa kepada Allah SWT supaya berjaya dengan cemerlang dalam segala urusan. Bertaqwalah kepada Allah setelah puas berusaha. Berakit-rakit ke hulu berenang-renang ketepian, bersakit-sakit dahulu besenang-senang kemudian. Insya-Allah kejayaan bersama anda.

Muhd. Hafiz bin Mahyuddin berasal dari Kg. Pida 3 Lama, Jln Sanglang, Alor Setar, Kedah. Mendapat pendidikan perigkat menengah di Institut Tahfiz Al-Quran & Pengajian Islam seterusnya memperolehi Shahadah 4 Senawi di Madrasah Al-Khairiah Al-Islamiah, Pokok Sena, Kedah dengan pangkat Jaid Jiddan.

Beliau adalah di antara seorang daripada generasi perintis yang di hantar ke muhafazah.beliau ditempatkan di Universiti Al-Azhar cawangan Damanhur dalam bidang Pengajan Islam & Bahasa Arab Jurusan Syariah. Bagi Ustaz Hafiz, kejayaan bukan hak mutlak manusia. Beliau mempunyai jadual waktu yang teratur. Beliau melaksanakan jadual dalam dua bentuk. Peringkat pertama dimulakan dengan membaca muzakkirat dan membuat penelitian. Manakala peringkat kedua membaca mafhum (memahami) dan membuat kesimpulan apa yang kita faham dari pembacaan. Menurut beliau lagi, pembacaan terhadap sesebuah muzakkirat berkait rapat dengan penguasaan ilmu Nahu. Tanpa penguasaan ilmu Nahu yang cekap akan melambatkan proses pembacaan .

Nasihat Ustaz Hafiz yang kini menyambung M.A. Dirasat ‘Ulya, Jurusan Usul Fiqh di Universiti Al-Azhar kepada mahasiswa/wi Al-Azhar bahawa studi tujuh jam sehari tidak mencukpi bagi memperolehi hasil maksimum. Di samping meningkatkan usaha, kita perlu merancang, bertawakal serta berdoa kepada Allah.

Aminurrasyid bin Yatiban dilahirkan pada tanggal 19 Februari 1975 di Kg. Jenjarum Kuala Langat, Selangor. Dibesarkan dalam suasana keluarga yang berpaksikan ajaran Islam yang suci. Mendapat pendidikan awal di Sek. Keb Jenjarum, seterusnya meneruskan pelajaran ke SMKA Selangor dan KISAS. Merupakan pelajar yang berdedikasi, berwawasan dan berketrampilan. Pernah memenangi Pertandingan Syarahan Bahasa Arab, Forum Remaja Peringkat Negeri, Pidato Piala Di Raja dan Piala Dato’ Fong Chan Onn.

Cara belajar yang dipraktikkan oleh Ustaz Aminur Rasyid, ialah seperti orang lain juga, cuma dari sudut penumpuan terhadap apa yang diulangkaji dan dibaca, hendaklah dipusatkan sepenuhnya. Dalam erti kata lain, bila kita membaca, tiadalah ruang untuk memikirkan perkara lain. Dalam pada itu, hati dan jiwa perlu juga diusahakan kemurniannya iaitu dengan keikhlasan yang tidak berbelah bahagi bahawa apa yang dipelajari, dihafal dan ditulis hanyalah kerana Allah S.W.T. Sekaligus kita berasa seronok dan tidak tertekan lantaran yakinnya pergantungan kita terhadap Allah S.W.T. Selain itu, pastikan gerak geri kita seharian selayaknya diselarikan menurut kehendak Allah S.W.T agar kita benar-benar layak mendapat anugerah redhonya dengan pembelajaran sebagai wasilah ke arah itu.

Safinar bt. Salleh, anak kelahiran Kg. Jejawi Dalam, Arau, Perlis pada tanggal 6 Sept. 1976. Mendapat pendidikan awal di Sek. Keb. Jejawi kemudian melanjutkan pelajaran ke Sek. Men. Keb. Agama Perempuan Kangar sehingga tingkatan empat. Beliau meneruskan pengajian ke Kolej Islam Sultan Alam Shah, Klang sehingga tamat Tingkatan Enam Atas. Beliau datang ke Mesir pada sesi 1995/96 dalam tahun satu kuliah Syariah Islamiah dan mendapat pangkat Jaid dalam Imtihan Daur Mayu sesi lalu.

Beliau menganggap kejayaan ini merupakan pertolongan Allah semata-mata. Di antara rahsia kecemerlangan ialah kejayaan kita menyediakan nota yanag baik. Kita juga perlu mengulang sekurang-kurangnya 4 kali sebelum menghadapi imtihan sebenar. Sebaik-baiknya, hafal fakta penting dan sekiranya tidak mampu berbuat demikian cuba fahamkan isi perbincangan.

Ketahuilah kejayaan yang kita perolehi tidak menggambarkan ilmu yang terkandung di dada. Apa yang penting niat kita menuntut ilmu kerana Allah S.W.T.


MATLAMAT MENUNTUT ILMU

Untuk mengetahui tuntutan Allah ke atasnya sebagai hamba dan khalifahnya di muka bumi ini.


Firman Allah:
واذ قال ربك للملائكة اني جاعل في الارض خليفة.
سورة البقرة: 30
Maksudnya: “Ingatlah ketika tuhanmu berfirman kepada para malaikat: Sesungguhnya aku hendak menjadikan seorang khalifah di atas muka bumi ini.

Menggunakan kelengkapan-kelengkapan yang Allah kurniakan seperti akal dan pancaindera sebagai jalan untuk mengenal Allah. Firman Allah di antaranya:
i) أفلا تعقلون (Apakah kamu tidak menggunakan akal?)
ii) أفلا تتذكرون (Apakah kamu tidak menggunakan fikiran?)
iii) أفلا تنظرون (Apakah kamu tidak melihat?)

Untuk mengikuti jalan kebahagian yang hakiki di dunia dan akhirat. Firman Allah SWT:

يا أبت اني قد جاءني من العلم ما لم يأ تك فاتبعني اهدك صراطا سويا .
سورة مريم اية3 4

Maksudnya: “Wahai bapaku telah dating kepadaku ilmu yang tidak didatangkan kepadamu maka Ikutlah aku,aku akan tunjukkan jalan yang lurus”.
(Surah Mariam: Ayat 43)

Untuk memberitahu kepada kita bahawa selain alam, benda yang wujud ini ada alam ghaib yang wajib diimani. Firman Allah:

الذين يؤمنون بالغيب ويقومون الصلاة ومما رزقنا هم ينفقون
سورة البقرة اية 3
Maksudnya: “Orang yang beriman dengan perkara ghaib, mendirikan solat dan sebahagian apa yang Kami kurniakan kepada mereka dibelanjakan”
(Surah Al-Baqarah :Ayat 3)

Untuk mengetahui kesudahan hidup kita dan kehidupan yang sebenarnya, firman Allah: ان الدار الآخرة لهي الحيوان لو كا نوا يعلمون
سورة ألعنكبوت اية 64
Maksudnya: “Dan sesungguhnya negeri akhirat itulah yang sebenar kehidupan, kalau mereka mengetahui”.
(Surah Al-Ankabut: Ayat 64)

BERANI DAN YAKIN DIRI UNTUK BERJAYA.

Kegagalan seseorang mungkin berpunca dari sini – gagal mengambil langkah pertama kerana kurang keyakinan diri dan takut tidak berani. Akhirnya apa yang dicita-cita, walau sebaik mana sekalipun akan mati ditengah jalan dan hidup tidak akan diubah ke satu tahap yang lebih baik.

Perubahan akan dicapai hanya dengan berusaha. Usaha pula perlu disandarkan kepada ilmu, keyakinan diri dan sikap berani. Setelah itu, bertawakal kepada Allah kerana Dia tidak akan mengubah nasib seseorang itu melainkan dia mengubahnya dahulu.

Anda boleh membina keyakinan diri dan bersikap berani untuk berjaya. Apa yang penting ialah:
1) Yakinlah Allah (SWT) sentiasa bersama anda setiap masa. Sekiranya usaha yang anda lakukan itu adalah pekerjaan yang halal dan tidak melanggar perintahNya, insya-Allah, Dia akan sentiasa bersama anda.
2) Mulakan langkah pertama walaupun anda mungkin tidak yakin atau tidak berani. Tolaklah perasaan was-was. Langkah pertama itu penting, kerana jika anda tidak memulakannya, bagaimana anda akan tahu tahap kemampuan anda?
3) Tolak pandangan negatif orang lain terhadap anda. Mungkin pandangan-pandangan seumpama itulah yang akan membuatkan anda memandang kecil kemampuan diri sendiri. Tonjolkan diri anda yang selama ini belum orang kenali. Anda berani, anda boleh dan anda mampu.
4) Jangan mudah putus asa. Anda mungkin akan menghadapi masalah dalam usaha yang anda jalankan, tetapi masalah itulah yang akan membantu anda.

Bagaimanakah hendak menjadi seorang pelajar yang baik? Mungkin perkara-perkara di bawah akan membantu para pelajar mengenal taraf mereka sebagai seorang pelajar yang baik.Apakah anda mempunyai ciri-ciri ini?

1) Anda mestilah mempunyai rangka kerja untuk setiap hari.
2) Anda benar-benar mengiku rangka kerja yang telah dibuat .
3) Anda sentiasa bersedia memulakan sesuatu matapaljaran.
4) Anda sentiasa menyiapkan kerja yang diberi pada waktunya.
5) Anda merasa kerja-kerja yang dilakukan amat menarik.
6) Anda gemar duduk dibarisan hadapan dan tidak menyorok di belakang.
7) Anda sering merujuk kepada guru mengenai perkara-perkara yang anda tidak faham.
8) Anda satukan nota-nota bagi setiap matapelajaran .
9) Anda membuat nota-nota ringkas dari kuliah yang dihadiri .
10) Anda membuat carta dan rajah sendiri untuk meringkaskan bahan-bahan yang telah dibaca.
11) Anda tidak berjaga malam untuk mnghadapi peperiksaan .
12) Anda mendapat tidur yang cukup.

Membacakan menjemukan ?Membaca meletihkan ? Klau begitu, anda perlu berbuat sesuatu untuk mengatasinya. Anda boleh jadikan membaca satu hiburan, bahkan satu ketagihan kalau anda menguasai teknik-teknik membaca yang tepat. Anda tentu terkejut, kalau Imam Syafie boleh membaca Al-Quran 3 kali khatam dalam satu hari. Begitu juga dengan Imam Hambali , Hanafi dan imam-imam yang lain. Malah ada yang lebih hebat , para Sahabat khatam Al-Quran satu malam tiga kali.

TEKNIK-TEKNIK STUDI.

Belajar adalah suatu seni yang unik dan flexible.Setiap orang mempunyai cara studi yang tersendiri.Namun begitu bolehlah kita rumuskan bahawa teknik- teknik studi yang dilalui oleh seseorang pelajar itu tidak lari dari beberapa teknik berikut:

1) Mengulangkaji secara perseorangan dan menghafal pelajaran.
2) Diskusi cara berkumpulan.
3) Membuat nota dan kertas kerja.
4) Menganalisis soalan –soalan peperiksaan tahun lalu.
5) Memberi tumpuan sepenuhnya terhadap kuliah.
6) Talaqqie dan bertanya kepada pensyarah.
7) Mempunyai jadual waktu yang teratur.
8) Menghadiri seminar-seminar peperiksaan.

Gabung jalin yang seimbang dari teknik- teknik tersebut di atas akan memberi kesan yang kepada kita dalam menguasai dan memahami bidang yang diceburi seterusnya menjadikan kita lebih bersedia untuk menghadapi peperiksaan.

PERINGKAT-PERINGKAT STUDI.

MEMBACA (Mutolaah)
Membaca dan mengulangkaji secara berulang kali adalah unsur yang penting penguasaan kita terhadap sesuatu pelajaran. Kita boleh mentakrifkan membaca dengan berbagai definisi antaranya : “Aktiviti fizikal dan mental seperti pergerakan mata , tatabahasa , perbendaharaan kata , ejaan, fenotik dan fahaman intelektual” ataupun “proses berfikir yang melibatkan pembacaan memahami idea mengikut pengalaman , keperluan dan tujuan bacaan.
Bagi kita mahasiswa/wi Al-Azhar bilakah sepatutnya kita memulakan studi dan ulangkaji? Jika ditinjau dikalangan pelajar-pelajar Malaysia di Mesir kita akan dapati berbagai-bagai stail studi yang diamalkan oleh mereka kerana Al-Azhar tidak mewajibkan kehadiran kecuali di beberapa kuliah .Antara stail-stail yang ada:
• Memberi tumpuan kepada buku–buku luar kuliah diawal tahun dan studi subjek kuliah disaat-saat akhir.
• Memberi tumpuan kepada kuliah dan muzakkirat dari awal tahun dan mengurangkan bacaan dan pengajian luar.
• Menumpukan perhatian kepada kedua-dua perkara iaitu memulakan studi muqarrar dari awal pengajian dan di samping itu tidak mengenepikan bacaan dan pengajian luar.
• Relax dan sibuk dengan aktiviti-aktiviti luaran.

RUMUSAN
Kita dapati biasanya mahasiswa/wi ( stail 2dan 3 )yang merangkul tempat teratas didalam peperiksaan . Walau bagaimanapun pelajar ( stail 3) lebih beruntung kerana maklumatnya lebih luas bukan sekadar subjek-subjek kuliah. Manakala pelajar yang gagal kebanyakannya dari kumpulan ( stail 4 ). Jadi , terpulanglah kepada kita untuk memilih jalan yang sesuai dengan matlamat kita.

LANGKAH-LANGKAH UNTUK STUDI

a) Sebelum studi
1) Memilih masa yang sesuai. Ini bergantung kepada individu. Tidak ada satu formula khusus yang boleh dijadikan panduan tetap. Ia berdasarkan kesesuaian. Namun berdasarkan kajian, waktu pagi adalah waktu yang paling baik untuk studi.

2) Memilih subjek yang sesuai dengan masa secara teratur . Utamakansubjek yang susah pada waktu yang paling baik seperti waktu pagi dan subjek yang yang ringan diwaktu yang lain.

Perkara pertama dan kedua ini amat berkait rapat dengan penyusunan jadual waktu dan jadual studi yang sistematik.

3) Memilih tempat studi yang baik dan selesa .Jauhi dari studi sambil berbaring di atas katil atau di atas sofa.

Anda boleh mengubah selera studi pada ketika tertentu dengan mengambil peluang untuk studi ditempat yang tertentu yang dapat memberikan anda ketenangan , menghilangkan mengantuk, dan memberikan semangat yang baru . Contohnya anda boleh studi di :
• Masjid
• Taman atau padang.

Begitu juga anda boleh studi sambil berdiri atau berjalan . Cara begini baik ketika anda di serang mengantuk.
4) Studi dalam keadaan berwudhuk dan bersuci , di tempat dan persekitaran yang bersih dan nyaman.
5) Memulakan studi dengan membaca doa.

b) Semasa studi.

Antara teknik-teknik yang berkesan dalam mentelaah ialah :
• Menggariskan atau mewarnakan fakta-fakta penting. Sebaik-baiknya fakta –fakta penting ini diasingkan daripada buku teks dan dijadikan nota.
• Mencatat isi penting secara ringkas ditepi muzakkirat dengan tulisan yang kemas dan bersih .Anda boeh menulisnya beberapa kali diatas kertas dengan tujuan menghafal.
• Mencatat dan membuat kesimpulan melalui gambarajah didalam kertas setelah selesai membaca .
• Membaca satu topik secara berulang kali sehingga anda benar-baner faham sebelum berpindah ke topik yang baru.
• Mencari semua makna perkataan yang sukar difahami.
Teknik studi yang ditemani unsur malas , sambil lewa , melepaskan batuk ditangga atau lain-lain unsur yang negatif, akan merugiakn masa dan tenaga. Pastikan anda benar-benar memanfaatkan masa dan tenaga untuk hasil yang maksimum.

MENGHAFAL

Kemampuan dan kemahiran menghafal adalah antara faktor penting yang menentukan kejayaan seseorang mahasiswa didalam peperiksaan. Antara perkara yang mempercepatkan proses penghafalan ialah:
• Kesungguhan
• Usaha yang berulang-ulang dan berterusan.
• Mengurangkan makan.
• Qiamullail.
• Selalu membaca Al-Quran
• Sentiasa berwudhuk.
Disamping itu kita hendaklah menjauhkan diri dari perkara-perkara yang boleh melemahkan ingatan dan membuatkan kita cepat lupa. Sebab utama yang menghalang kita dari mempunyai (makalah) hafalan yang kuat ialah melakukan maksiat.

Teknik menghafal
• Memilih waktu yang sesuai iaitu ketika fikiran masih segar dan tidak berkecamuk dengan apa-apa masalah.
• Menghafal dalam suasana tenang tanpa gangguan luar.
• Menghafal berulang-ulang kali sehingga benar-benar ingat. Sekiranya pelajaran yang dihafal itu adalah Al-Quran, pastikan anda mengulang-ulangi ayat yang dibaca sebanayak 5 kali diperingkat permulaan. Apabila semua ayat telah dibuat demikian , ulang semula hafalan dari ayat yang pertama sehingga ayat terakhir beberapa kali. Apabila anda telah ingat pelajaran yang dihafal jangan tinggalkannya dalam jarak yang lama kerana akan menyebabkan anda lupa semula.
• Menggunakan semua pancaindera .jangan menghafal hanya menggunakan mata dan hati semata-mata kerana ini akan membuatkan anda lambat inagt dan cepat lupa .Disamping melihat apa yang dihafal , anda hendaklah menyebut dengan lidah , mendengar apa yang disebut dan menulisnya diatas kertas secara berulang-ulang kali.
• Bukan semua teks harus dihafal. Hafallah point-point penting dari nota dan cuba mengingatinya secara gambarajah atau carta. Ini akan membuatkan anda dapat menguasai tajuk tersebut.
• Cuba cari teman untuk (berlawan hafal) .Buatlah soal jawab dengan teman tersebut kerana ini akan membantu anda mengingatinya dengan cepat dan dapat bertahan lama .


DISKUSI

Diskusi adalah kaedah perbincangan pelajaran didalam kumpulan kecil, ianya boleh dikendalikan oleh seorang ketua yang berkemampuan untuk memastikan keberkesanan dan hidupnya diskusi tersebut. Antara kelebihan diskusi:
• Lebih mudah memahami pelajaran. Ini kerana kita dapat memberikan konsentrasi yang lebih semasa berbincang berbanding dengan membaca sendiri, disamping dapat mengurangkan gangguan seperti mengantuk, malas dan gangguan kawan-kawan. Diskusi juga boleh memberikan kita kefahaman yang lebih tepat terhadap maksud teks pelajaran.
• Membantu menyediakan nota. Melaluinya kita akan lebih mudah memetik fakta –fakta penting didalam teks. Secara tidak langsung ia membantu kita dalam menyiapkan nota yang baik.
• Berkongsi maklumat kuliah dan pengajian.
• Lebih menjimatkan masa.
• Menjadikan otak lebih aktif dan kreatif.
• Memudahkan kita mengingati pelajaran itu.

Namun begitu kita dapati banyak diskusi yang diadakan menemui jalan buntu .Antara faktor – faktor kegagalan sesuatu diskusi :
• Ketua kumpulan kurang berkemampuan .
• Anggota diskusi tidak bersedia dengan topik-topik yang akan dibincangkan . Ini akan menyebabkan diskusi yang diadakan menjadi kaku dan seterusnya menimbulkan rasa jemu dikalangan anggota diskusi.
• Anggota diskusi tidak dapat memberikan interaksi dan penglibatan yang sepatutnya. Ini menyebabkan diskusi tersebut seolah-olah dihadiri oleh seorang atau dua sahaja.
Dari sini boleh kita membuat kesimpilan bahawa diskusi yang berjaya mempunyai ciri-ciri berikut:
• Dikendalikan oleh seseorang yang lebih berkemampuan
• Disertai oleh seorang atau dua peserta yang bijak dan kreatif.
• Menepati masa yang ditetapkan.
• Memperbanyakkan soal jawab dalam perbincangan.
• Peserta telah membaca dahulu topik-topik perbincangan atau mempunyai gambaran ringkas mengenainya.
• Menggunakan gambarajah atau papan hitam jika perlu.
• Diselangi oleh perkara-perkara sampingan seperti berehat lima minit, makan , minum dan sebagainya.

NOTA.

Nota adalah ringkasan dan isi –isi penting dari matapelajaran yang kita dipelajari. Kejayaan seseorang pelajar di dalam peperiksaan banyak bergantung kepaada kemampuannya menyediakan nota yang baik.Hasil dari satu eksperimen yang dijalankan didapati pelajar yang membuat nota mendapat 65% manakala pelajar yang mengharapkan daya ingatan semata-mata hanya 25% .Antara kelebihan membuat nota ialah:
• Menjimatkan masa untuk ulangkaji ringkas terutamanya disaat akhir peperiksaan.
• Nota sebagai tanda kita telah memahami pelajaran yang dipelajari dan ia boleh dianggap sebagai inti-pati bagi matapelajaran berikut.
• Membezakan diantara fakta yang penting dan yang kurang penting . Ini bererti nota yang kita tulis itu adalah rumusan penting ynag sebaik-baiknya kita kuasai dan hafal.
• Memudahkan proses mengingat.
Berikut adalah senarai langkah-langkah membuat nota yang baik
• Membaca teks pelajaran secara menyeluruh sekurang-kurangnya dua atau tiga kali sebelum membuat nota.
• Mendapat kefahaman yang menyeluruh.
• Nota yag dibuat mestilah mengikut teks dalam perkara-perkara berikut (ta’rif , dalil , bahagian-bahagian , pendapat-pendapat ). Ini adalah kerana perkara-perkara ini perlu dihafal.
• Menggabungkan syarahan pensyarah dan teks.
• Membuat rujukan ketika perlu.
• Gunakan buku atau kertas kajang yang baik . Sebaik-baiknya menggunakan garisan-garisan berjalur.
• Pastikan tulisan anda jelas, terang dan mudah dibaca. Sebaik-baiknya gunakan dakwat yang lebih jelas dan mudah dibaca.
• Gunakan teknik menggaris kata kunci , simbol , ringkasan huruf dan gambarajah jika perlu.
• Nota yang dibuat hendaklah ringkas dan padat.

PERINGATAN .

Pelajar perlu bijak mengolah dan memanjangkan nota ini ketika peperiksaan.Di sini letaknya peranan kebolehan kita mengarang dengan baik dan peranan kefahaman yang jelas. Tanpa kefahaman dan kebolehan mengarang , bagaimanakah kita akan mendapat markah yang baik. Kerap kali pelajar yang bergantung kepada nota menjadi kaku di dewan peperiksaan dan gagal untuk mengingati kembali isi kandungan paelajaran yang dipelajari .Lebih dahsyat lagi , apabila dia hanya bergantung kepada nota tanpa membaca muzakkirat.

PENGURUSAN STRESS.

“STRESS” atau ketegangan jiwa boleh menurunkan keberkesanan seseorang jika tidak dikawal. Jika disalurkan dengan cara yang betul, “stress “boleh memberikan tenaga untuk meningkatkan prestasi dan perkembangan diri. Pakar perubatan secara umum bersetuju bahawa kebanyakan penyakit fizikal adalah disebabkan oleh “stress” atau tekanan emosi yang tidak boleh ditanggung oleh diri seseorang. Hampir setiap sistem badan boleh dirosakkan oleh oleh ‘stress’ kekurangan riadah , zat makanan , gangguan masa tidur dan sebagainya boleh mendatangkan bahaya kepada badan dan kesihatan. Kecanduan belajar yang berlebihan tanpa istirehat boleh menganggu kesihatan.untuk mengawal ‘stress’ , di sini dinyatakan panduan untuk mencapai prestasi optimum dalam keadaan ‘stress’ . Dalam keadaan ini anda sendiri perlu menilai semula tentang kemampuan empat dimensi asas yang ada pada diri anda sendiri iaitu dimensi otak , dimensi emosi atau sosial , dimensi jasmani dan dimensi rohani. Keempat-empat dimensi ini perlu diseimbangkan supaya anda boleh mengawal ‘stress’ untuk mencapai prestasi yang optimum.

EMPAT CARA UNTUK MENYELESAIKAN ‘STRESS’.

DIMENSI OTAK.

Dimensi otak memperlakukan secara positif iaitu anda mempunyai potensi otak dan minda yang amat menakjubkan yang di luar anggapan anda . Mengkaji semula perancanagn akademik anda dari segi perkembangan ilmu , pengetehuan , kemahiran berfikir, kemahiran dalam menyelesaikan masalah , pembacaan dan penulisan. Peringkat kemahiran dalam diri dari segi perancangan matlamat jangka pendek dan jangka panjang pengurusan, pengurusan masa yang berkesan dan sebagainya. Dengan mengamalkan pengurusan ‘stress’ yang amat berharga.

DIMENSI EMOSI ATAU SOSIAL.

Dimensi emosi dan sosial adalah cara anda membuat perhubungan dalam masyarakat .Kebijaksanaan anda menyeimbangkan emosi dan perhubungan anda yang erat sesama manusia adalah antara perkara yang boleh membantu anda untuk mencapai prestasi optimum dalam keadaan ‘stress’

DIMENSI JASMANI.

Anda perlu menilai kesihatan diri dari masa ke masa sama ada anda sentiasa dalam keadaan sihat atau tidak. Gangguan kesihatan boleh menyebabkan ‘stress’. Antara yang perlu diambil untuk menjaga kesihatan anda termasuklan yang berikut;
• Makanlah yang perlu dengan cara yang sederhana.
• Rancangkan program riadah yang berterusan .
• Adakan sedikit masa untuk istirehat fizikal dan mental.

DIMENSI ROHANI.

Dimensi rohani adalah yang terpenting, kerana ia merupakan sistem nilai kepada diri seseorang individu. Termasuk dalam sistem ini adalah nilai murni yang berkaitan dengan akhlak mulia seperti sabar, jujur, ikhlas, cermat, redha, amanah dan nilai kepercayaan dan keimanan . Dalam Islam sudah lengkap dengan latihan untuk mendapatkan ketenangan jiwa khususnya semasa menghadapi kesusahan atau ‘stress’.Allah s.w.t telah menfirmankan di dalam Al-Quran yang bermaksud:Ingatlah , dengan mengingati Allah hati menjadi tenang. Sabda Rasulullah s.a.w pula yang bermaksud:Sesungguhnya sembahyang itu ketenangan dan keredhaan hati serta permohonan jiwa.
Adalah menjadi amalan orang mukmin untuk meminta kepada yang Esa agar dikabulkan permintaannya. Maka mintalah kepadaNya supaya diberi kesihatan yang mantap baik dari segi mental mahupun fizikal untuk melepasi peperiksaan di dunia ini.

MENGHADIRI KULIAH.

Antara rahsia kecemerlangan didalam pembelajaran ialah sejauh mana kerapnya seseoarang pelajar itu menghadiri kuliah atau setiap apa yang diajar di kuliah berada dalam maklumatnya. Hadir ke kuliah adalah satu perkara penting. Kepentingannya bolehlah kita lihat dari beberapa aspek. Antaranya:
1. Mendapat keberkatan dari Allah S.W.T kerana ia merupakan majlis ilmu .
2. Kuliah adalah talaqqie .Sama ada kita sedar atau tidak , muhadharah di kulish adalah “adalah talaqqie” atau belajar secara “musyafahah”
Inilah peluang keemasan mempelajari kitab-kitab turath dari profesor di bidang tersebut. Bagi sebahagian pensyarah teks yang digunakan adalah tulisannya sendiri. Sudah tentu dengan kehadiran kita ke kuliah akan dapat menjelaskan kepada kita banyak istilah – istilah yang kronik di dalam teks yang digunakan.
Dari aspek peperiksanan pula jangan lupa , sesetengah pensyarah akan mengeluarkan soalan-soalan yang tidak termaktub di dalam kitab. Ini boleh kita ketahui hanya dengan menghadiri kuliah atau bertanya kepada rakan–rakan yang hadir. Tetapi harus diingat , jangan hanya bergantung dengan orang lain .

JADUAL WAKTU.

Masa adalah sesuatu yang amat bernilai bagi seseorang muslim.Seorang yang berjaya di dalam sesuatu lapangan adalah seorang yang perihatin dan cermat menjaga masanya.Antara kepentingan mempunyai jadual waktu ialah:
• Mengawal masa.dengan adanya jadual waktu, masa anda selama 24 jam sehari semalam dapat digunakan semaksimum mungkin.
• Menjimatkan masa, usaha dan tenaga. Dengan adanya jadual bertulis anda akan menyedari kerja-kerja yang perlu dibereskan satu persatu secara terancang.
• Melatih menggunakan waktu secara matang. Jadual waktu akan melatih anda menggunakan masa yang ada dengan mendahulukan perkara –perkara yang penting dari perkara-perkara yang kurang pentingnya.
• Menjadikan anda belajar serta konsisten. Belajar secara konsisten mengikut kadar kemampuan anda adalah lebih baik dari “belajar maut” disaat akhir. Anda perlu menyoal diri anda adakah membaca 10 muka sehari selama 4 bulan lebih anda minati ataupun membaca 1500 muka surat selama seminggu sebelum hari peperiksaan berlangsung. Tentu anda akan memilih membaca sedikit demi sedikit secara tenang sehingga bersedia untuk menghadapi peperiksaan.
Di sini disenaraikan pula langkah-langkah yang perlu diambil untuk membuat jadual waktu:
1. Senaraikan aktiviti-aktiviti harian anda seperti berikut:
• Menghadiri kuliah
• Menglangkaji pelajaran
• Kelas tambahan
• Talaqqie dan pengajian luar
• Ziarah
• Tidur dan rehat
• Riadhah
• Membaca bahan –bahan luar.

SEMINAR –SEMINAR PEPERIKSAAN.

Sebagaimana yang kita sedia maklumi di Malaysia , seminar-seminar peperiksaan adalah wasilah yang banyak membantu pelajar-pelajar dalam menghadapi peperiksaan. Melalui seminar-seminar ini pelajar dapat dibantu untuk memahami teknik-teknik menjawab dan yang lebih penting dapat meningkatkan motivasi mereka.
Walaupun seminar-seminar sebegini masih asing dikalangan di Kaherah, namun kita masih memikirkan cara yang terbaik untuk melaksanakannya untuk dimanfaatkan oleh mahasiswa dan mahasiswi di perlembahan Nil ini.
Di seminar-seminar ini, pihak penganjur terlibat dengan peperiksaan secara langsung seperti doctor-doktor di kuliah dan juga pelajar-pelajar cemerlang boleh dijemput untuk menyampaikan ceramah mengenai bidang–bidang yang diceburi oleh mereka. Dengan ini peserta-peserta seminar boleh mengetahui selok–belok tentang sistem peperiksaan . Di samping itu , mereka boleh berkongsi pengalaman dan rahsia kejayaan mereka.

PENUTUP
Cita-cita untuk melahirkan pelajar yang berjaya dan berdisiplin merupakan wawasan murni yang cukup besar. Ia tidak mungkin di capai dengan kesedaran yang mendalam usaha yang bersungguh-sungguh . Semoga risalah pembelajaran ini akan dapat memberikan sedikit panduan dan motivasi anda untuk menghadapi peperiksaan.

Sekian, wassalam.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Related Posts with Thumbnails

.