Islamic Widget


.
.

Jumaat, 2 Julai 2010

KISAH DAN TAULADAN 3


ALLAH ADA, ALLAH LIHAT

Pengetahuan pertama yang patut diberi kepada anak ialah ilmu Tauhid - pengesaan terhadap Allah diikuti dengan pengenalan terhadap Nabi Muhammad saw. sesuai dengan konsep 'awaludin makrifatullah' atau awal-awal agama ialah mengenal Allah.

Dalam usaha menerapkan jiwa tauhid ini, seorang bapa mengajar anaknya supaya mengulang beberapa kali ayat berikut "Allah ada, Allah melihat". Si anak tadi terus menjadikannya seperti wirid dengan mengulang berkali-kali ungkapan "Allah ada, Allah lihat". Kalau tak dapat diucapkan dengan mulut, ia dilintaskan di dalam hati. Pada satu hari, si-bapa dan anaknya berjalan-jalan di sebuah dusun buahan jirannya. Dia ternampak buah rambutan sedang masak di sebuah pokok. Teringin di hatinya untuk mengambil beberapa tangkai lalu dia pun menyuruh anaknya memanjat. Sebelum memanjat dia mengingatkan anaknya supaya meneriaknya jika ternampak ada orang menghala ke situ. Si anak yang taat itu pun memanjat sebagaimana yang disuruh oleh bapanya.

Apabila hendak memetik, si-anak terus memekik "ada orang! ada orang!". Bapanya terperanjat dan lari lintang pukang bersembunyi di balik semak. Apabila anaknya turun dan mendapati tiada siapa di situ, si-bapa bertanya mana orangnya. Si-anak tadi memberitahu bapanya, "Allah ada, Allah melihat. Allah melihat apa yang saya buat. Sebab itu saya terjerit!"

Si-bapa terdiam malu mendengar kata-kata anaknya itu.

MORAL & IKTIBAR


Mengajar tauhid kepada anak sejak kecil lagi adalah fardhu ain
Taufiq dan hidayah adalah pemberian Allah kepada sesiapa yang dikehendakiNya
Allah tidak suka kepada orang yang tidak mengamalkan apa yang dikatakannya
Kadang-kadang orang yang belajar lebih pandai daripada orang yang mengajar
Jangan lihat siapa yang berkata tapi dengar apa yang dikatakannya
Ungkapan seperti 'Allah melihat apa yang kita buat' patut diterapkan dalam sanubari kita hingga benar-benar sebati dengan darah daging kita.
Ilmu agama khususnya bidang akidah lebih berkesan diberi semasa kecil
Orang senior perlu juga mendengar kata nasihat orang junior
Mengingat Allah menjauhkan kita dari melakukan maksiat


KERA DENGAN TUKANG GUNTING

Bismillahir Rahmanir Rahim
Melihat remaja kita yang suka meniru-niru budaya asing, teringat saya satu cerita yang pernah dikisahkan oleh seorang guru semasa saya kecil dulu. Ceritanya begini:

Seekor kera berada di atas sepohon pokok. Dia ternampak seorang tukang gunting sedang menggunting rambut seorang budak di bawah pokok. Dia tertarik hati dan asyik melihat gelagat tukang gunting yang menggunakan gunting dan pisau cukur. Pekerjaan tukang gunting itu menarik perhatiannya sehinggalah selesai tukang gunting itu menggunting rambut budak itu.

Setelah selesai, tukang gunting itu pun beredar dari situ untuk makan. Dia meninggalkan perkakasannya di bawah pokok itu. Sang Kera segera turun dari pokok untuk melihat gunting dan cukur yang digunakan oleh tukang gunting tadi. Tergerak di hatinya untuk meniru perbuatan tukang gunting. Dia pun mengambil gunting lalu menggunting bulu/rambut di badan dan kepalanya. Setelah itu dia mengambil pisau cukur pula. Cepat-cepat dia meraut bulu di badannya. Dalam kegopohannya pisau cukur itu memotong sebahagian hidungnya. Kera menjerit kesakitan. Darah bercucuran mengalir dari mukanya. Sang Kera mula menyesal atas perbuatannya meniru perbuatan tukang gunting itu.


MORAL DAN PENGAJARAN:


Meniru perbuatan orang tanpa mengetahui baik buruknya boleh merosakkan diri sendiri
Jangan mudah terpengaruh dengan sesuatu budaya yang bercanggah dengan norma kehidupan kita
Mengambil hak orang lain tanpa memberitahunya terlebih dulu adalah satu kesalahan yang boleh menjadi sebab kepada kerosakan diri sendiri
Meniru budaya yang asing dalam kehidupan kita adalah bertentangan dengan naluri dan sunnatullah atau fitrah semulajadi.

Bukanlah dinamakan kebijaksanaan mereka yang suka meniru-niru sesuatu dari orang lain.

NABI MUHAMMAD SAW MAKHLUK TERAGUNG "

Nabi Muhammad saw meskipun sama kejadiannya dengan manusia lain di muka bumi ini, namun bentuk lahiriah dan rohaniahnya tidak sama. Baginda mempunyai keistimewaan yang sama sekali tidak terdapat pada manusia-manusia biasa.

Sebagai manusia yang terbaik di muka bumi ini, Baginda dianugerahkan dengan keperibadian dan perwatakan yang istimewa kerana padanyalah terdapat contoh untuk diteladani.

Umum mengetahui keadaan yang zahir adalah gambaran yang terjelma dari unsur-unsur batin. Rupa paras seseorang boleh membantu menjelaskan keperibadian setiap individu. Ciri-ciri seperti bentuk badan, sifat fizikal dan rupa bentuk anggota adalah menggambarkan tentang akal dan akhlak seseorang. Begitulah dengan Nabi Muhammad saw. yang mempunyai bentuk badan yang indah dan segak, namun tidak dapat digambarkan oleh mana-mana pelukis potret di dunia ini. Allah mengharamkan penggambaran potret Baginda oleh sesiapa saja. Sungguhpun begitu sifat-sifat kecantikan baginda masih boleh diillusikan melalui pertuturan dan riwayat para sahabat dan tabi'in.

Begitu indahnya sifat fizikal Baginda, sehinggakan seorang ulama Yahudi yang pada pertama kalinya bersua muka dengan Baginda lantas melafazkan keIslaman dan mengaku akan kebenaran apa yang disampaikan oleh Baginda. Ulama Yahudi berkenaan terpukau dengan raut paras dan akhlak baginda yang sudah tentunya milik seorang Rasul Agung di muka bumi ini.

Para sahabat yang sentiasa bersamanya sentiasa meneliti bentuk tubuh tokoh kesayangannya secara terperinci. Di antara kata-kata appresiasi mereka yang pernah melihat baginda saw:

Aku belum pernah melihat lelaki yang sekacak Rasulullah. Aku melihat cahaya memancar dari lidahnya.


Seandainya kamu melihat Rasulullah, kamu akan merasa seolah-olah sedang melihat matahari terbit.


Aku pernah melihat Rasulullah saw di bawah sinaran bulan. Aku bandingkan wajahnya dengan bulan, akhirnya aku sedari bahawa Rasulullah saw jauh lebih cantik daripada sinaran bulan.


ANJING DENGAN BAYANG-BAYANG


Pada suatu hari, seekor anjing yang kelaparan merayau-rayau di sebuah lorong untuk mencari makanan. Akhirnya ia berjumpa seketul tulang didalam sebuah tong sampah. Anjing itu terus menggonggong tulang itu dan berlari menuju ke rumahnya. Dalam perjalanan anjing itu melalui sebuah jambatan di atas sebatang anak sungai. Sambil meniti jambatan, anjing itu terpandang bayang-bayangnya di permukaan sungai. Ia menyangka ada seekor anjing lain dengan seketul tulang. Perasaan tamak mula menguasai dirinya. Anjing itu ingin mendapatkan 'tulang' daripada 'anjing' itu. Tanpa berfikir panjang, ia pun menyalak. Sebaik saja ia membuka mulutnya untuk menyalak, tulang yang digonggongnya pun jatuh ke dalam sungai. Anjing itu menyesal kerana tulang yang dijumpainya tadi terjatuh ke dalam sungai disebabkan sifat tamaknya.
MORAL & IKTIBAR
Sifat tamak adalah sifat mazmumah yang dicela Allah
Orang yang telah dikuasai sifat tamak selalunya akan menghalalkan apa cara saja asalkan apa yang dikehendakinya itu boleh diperolehinya; tanpa mengambil kira halal atau haram.
Orang yang bersifat tamak mengumpulkan harta dan wang ringgit biasanya tidak akan berhenti dari melonggokkannya selagi dia tidak diikat dengan kain kapan di kaki dan kepalanya (mati).
Sifat zuhud (memada apa yang ada) adalah sifat terpuji yang perlu dibentuk dalam diri kita
Orang tamak sentiasa dalam keadaan miskin walaupun sudah kaya-raya. Sebaliknya orang zuhud adalah pada hakikatnya kaya kerana mereka tidak memerlukan apa-apa lagi.
Manusia yang tamak jika diberikan segunung emas akan berusaha untuk mendapatkan gunungan emas yang lain. Mereka akan berhenti mencari kekayaan hanya apabila dimatikan.
Sinario yang berlaku di negara kita dewasa ini adalah contoh angkara sifat tamak manusia yang ingin mengumpulkan harta dunia untuk diri dan kroni sehingga menghalalkan nepotisma dan kronisma; malahan sanggup melakukan pembohongan terbesar serta kezaliman yang tiada tandingannya di zaman ini. Mereka menghalalkan apa jua cara, menyalahgunakan segala kuasa yang ada sehingga sanggup membutakan mata, memekakkan telinga, mempetrikan hati, menjerebukan fikiran serta berlaku ganas menahan/menyeksa orang yang dianggap sebagai penghalang kepada nafsu rakusnya. Inilah Firaun dan Qarun Zaman Multimedia Super Corridor.
Amaran Nabi: Apabila mencecah umur 40-an tapi kejahatannya masih melebihi kebaikan, maka bersiap sedialah (gulung tikar bantal) untuk masuk ke neraka.


PEMIMPIN YANG TULEN
"
Ramai orang dewasa ini berebut-rebut hendak menjadi pemimpin atau ketua. Bagi mereka yang menyedari tentang besarnya risiko memegang jawatan sebagai ketua sudah tentu keberatan menerima jawatan tersebut. Saidina Abu Bakar sendiri semasa hendak meninggal dunia, mengeluh dan kesal kerana dilantik sebagai ketua (khalifah).
Begitu juga dengan Saidina Umar yang dilantik sebagai khalifah selepas kematian Saidina Abu Bakar. Saidina Umar sangat mengambil berat tentang kebajikan rakyatnya. Pada suatu malam sedang dia meronda di sekeliling kota dan kampung untuk melihat hal rakyatnya, dia terdengar tangisan kanak-kanak. Saidina Umar menghampiri pondok buruk tempat tinggalnya kanak-kanak itu.

Dia mendengar ibunya menjerang sesuatu. Kanak-kanak tadi senyap seketika apabila melihat ibunya sedang memasak. Namun masakannya tidak siap-siap sehinggalah anaknya tertidur dalam kelaparan. Melihat keadaan yang menyayat hati itu, Saidinia Umar memberi salam dan meminta izin untuk masuk. Wanita itu tidak sedar bahawa tetamu itu ialah Saidina Umar. Saidina Umar bertanya tentang hal kehidupan wanita itu. Wanita itu mengadu yang dia dan anaknya sudah berhari-hari tidak makan. Apabila anaknya menangis hendakkan makanan, dia pura-pura memasak dengan memasukkan beberapa ketul batu ke dalam periuk. Melihat keadaan itu, anaknya diam sebentar kerana menyangka ibunya memasak sesuatu.

Wanita itu mengadu dan mengutuk Khalifah Saidina Umar kerana tidak bertanggungjawab terhadap rakyatnya. Mendengar kutukan wanita itu, Saidina Umar terdiam sejenak. Sebentar kemudian, dia memohon diri meninggalkan keluarga wanita itu. Dalam kegelapan malam, Saidina Umar terus menuju ke Baitul Mal lalu mengambil sendiri beberapa pundi gandum untuk dihantar ke rumah wanita itu.

Sebaik sampai di rumah wanita itu, Saidina Umar memberi salam dan masuk ke rumahnya buat kali kedua. Dia mengambil gandum dari pundi lalu terus memasakkan untuk wanita dan anaknya. Wanita itu masih tidak sedar bahawa orang yang datang membawa gandum dan memasak itu ialah khalifah sendiri. Setelah siap, Saidina Umar sendiri menghidangkan makanan untuk wanita dan anaknya.

Melihat mereka gembira mengadap makanan, Saidina Umar berasa amat senang hati dan beredar dari situ. "Kalaulah Saidina Umar buat begini, alangkah baiknya....", kata wanita itu tanpa menyedari orang yang berada di hadapannya ialah Saidina Umar sendiri.


MORAL & IKTIBAR
Tanggungjawab sebagai pemimpin amat berat. Mengikut Nabi Muhammad saw. Setiap kita adalah gembala dan akan ditanya tentang haiwan gembalaannya. Ini bermaksud kita akan dipersoalkan tentang orang di bawah jagaan kita.
Pemimpin yang benar-benar bertanggungjawab terhadap rakyat sentiasa memastikan kebajikan mereka dijaga dengan baik.
Pemimpin tulen ialah mereka yang sentiasa mengutamakan kebajikan rakyat terutama yang msikin lebih daripada kepentingan sendiri.
Amalan yang ikhlas tanpa mengharapkan pujian makhluk adalah satu amalan yang terpuji.
Setiap pemimpin (raja, menteri, atau wakil rakyat) sepatutnya sanggup turun padang setiap ketika untuk melihat sendiri kehidupan rakyat dan hulurkan bantuan kepada mereka yang miskin dan memerlukan dengan ikhlas kerana Allah, bukan mengharapkan pujian dan sanjungan.
Kegagalan seseorang pemimpin mentadbir negara dengan adil dan saksama akan menyebabkan dirinya jauh dari syurga dan hampir dengan neraka.
Walau setinggi manapun pangkat dan darjat kita tidak akan dinilai Allah. Apa yang diambil kira ialah amalan yang diikhlaskan untuk Allah.
Untuk keselamatan dunia dan akhirat hendaklah kita mencontohi pekerti Nabi Muhammad dan sahabat-sahabat Baginda.
Pemimpin yang baik ialah mereka yang sanggup mendengar kritikan rakyat jelata serta mengambil tindakan segera untuk menyelesaikan masalah yang mereka hadapi.


PENCURI KAIN KAPAN

Di Baghdad terdapat seorang lelaki yang sering mencuri kain kapan. Dia menggali setiap kubur orang yang baru meninggal dunia dan mengambil kain itu. Pada satu malam sedang dia menggali kubur, dia terperanjat besar melihat api menjulang-julang keluar dari lubang kubur. Badannya menggigil dan terus pingsan.

Sebaik saja sedar, dia lari lintang-pukang sambil menangis teresak-esak. Dia berjumpa dengan seorang wali Syeikh Jonid Al-Bustani untuk menceritakan keadaan dan ingin bertaubat. Dia mengadu yang dia telah menggali 78 kubur. Hanya 2 kubur saja yang mayatnya masih mengadap kiblat. Dalam kubur-kubur lain, semua mayat itu telah berpusing membelakangkan kiblat. Syeikh Joned menerangkan mayat-mayat yang berpusing membelakangkan kiblat itu adalah pada masa hidupnya syak atau ragu-ragu tentang jaminan rezeki oleh Allah.


MORAL & IKTIBAR


Kita mesti yakin tentang rezeki yang Allah telah jamin sebelum kita dilahirkan lagi.
Syak terhadap jaminan ini sama seperti tidak beriman terhadap Allah
Allah mengurniakan hidayat kepada sesiapa yang dikehendaki meskipun pada mulanya dia seorang a'asi (maksiat)
Jangan menghina atau memandang rendah kaki maksiat, jangan-jangan dia akan bertukar menjadi orang yang soleh; sedangkan kita belum tahu.
Syak terhadap jaminan rezeki adalah satu dosa yang balasannya diterima di dalam kubur lagi.
Mayat di kubur sebenarnya tidak mati, dia hanya berpindah alam dan di sana dia akan merasa bahagia jika ahli syurga dan ditimpakan azab jika ahli neraka.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Related Posts with Thumbnails

.