Islamic Widget


.
.

Soal Jawab Agama

1.Tidak Khusyuk dalam Solat
Soalan:
Apakah hukumnya bagi orang yang tidak khusyuk dalam solat dan bagaimana seseorang itu hendak khusyuk dalam solat. Adakah doa orang yang tidak khusyuk dalam solat diterima oleh Allah?

Jawapan:
Khusyuk di dalam solat menurut jumhur ulamak adalah sunat hukumnya. Khusyuk membawa pengertian seseorang menunaikan solat dengan hati yang hadir, tidak berpaling kekiri dan kekanan, mata tertumpu ke tempat sujud dan fikiran ditumpukan kepada bacaan di dalam solat. Nabi SAW sangat-sangat menganjurkan kepada umatnya supaya khusyuk didalam solat.
Bagaimanapun bagi orang yang tidak khusyuk di dalam solatnya tidaklah membuatkan batal solatnya. Solatnya tetap sah cuma ia mendapat pahala yang kurang, tidak sepenuhnya. Pahala diberi oleh Allah SWT bergantung kepada sejauh mana kekhusyukan seseorang itu didalam solatnya. Jika ia khusyuk di satu perdua solatnya, maka ia mendapat pahala satu perdua sahaja dari solatnya. Jika ia khusyuk sebanyak satu perlapan sahaja dari solatnya, bererti ia mendapat pahala sebanyak satu perlapan sahaja dari solatnya. Begitulah seterusnya. Untuk mendapatkan khusyuk di dalam solat memerlukan perkara berikut:
1. Pakaian yang digunakan dalam solat hendaklah bersih dari najis.Begitu juga dengan sejadah. hendaklah bersih dan tidak mempunyai gambar-gambar yang boleh melalaikan orang yang menunaikan solat.
2 Hendaklah menunaikan solat tepat pada masanya dan secara berjemaah.
3. Dalam suasana yang aman tanpa suara bising dari kanak-kanak mahupun dari TV atau Radio.
4. Imam hendaklah seorang yang elok bacaanya, kerana bacaan yang elok membantu menghadirkan hati. Imam itu pula tidak didbenci oleh ahli jamaah.
5. Bersihkan fikiran dari problem hidup dan tumpukan sepenuh perhatian kepada Allah.
6. Membuang air kecil dan air besar terlebih dahulu, jika merasa perlu berbuat demikian. Kerana orang-orang yang solat dalam keadaan menahan buang air kecil dan buang air besar tidak akan memperolehi kekhusyukan.
7. Kesihatan tubuh badan hendaklah dijaga. badan yang sakit sukar mendatangkan rasa khusyuk kepada hati di dalam solat.
8. Hati hendaklah hadir di dalam solat, bukannya melayang tak tentu arah.
9. Memahami makna bacaan di dalam solat.
10. Merasa gerun kepada Allah SWT.
11. Merasa takut kepadaNya.
12. Merasa malu kepadaNya.
13. Menaruh harapan mudah-mudahan Alah SWT menerima solatnya.
Berhubung dengan doa pula, dalam sebuah hadis dijelaskan Allah SWT akan memperkenankan doa hambaNya yang bersungguh dalam doanya, tidak lalai di dalam doanya itu. Doa orang yang tidak khusyuk yang lalai hatinya tidak akan diperkenankan oleh Allah SWT lantaran keadaan hatinya yang lalai dari Allah SWT itu.

2.Memejamkan Mata Ketika Solat
Soalan:
Bolehkah saya memejamkan mata semasa solat untuk mencapai kekusyukan dan sejauh manakah keberkesanannya?

Jawapan:
Sebahagian ulama mengatakan bahawa memejamkan mata dalam solat adalah makruh hukumnya. Tetapi Imam Ibnul Qayyim mengatakan: Pendapat yang benar ialah, apabila membuka mata itu tidak mengurangi khusyuk maka itulah yang lebih utama, dan jika ada yang mencederakan khusyuk seperti terpandang hiasan-hiasan yang membimbangkan nescaya tidaklah dimakruhkan memejamkan mata bahkan disunatkan. Kita memejamkan mata dalam keadaan itu lebih dekat kepada dasar-dasar syarak dan maksud-maksudnya.
Tujuan solat pada asasnya melakukan pengabdian sepenuh hati dan penuh ikhlas kepada Allah. Sekiranya memejamkan mata adalah merupakan jalan atau cara yang sesuai untuk itu maka lakukanlah, demikian juga sebaliknya.

3.Bercinta Menurut Islam
Soalan:
Bagaimana remaja hendak bercinta mengikut cara islam?

Jawapan:
Dalam Al-Quran dalam surah Al-Nur ayat 30-31 memerintahkan kaum lelaki dan wanita Islam menutup pandangan dari perkara maksiat, menjaga kehormatan diri dan tidak boleh menzahirkan perhiasan badan kecuali yang biasa kelihatan sahaja iaitu muka dan tapak tangan bagi kaum wanita. Perasaan cinta sebenarnya adalah perasaan semulajadi yang wujud pada badan manusia. Mereka cinta kepada ayah ibu, anak, sahabat handai dan lain-lain. Islam tidak pernah melarang cinta ini, cuma yang Islam tekankan ialah teknik bercinta itu sendiri.
Jika cinta seseorang itu kepada bapa dan ibunya melebihi cinta kepada Allah dan rasulnya, jelas perbuatannya ini satu perbuatan yang bercanggah dengan nas al-Quran. Seseorang yang bercinta mengikut cara Islam begitu mudah, tidak payah sebagaimana sangkaan sesetengah pihak. Apabila hatinya berkenan kepada seseorang gadis hendaklah ia menunaikan solat hajat atau istikharan dua rakaat. Setelah keputusannya bulat kepada gadis terlibat hendaklah ia meminang gadis itu melalui ibubaoanya atau secara terus kepada gadis terlibat, seterusnya melangsungkan perkahwinan.
Setelah berkahwin bolehlah suami tadi bercinta dengan isterinya sebanyak mana yang ia mahu, kerana cara ini adalah satu cara yang paling halal di sisi Allah dan syarak. Inilah satu-satu caranya bercinta dalam Islam, bukan sebagaimana yang banyak berlaku sekarang bercinta-cinta bertahun-tahun sehingga banyak berlaku perkara mungkar dan maksiat dan menjadi masalah kepada negara.

4.Doa yang tidak Ditolak
Soalan:
Doa yang bagaimanakah yang tidak akan ditolak oleh Allah?

Jawapan:
Doa orang yang tidak ditolak oleh Allah SWT ialah:
1. Imam atau pemimpin yang adil.
2. Orang yang berpuasa sehingga ia berbuka.
3. Orang yang dizalimi.

5.Tidak Mendengar Khutbah Jumaat
Soalan:
Setiap hari jumaat semua muslim menunai solat Jumaat,sah tak solat jumaat saya sekiranya saya tidak mendengar kutbah jumaat?

Jawapan:
Jika kita terlambat sampai ke masjid disebabkan oleh halangan tertentu yang tidak disengaja akhirnya tidak sempat mendengar khutbah Jumaat dan kita sempat mengerjakan solat Jumaat, maka sah Jumaat anda.Namun jika tidak mendengar khutbah Jumaat tersebut kerana sengaja maka hukumnya berdosa sebab dua Khutbah Jumaat termasuk dalam syarat sah Jumaat.

6.Melakukan Dosa dan Bertaubat Berkali-kali
Soalan:
Apabila seseorang itu membuat dosa lalu ia bertaubat. Selepas itu ia melakukan dosa lagi dan ia bertaubat semula. Tetapi selepas bertaubat ia melakukan dosa lagi dan ia bertaubat semula. Adakah taubatnya diterima atau tidak?

Jawapan:
Tanda-tanda kesempurnaan taubat harus meninggalkan segala dosa dan menghilangkan pengaruhnya terhadap jiwa sebagaimana sinar matahari menghapus kegelapan malam. Sesungguhnya orang yang bertaubat dari suatu dosa dan tetap mengerjakan maksiat yang lain, maka taubatnya belum sempurna.
Bertekad dalam bertaubat hingga akhir hayatnya, untuk mengakhiri dosa-dosa. Berjanji tidak mengulangi perbuatannya yang telah lalu sebagaimana susu tidak akan kembali ke sumber asalnya. Kemudian memulai dengan penyesalan dan mengakhiri dengan perbuatan amal soleh dan ketaatan. Membersihkan hatinya dari pengaruh maksiat dan berjanji tidak mengulangi perbuatan dosa selama-lamanya.
Tanda kesempurnaan taubat lagi adalah melakukan taubat kerana Allah SWT, bukan untuk menjaga kesihatan, harta benda atau ketamakannya untuk menikmati isi dunia, takut akan hukuman seseorang atau undang-undang, takut tidak ada orang yang membantu untuk berbuat maksiat. Apabila dia ingin bertaubat dari seluruh dosanya, maka seluruh anggota badannya harus bertaubat.
Seseorang yang telah sepenuh hati bertaubat, maka semestinya dia tidak kembali berbuat dosa. Jika kembali, maka hal tersebut telah membatalkan taubatnya, sebab syarat sahnya taubat adalah dengan terus menerus melakukannya seumur hidup. Malakukan perkara-perkara yang membatalkan dan menyalahi taubat dapat mengurangi kesempurnaan dan manfaatnya.
Seorang hamba yang telah bertaubat kemudian kembali mengulangi perbuatannya lagi, maka dosa yang pertama yang telah ditaubatinya terhapus walaupun taubatnya batal sebab dia telah bertaubat dari dosa hingga seolah-olah dia tidak melakukannya atau belum pernah melakukannya. Orang yang mengulangi perbuatan dosa maka dia berdosa atas perbuatan berikutnya bukan yang pertama, kerana taubat terdahulu adalah sah, sedang mengulangi perbuatan dosa akan mendapat seksa. Wallahu A'lam.

7.Apakah pandangan Islam tentang bayi tabung uji?

Cara-cara yang boleh tergambar dalam penyemaian benih dalam tabung uji pada masa ini ada tujuh cara:

1. Disemaikan antara benih si suami dengan telur yang diambil dari seorang perempuan yang bukan isteri kepada lelaki itu kemudian dimasukkan semaian itu ke dalam rahim si isteri.

2. Disemaikan antara benih seorang lelaki (bukan suami) dengan telur si isteri kemudian dimasukkan semaian itu ke dalam rahim si isteri.

3. Disemaikan benih si suami dengan telur si isteri kemudian dimasukkan semaian itu ke dalam rahim seorang perempuan lain yang bersetuju untuk mengandung (hamil) dengannya.

4. Disemaikan antara benih seorang lelaki (asing) dengan telur perempuan asing juga kemudian dimasukkan semaian itu ke dalam rahim si isteri.

5. Disemaikan benih dengan telur dari sepasang suami isteri kemudian dimasukkan ke dalam rahim isteri keduanya.

6. Diambil benih dari si suami dan telur si isteri dan disemai di tabung uji kemudian dimasukkan ke dalam rahim isteri.

7. Diambil benih si suami kemudian disuntikkan di tempat yang sesuai dalam rahim isterinya sebagai semaian dari dalam.

Cara-cara yang pertama sehingga yang kelima adalah haram kesemuanya dan terlarang di sisi agama Islam kerana kesannya boleh merosakkan perhubungan halal serta mencampuradukkan keutuhan keturunan. Cara yang ke-6 dan yang ke-7 adalah dibolehkan. Seseorang Islam yang ingin mendapat anak boleh berusaha untuk mendapatkannya tetapi hendaklah ia pastikan dan berjaga-jaga supaya tidak melakukan sesuatu yang lain daripadanya.

PENGGUGURAN ANAK
Apakah pandangan Islam tentang pengguguran anak?

Para ulama bersependapat bahawa pengguguran anak selepas 4 bulan hukumnya adalah haram, bahkan ia merupakan satu perbuatan jenayah. Perbuatan ini merupakan suatu pembunuhan ke atas makhluk hidup yang telah cukup sifat dan nyata hidupnya. Oleh itu umat Islam sama sekali ditegah dari melakukannya. Kecuali pengguguran itu terpaksa dilakukan untuk menyelamatkan nyawa di ibu tersebut.

Pengguguran sebelum 4 bulan pula, para ulama tidak bersependapat. Ini disebabkan terdapat perselisihan sama ada kandungan itu telah hidup atau sebaliknya. Sebahagian besar ulama cenderung kepada menyatakan bahawa kandungan itu sudah hidup bersandarkan kepada ilmu perubatan. Berasaskan hal ini mereka menghukumkan pengguguran benih itu sebagai haram.

Memandangkan kepada kenyataan ilmu perubatan bahawa janin itu sudah hidup sejak pencantuman benih lelaki dan perempuan, maka jawatankuasa Fatwa telah memutuskan bahawa hukum pengguguran anak dalam kandungan adalah haram, tidak kira umur benih dalam kandungan.

8.Masalah Menyimpan Wang Di Bank

Soal:
Apakah harus menyimpan wang di BANKdengan tiada mengambil feadah (interest) serta di ketahui BANK itu memakai ia (BANK) akan segala wang yang disimpan dan memberi ia (BANK) akan dia (wang yang disimpan) bagi orang yang berhutang dengan membayar feadah??
Jawab:
Pada kitab Beberapa Permata Yang Bagus-bagus Lagi Indah mukasurat 91 karangan Sheikh Muhammad Idris Al-Marbawi berkata ia: "Menyimpang wang di bank dua macam. Pertama, menyimpang orang yang mempunyai wang di tempat taruh wang di bank (security box) dan tiada mencampuri ia akan dia (wang itu) dengan wang yang lain maka ini tiada shak pada harusnya (dibolehkan) Kedua, menyimpang oleh bank akan wangnya dengan modalnya(BANK) dan segala wang yang disimpan pada nya(BANK) maka jika mengetahuai oleh yang empunya wang itu atau zhan' sebagai zhan' yang kuat (perasaan yang berat) bahawa wang itu dipakai oleh bank pada umpama RIBA maka adalah menyimpan wang padanya itu adalah HARAM kerana menolong atas maksiat, telah berfirman ALLAH SWT "dan jangan tolong menolong atas dosa dan melampaui (zalim)" dan kerana dikias dengan menjual anggur bagi orang yang menjadikan dia (anggur) arak. Adapun jika shak ia atau waham pada bahawasanya wang itu dipakai pada makan riba dan umpamanya (riba) maka menyimpan wang pada bank itu MAKRUH kerana dikias dengan menjual anggur yang tersebut. Wallahua`lam!"

Baca Lagi....
Related Posts with Thumbnails

.